Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, June 08, 2011

Atasi Pedih Ulu Hati

SOALAN:
Ayah saya meninggal dunia pada tahun lepas kerana barah usus. Adakah ini bermakna risiko saya mendapat barah usus juga tinggi? Jika ya, adakah terdapat langkah pencegahan untuk mengurangkan faktor risiko?

Kamisah

JAWAPAN:
Ya, salah satu faktor risiko utama anda mendapat barah usus adalah ahli keluarga yang disahkan menghidap barah usus. Malah, 1 dalam setiap 5 orang yang mendapat barah usus mempunyai ahli keluarga lain yang disahkan menghidap penyakit ini. Risiko ini meningkat sekiranya mereka yang disahkan adalah ahli keluarga terdekat (ibu bapa, adik-beradik atau anak-anak), atau jika ahli keluarga mendapat barah pada usia muda. Sebab kepada risiko tinggi ini tidak begitu jelas, meskipun penyakit kanser dipercayai "diwarisi dalam keluarga" disebabkan gen yang diwarisi dan faktor perkongsian persekitaran, atau kombinasi kedua-duanya.
Mereka yang mungkin menghidap kanser kolon mungkin menunjukkan beberapa tanda amaran seperti perubahan dalam tabiat membuang air besar (sembelit atau cirit-birit), najis berdarah, sakit abdomen yang teruk atau penurunan berat badan tanpa sebab. Jangan biarkan gejala ini, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda menunjukkan gejala-gejala di atas.

Anda boleh mengurangkan risiko mendapat barah usus dengan mengamalkan diet dan gaya hidup yang sihat. Makan lebih banyak makanan yang kaya dengan oksidan seperti buah-buahan sitrus dan sayuran hijau gelap dan kuning, dan makanan rendah lemak dan tinggi serat (sekurang-kurangnya 25 g serat sehari). Senaman dan pengambilan 1,000 mg kalsium sehari juga boleh membantu. Di samping itu, berhenti merokok jika anda merokok dan hadkan pengambilan alkohol.

Ketiadaan sebarang faktor risiko tidak bermakna seseorang individu tidak akan mendapat barah usus. Bagaimanapun, lebih banyak faktor risiko yang anda miliki, lebih tinggi risiko anda menghidapinya. Segera dapatkan pemeriksaan doktor jika anda menunjukkan sebarang gejala atau tanda amaran, iaitu kehilangan berat badan tanpa sebab, perubahan tabiat membuang air besar dan pendarahan dalam najis, atau jalani pemeriksaan biasa secara tetap kerana barah usus boleh dicegah dengan pengesanan awal.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment