Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, June 06, 2011

Pedih Ulu Hati

SOALAN:
Ketika mengandung, saya mengalami refluks asid yang berterusan, menyebabkan pedih ulu hati. Apakah sebenarnya punca pedih ulu hati dan apakah langkah-langkah untuk mengurangkannya atau lebih baik lagi, mencegahnya?

Syafiqah

JAWAPAN:
Pedih ulu hati sebenarnya adalah rasa perit yang boleh dirasai di dada dan kerongkong. Ia berlaku apabila asid dari perut bergerak masuk semula ke esofagus. Mulut anda juga akan berasa masam dan berasid. Jika anda mengalami refluks asid yang berterusan lebih daripada dua kali seminggu, ini dikenali sebagai Penyakit Refluks Gastroesofugus (GERD).

Ramai wanita mengandung mengalami tanda refluks asid pada trimester ketiga kehamilan disebabkan peningkatan paras hormon yang melembutkan ligamen, kebiasaannya memastikan sfinkter esofagus bahagian bawah (LES) sentiasa ketat. Uterus yang lebih besar juga menyebabkan organ dari abdomen ke perut tertolak pada diafragma menyebabkan berlakunya refluks asid kerana fungsi LES terjejas. Gejala refluks asid juga boleh disebabkan oleh hernia hiatus, yang menolak sebahagian daripada perut melalui diafragma hiatus. Oleh sebab berat badan bertambah semasa mengandung, berat berlebihan pada bahagian pinggang sering kali menekan abdomen dan meningkatkan tekanan pada bahagian dalam. Tekanan ini boleh memaksa makanan masuk ke dalam esofagus

Antara golongan yang mudah menghidap refluks asid termasuklah mereka yang makan secara berlebihan, minum terlalu banyak alkohol, dan mengambil ubat tertentu, makanan berempah dan berminyak, dan juga makanan berasid. Mereka ini juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat GERD. Makanan yang boleh memburukkan lagi gejala GERD termasuklah pudina, coklat, tomato, bawang, makanan berlemak, kopi, teh, jus buah- buahan sitrus dan alkohol. Sebaliknya, pengambilan sedikit halia boleh mengurangkan gejala GERD.
Anda boleh mengurangkan gejala refluks asid dengan makan sedikit tetapi secara lebih kerap, selalu bersenam (tetapi elakkan senaman melompat naik dan turun dan sebarang aktiviti membongkok ke depan) dan memakai pakaian longgar. Anda juga boleh mengurangkan gejalanya dengan menaikkan sedikit kepala katil dan juga tidur mengiring ke kiri, kerana dalam kedudukan ini, perut lebih rendah daripada esofagus. Jangan minum alkohol dan berhenti merokok jika anda mengalami sebarang gejala asid refluks. Anda juga patut mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika muntah teruk.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

1 comment: