Terdapat dua jenis karbohidrat yang tidak menyihatkan di dalam  hidangan kita seharian. Yang pertama adalah makanan manis dan bergula  manakala kedua bijirin yang tidak bercambah seperti roti, nasi dan  pasta. 
Karbohidrat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan jauh lebih baik  kerana ia semulajadi tanpa melalui proses pengubahan sebagaimana roti  dan gula. Karbohidrat jenis roti dan gula meningkatkan paras gula dengan  mendadak sehingga merosakkan kesihatan manakala jenis sayur-sayuran  pula mengurai dengan perlahan memberikan tenaga tanpa merosakkan tubuh.
Gula merupakan keperluan sel dalam tubuh kita. Tanpa gula kita  menjadi lemah tidak bermaya. Yang merosakkan tubuh adalah kenaikan paras  gula melampau secara tiba- tiba. Apabila kita minum segelas minuman  manis, paras gula meningkat dengan tiba-tiba menyebabkan paras hormon,  enzim dan transmitter tubuh berada dalam keadaan yang tidak menentu.  Lama kelamaan akibat aktiviti tidak menentu ia mudah rosak. Keadaan ini  boleh disamakan dengan suis lampu atau peralatan elektrik yang dipetik  beribu kali tanpa henti. Sudah tentu ia mudah rosak kerana penggunaannya  yang tidak berkala.
Apabila mengambil minuman yang sangat manis atau makan makanan  berkarbohidrat tinggi seperti roti atau pasta jumlah gula akan meningkat  secara drastik di dalam darah. Kita akan berasa bertenaga selama 20  minit. Kelenjar insulin mengesan kehadiran gula dan mula bekerja keras  menurunkan kadar gula. Insulin yang banyak akan berkitar di dalam tubuh  kita melebih sejam. Pada masa ini paras gula sudah terlalu rendah  manakala paras insulin pula sangat tinggi. Ketidakseimbangan membuatkan  seseorang menjadi lemah dan lesu. Ini adalah faktor mengapa tubuh kita  menjadi letih dan mengantuk setelah beberapa jam makanan makanan manis  atau tinggi karbohidrat diproses.
Apabila proses ini berulang setiap hari tubuh kita bagaikan  kehilangan signalnya yang semula jadi. Paras hormon metabolik turut  terjejas dan akhirnya kita akan menjadi obes yang tidak mudah dipulihkan  dengan diet biasa.
Seseorang yang mahu kurus harus mangambil berat fakta sebegini.  Metabolik tubuh harus ditingkatkan. Pemilihan makanan yang tidak  meningkatkan paras gula dalam darah adalah faktor terpenting bagi  membantu meningkatkan hormon metabolik.
Indeks Glycemic merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan meningkatkan  paras gula dalam darah. Ia sebenarnya merujuk kepada kebolehan sesuatu  makanan dipecahkan menjadi gula dalam darah kita. Lebih tinggi indeks glycemic bermakna lebih cepat makanan ditukar menjadi gula dan memberi kesan buruk kepada tubuh kita.
Senaman adalah satu lagi faktor utama yang mampu meningkatkan kadar  metabolisma. Kita perlu ingat bahawa senaman bertujuan meningkatkan  kadar pemanasan tubuh dan bukannya membentuk otot semata mata. Oleh  kerana lemak lebih cenderung terbentuk pada perut, paha dan belakang  maka senaman yang baik adalah senaman yang menggunakan otot ini.
Saya mencadangkan senaman otot-otot utama atau Core Muscle Excersize  yang mudah dan sangat berkesan. Otot utama kaya dengan bahan pembakar  lemak. Pergerakan otot utama membuatkan seluruh tubuh kita berfungsi.  Apabila kita melakukannya kita dapat rasai kesan yang pantas dan hebat.
Senaman jenis ini tidak memerlukan ruang yang luas. Memadai dilakukan  di atas tilam atau lantai sahaja. Lagipun ia tidak mengambil masa yang  panjang hanya sekitar 20 minit sahaja. Ia juga tidak menjemukan kerana  tanpa disedari kita menggunakan tenaga seluruh tubuh bagi melakukannya.  Pada waktu ini otot-otot akan distimulasi dan mengeluarkan hormon serta  enzim yang baik bagi mengunakan lemak secara efektif.
Seorang sahabat saya yang juga doktor pakar memberitahu sejak berat  badannya meningkat dia berasa sangat tertekan. Senaman dan pengurangan  makanan sahaja tidak dapat membantu. Selepas meningkatkan paras hormon  dan enzim kehidupannya kembali ceria. ''Dulu senaman pun tak berpeluh  namun sekarang berpeluh-peluh,'' katanya.
Saya teringat seorang jiran berbangsa Tionghua yang memberitahu  bahawa dalam masyarakatnya tubuh yang sihat adalah tubuh yang berpeluh  dan panas. Teknik perubatan Cina mementingkan peningkatan metabolisma. 
Kepada pembaca semua, saya akan menemui anda di Bengkel Personaliti  Cantik Sihat siri ketiga bersama Dr. Shaharom Sulaiman di Kuantan,  Pahang. Bengkel kali ini akan memperkatakan tajuk khusus iaitu  Kecantikan dan Anti-Penuaan. Bengkel ketiga ini sememangnya amat  bermanfaat kerana saya dan Dr. Shaharom dari Klinik Thalia akan  memperkatakan topik-topik berkaitan hormon serta penjagaan kecantikan.  Lebih menarik lagi kira-kira satu pameran teknologi kecantikan seperti  laser untuk kulit cantik akan diadakan serta dibuka kepada orang ramai.
Tentu para pembaca berminat untuk bersama saya menyelongkar pelbagai  ilmu dan tip untuk tampil sebagai individu yang mempunyai personaliti  cantik dan sihat.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment