Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, May 23, 2011

Strok Bukan Penamat Hidup

Rawatan kembalikan kehidupan normal

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah keadaan bagi individu yang diserang strok, terpaksa melalui kepayahan dan cabaran bagi meneruskan kehidupan.

Untuk pemulihan dan mendapatkan kehidupan kembali, ada yang terpaksa bermula belajar dari bawah seperti bayi sedang membesar. Mereka perlu pelajari kembali satu persatu perkara, termasuk cara untuk mengimbang badan dan bergerak supaya dapat berjalan semula, belajar bercakap dan kemahiran lain yang dipunyai sebelum mengalami strok.

Ini berikutan, individu diserang strok berkemungkinan hilang keupayaan sehingga tidak mampu melakukan tugas harian, termasuk menguruskan diri sendiri.

Pakar Perubatan Pemulihan Neuro Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Lydia Abdul Latif, berkata justeru amat penting pesakit strok menjalani rawatan dan terapi pemulihan secepat mungkin.

Dr Lydia berkata, pemulihan awal amat penting, malah setiap mangsa strok yang ingin kembalikan kehidupan mereka seperti sebelumnya, mesti kuat semangat dan berusaha mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin. Tetapi untuk pulih lazimnya, bergantung jenis strok dialami serta rawatan terapi yang diikuti.

Katanya, lebih cepat terapi pemulihan dimulakan, lebih cepat otak dapat mempelajari semula pergerakan normal. Begitulah sebaliknya, lebih lama terapi pemulihan ditangguhkan, lebih sukar bagi mangsa strok untuk pulih.

Bagaimanapun, Dr Lydia menegaskan, kadar penyembuhan berbeza, ada yang boleh sembuh sehingga 90 peratus dan penyembuhan untuk pesakit strok adalah proses berterusan sepanjang hayat.

“Lazimnya, selepas diserang strok, kualiti seluruh aspek kehidupan individu terbabit akan berubah. Oleh itu, mereka perlu menjalani terapi pemulihan supaya tidak hanya terlantar dan sekurang-kurangnya, berupaya berdikari terutama dalam menguruskan diri sendiri,” katanya ketika ditemui di pusat Pemulihan Neuro PPUM, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dr Lydia berkata, walaupun serangan strok ‘merampas’ sebahagian daripada kebahagiaan hidup, pesakit strok masih ada harapan dan boleh mengupayakan diri sendiri, keadaan yang jauh lebih baik berbanding 10 tahun lalu.

Katanya, seiring dengan kemajuan perubatan moden, pelbagai kaedah rawatan dan terapi baru diperkenalkan bagi membantu memulihkan pesakit strok sebagai kelangsungan hidup serta boleh mengecapi kualiti kehidupan lebih baik.

“Melalui terapi pemulihan dan rawatan neurologi, pesakit strok akan dibantu kembali ke tahap fungsi fizikal tertinggi yang mampu dicapainya. Terapi pemulihan memberi tumpuan utama kepada pergerakan terkawal dan seimbang, peningkatan tenaga serta stamina supaya pesakit boleh bergerak dengan lebih baik.

“Rawatan dan terapi pemulihan turut menyediakan asas fizikal yang diperlukan, yang mana fungsi dan kemandirian lain boleh dibentuk,” katanya mengenai rawatan dan pemulihan yang diberikan kepada pesakit strok yang dirujuk di pusat Pemulihan Neuro PPUM.

Dr Lydia berkata, terapi pemulihan pula merangkumi khidmat pelbagai kepakaran, termasuk pakar terapi pertuturan, fizikal, cara kerja dan rekreasi serta aktiviti berkumpulan. Dengan bantuan dan bimbingan pasukan perubatan yang mahir dalam bidang masing-masing seperti doktor, jururawat, jurupulih cara kerja, jurupulih pertuturan, ahli fisioterapi dan pekerja sosial perubatan, pesakit akan dibantu bagi rawatan pemulihan.

Pakar akan membantu mangsa strok bercakap semula, belajar berjalan dan mendapatkan kembali kemahiran yang dimiliki sebelum ini. lain yang dipunyai sebelum mengalami strok. Mereka juga membantu mangsa strok mempelajari cara baru berbuat sesuatu untuk mengimbangi kemahiran yang telah hilang.

Katanya, sebelum pesakit strok mendapat rawatan pemulihan, pasukan perubatan terbabit terlebih dulu memberikan penilaian masing-masing terhadap daya keupayaan pesakit, kemudian berbincang setiap aspek yang diperlukan bagi membantunya.

“Selepas itu, barulah ditetapkan objektif dan mensasarkan apa yang ingin dicapai dalam terapi pemulihan itu. Program dirancang akan dibuat mengikut kesesuaian pesakit, termasuk mengambil kira tahap kesihatan dan komplikasi yang mungkin berlaku.

“Terapi pemulihan juga perlu selari dengan keadaan fizikal pesakit dan matlamat ditetapkan perlu realisitik serta tidak mungkin menjangkau apa yang tidak boleh dicapainya. Menjadi sebahagian tanggungjawab kami untuk menerangkan dengan jelas semua itu kepada pesakit supaya mereka benar-benar faham dengan terapi pemulihan dijalankan,” katanya.

Tambahnya, proses penilaian terhadap pesakit adalah berterusan. Selain itu, matlamat jangka pendek dan panjang dibincangkan dengan pesakit sepanjang tempoh pemulihan, dengan mengambil kira gaya hidup dan persekitaran tempat tinggal sebelumnya.

Berdasarkan pengalaman, Dr Lydia memberitahu ada pesakit strok yang tertekan dan terlalu kecewa dengan keadaan dirinya, lalu enggan langsung menjalankan rawatan pemulihan. Ada juga pesakit yang hanya menjalani rawatan pemulihan separuh jalan kerana putus asa apabila mendapati tiada perubahan pada dirinya.

Justeru, katanya, sokongan keluarga amat penting supaya dapat memberikan semangat dan keyakinan kepada pesakit strok, sekali gus cepat sembuh.

Puas bila pesakit pulih

Bukan satu tugas mudah tetapi memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Kepuasan bekerja bagi mereka ialah apabila melihat pesakit pulih daripada strok dan boleh berdikari semula mengikut keadaan masing-masing.

Sesekali akan turut tumpang gembira jika pesakit boleh mengurus diri sendiri di rumah dan boleh bekerja semula walaupun keupayaan mereka terhad. Pengalaman dan perasaan itulah yang dikongsikan oleh Jurupulih Perubatan Cara Kerja di Pusat Pemulihan Neuro PPUM, Nor Atikah Mustapha, yang sudah membantu ramai pesakit strok kembali hidup normal atau lebih baik berbanding ketika mula-mula di serang penyakit itu.

Nor Atikah berpendapat, apabila seseorang itu terkena strok, ia bukan bermakna kehidupan mereka berakhir kerana dengan proses pemulihan dengan baik dan teratur bersama motivasi dalam diri, harapan untuk pulih, tidak mustahil dicapai.

“Insya-Allah pesakit strok yang menjalani proses pemulihan walaupun tidak boleh sembuh sepenuhnya, mereka boleh dapat berdikari di rumah, kerja dan komuniti. Tetapi yang penting, mereka perlu bersungguh-sungguh dan tanamkan semangat dalam diri mengikuti program disediakan dalam terapi cara kerja diajar,” katanya.

Terapi cara kerja membabitkan latihan semula otak mangsa strok untuk menyesuaikan diri kepada kekurangan yang disebabkan oleh strok. Untuk menjalankan tugas kehidupan harian dengan paling berkesan dan cermat bagi mengelakkan kecacatan atau komplikasi.

Contohnya, cara betul membantu mangsa strok bangun dari katil, duduk atau masuk ke dalam kereta tanpa mengabaikan bahagian tubuh yang terjejas kerana ini boleh menambah kekakuan dan kesakitan.

Nor Atikah berkata, dalam bidang pemulihan cara kerja neurologi, pesakit yang dibantu terbahagi kepada dua iaitu neuro medikal (kerosakan otak disebabkan penyakit) seperti strok serta Parkinson dan neuro surgikal (kecederaan otak yang perlu pembedahan otak) merangkumi tumor (kanser) dan strok.

Katanya, sebelum memulakan aktiviti terapi, penilaian terhadap pesakit strok dibuat, termasuk ditemuduga sejarah perubatan sebelum dan selepas kena strok serta keberdikarian sebelum dan selepas kena strok.

“Penting bagi jurupulih tahu tahap keupayaan pesakit sebelum kena strok, sama ada kecacatan sejak lahir atau sebelum strok tidak pernah berdikari langsung. Kita juga bimbang ada episod pesakit kena strok berulang.

“Untuk penilaian fizikal pula, kita menilai keseimbangan badan ketika duduk, penilaian kekuatan anggota tangan dan kaki yang normal berbanding kekuatan kena strok. Ini kerana ada pesakit sudah alami kecederaan atau kecacatan sejak lahir, masalah seumpama itulah yang perlu dikenal pasti,” jelasnya.

Nor Atikah berkata, penilaian deria rasa juga penting supaya dapat mengenal pasti sama ada objek yang pesakit pegang boleh rasa panas atau sejuk. Begitu juga penilaian deria visual, pesakit perlu dikenal pasti masalah penglihatannya seperti ada mengalami keadaan ‘double vision’ (bertindih), pandangan sebelah saja dan sebagainya.

Penilaian kognitif pula bertujuan mengetahui tumpuan semasa menerima arahan, ingat susunan aktiviti harian misalnya, bagaimana cara pakai baju, ingat resipi masakan, aturan harian di rumah atau di pejabat.

Katanya, jurupulih sering berbincang mengenai hasil penilaian dan bertanya objektif pesakit. Contohnya, jika pesakit memberitahu ingin makan menggunakan tangan, jurupulih akan menyarankan, perlu kuatkan tangan dulu melalui senaman tangan seperti CIMT (Constraint Induced Therapy), BIT (Bilateral Isokinematic Training). Selepas itu, barulah pesakit akan diajar memegang objek besar hingga kecil dan pegang sudu serta stimulasi pergerakan tangan seperti aktiviti makan.

“Pesakit akan menjalankan terapi bermula mengikut keupayaan pesakit berdasarkan penilaian dibuat manakala jurupulih cara kerja akan fokus terapi fizikal. Jika pesakit sudah capai kekuatan fizikal yang maksimum, mereka akan diajar berdikari mengenai pengurusan diri seperti makan, pakai baju dan seluar serta pergerakan ke bilik air,” jelasnya lagi.

Nor Atikah berkata, untuk latihan berdikari aktiviti harian, biasanya jurupulih akan berbincang dengan pesakit atau penjaga berdasarkan temujanji ditetapkan manakala untuk aktiviti domestik (memasak atau pengurusan di rumah) biasanya jadual akan ditetapkan.

Aktiviti dosmetik diadakan sebulan sekali dan dan dibuat di dapur khas untuk pesakit. Jurupulih akan berbincang dengan pesakit strok tujuan aktiviti domestik dan resipi yang ingin dimasak. Pesakit diberi kebebasan memilih resipi dan diminta menyenaraikan bahan untuk aktiviti domestik, termasuk bahan mentah dan peralatan ingin digunakan untuk memasak.

“Pemilihan pesakit mengikut aktiviti itu berdasarkan penilaian keupayaan fizikal dan kebolehan dalam pengurusan diri. Sepanjang aktiviti berlangsung, jurupulih akan membuat penilaian terhadap pesakit termasuk, fizikal, keupayaan berdiri atau duduk dan pergerakan tangan (hand manipulation) seperti memegang periuk, koordinasi tangan seperti kupas bawang, kacau masakan dan basuh pinggan.

“Penilaian kognitif pula antaranya ialah cara menguruskan bahan masakan dari mula masak hingga habis masak dan ingatan aturan resipi masakan. Selepas selesai aktiviti perbincangan dibuat sama ada pesakit boleh aplikasi aktiviti di rumah atau tidak. Jika pesakit rasa sukar disebabkan persekitaran rumah, jurupulih akan buat susulan penilaian melalui lawatan ke rumah pesakit tetapi dengan kebenaran pesakit dan penjaga terlebih dulu,” katanya.

Nor Atikah memberitahu, terapi aktiviti harian seumpama itu amat penting kepada pesakit kerana ia sebahagian daripada rutin sebagai orang normal.
Aktiviti harian amat berpengaruh kehidupan seharian dari bangun tidur pada pagi hingga tidur waktu malam.

“Ada berpendapat, bila anda sudah sakit, anda tidak boleh berdikari sendiri, semua kena bantu dari orang lain terutama penjaga atau orang gaji. Jika difikirkan, berapa lama kita perlu bantuan orang lain. Namun, ia bergantung dengan keupayaan fizikal pesakit dan motivasi pesakit hendak membabitkan diri untuk berdikari dalam aktiviti harian.

“Alhamdulillah, hampir separuh pesakit berupaya berdikari mengikut keadaan masing-masing,” katanya.

INFO:




  • Pemulihan cara kerja adalah satu pendekatan rawatan secara menyeluruh merangkumi fizikal, sosial, psikologi, kerja dan aktiviti riadah.









  • Melalui rawatan ini, pesakit dilatih memperbaiki kualiti hidup dan berdikari dalam aktiviti harian serta menyesuaikan diri berdasarkan keupayaan sendiri.

    Objektif Pemulihan Cara Kerja










  • Memberi maklumat kepada pesakit mengenai rawatan pemulihan cara kerja.









  • Memberi pendidikan kepada pesakit dan penjaga mengenai latihan mengurus diri dalam aktiviti harian.









  • Memberi sokongan psikologi kepada pesakit dan penjaga dalam memahami serta menerima keupayaan diri pesakit terbabit.









  • Membuat lawatan ke rumah dan tempat kerja untuk menilai persekitaran rumah bagi membolehkan pesakit berdikari berdasarkan keupayaan pesakit.

    Latihan terapi kerja harian bagi pesakit neuro










  • Latihan keberdikarian aktiviti harian seperti kaedah satu tangan (one handed technique).









  • Latihan kefungsian tangan seperti CIMT, BIT dan Mentamove dan sebagainya. Latihan kefungsian tangan amat penting dalam aktiviti harian seperti gunakan tangan untuk makan dan memakai baju.









  • Latihan domestik seperti pengurusan diri di rumah terutama memasak di dapur.









  • Rangsangan kognitif Untuk mengajar pesakit mengingat aturan aktiviti harian seperti bila waktu mandi, waktu makan dan waktu makan ubat.









  • Lawatan ke rumah pesakit - Penilaian persekitaran rumah untuk membolehkan pesakit berdikari di rumah berdasarkan keupayaan pesakit.









  • Sokongan psikologi - Menerusi Kumpulan Sokongan Strok (Stroke Support Group), pesakit yang berjaya pulih daripada strok akan berkongsi pengalaman dengan pesakit lain. Ada juga guru agama daripada Sahabat PPUM dijemput untuk mengajar pesakit strok solat ketika sakit.









  • Memperkenalkan kepada pesakit alat adaptif untuk bantuan berdikari aktiviti harian.

     Dipetik dari: http://www.bharian.com.my/





  • 4 comments:

    1. saya sudah 7 tahun mengidap penyakit nie.msa saya form1 saya mndapat kptsan yg sgt baik,ttpi slps 2 saya dapati kptsn saya sgt mengecewakan.adakan nie mrupakan kesan drpda penyakit saya.boleh doktor terangkan

      ReplyDelete