Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, March 12, 2009

Keperluan Saringan Kanser Prostat

Kanser prostat merupakan jenis kanser yang kedua paling banyak berlaku di kalangan lelaki selepas kanser paru-paru, terutamanya mereka yang semakin berusia.

Walaupun terdapat ujian bagi mengesan kanser tersebut (antigen khusus prostat - PSA), doktor masih sukar menentukan jika kanser prostat yang baru dikesan berada pada tahap yang boleh membunuh pesakit.

Ini menyebabkan sesetengah pesakit dengan tahap kanser awal turut menerima rawatan berat, seperti pembedahan dan radiasi, yang tidak diperlukan.

Saringan Tahap Bahaya

Masalah kelenjar prostat biasanya berlaku kepada lelaki berumur 50 tahun ke atas terutamanya sekitar umur 60-an dan 70-an.

Oleh itu, pemeriksaan kelenjar prostat sewajarnya dimulakan selepas seseorang lelaki mencecah umur 40-an bagi yang mempunyai masalah kesihatan, atau selepas 50-an bagi yang sihat.

Dalam menilai tahap keseriusan kanser prostat, penyelidik dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS) mendapati jumlah asid amino sarcosine yang dihasilkan sel kanser terbabit dapat menjadi penanda paras bahaya.

Tambahan pula, ujian jumlah sarcosine dapat dilakukan melalui ujian air kencing.

Ini dapat membezakan kanser yang mula merebak (jumlah sarcosine tinggi) atau cuma berkembang dengan perlahan dan tidak berbahaya (jumlah sarcosine rendah).

Bagi lelaki yang tidak mempunyai kanser prostat pula, kajian mendapati tiada asid amino tersebut dalam air kencing mereka.

Selain itu, sarcosine juga didapati mempengaruhi penyebaran sel kanser dan juga kebarangkalian sel kanser menyerang tisu yang sihat.

Penemuan ini mungkin menjadi pemangkin kepada penghasilan teknik ujian kanser prostat dan juga rawatan berasaskan fungsi sarcosine untuk sel kanser merebak.

Henti Saringan

Setiap tahun, lebih 250,000 lelaki menemui ajal akibat kanser prostat di seluruh dunia, 29,000 daripadanya di AS.

Bagaimanapun, kajian di Institut Kesihatan Kebangsaan AS baru-baru ini mendapati ujian saringan untuk kanser prostat boleh dihentikan selepas seorang lelaki mencecah umur 75 tahun.

Ujian saringan yang dimaksudkan adalah PSA yang dijalankan melalui ujian darah. PSA adalah sejenis protein yang dihasilkan sel kelenjar prostat dan jumlahnya mungkin meningkat jika terdapat ketumbuhan atau pembengkakan kelenjar tersebut.

Hasil pemantauan terhadap sukarelawan yang berumur lebih 75 tahun mendapati tiada seorangpun yang mempunyai bacaan PSA bawah 3 nanogram per mililiter (ng/ml) meninggal dunia akibat kanser prostat.

Hasil kajian yang mewakili dua pertiga populasi AS itu juga memberi fakta kukuh dalam mencadangkan ujian PSA dihentikan selepas umur 75.

Namun, bagi lelaki yang mempunyai bacaan melebihi 3 ng/ml selepas umur 75 tahun, ujian PSA berterusan mungkin dapat membantu pemantau kesihatan mereka.

Kumpulan ini dikatakan masih berisiko menghidap kanser prostat, termasuklah jenis kanser yang agresif.

Kebanyakan kanser prostat merebak dengan perlahan dan mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum membahayakan nyawa pesakit.

Bagaimanapun, disebabkan terdapat sebilangan kanser berkenaan yang merebak secara agresif dan pantas, pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa pesakit.

Ujian PSA telah meningkatkan keupayaan mengesan dan diagnosis kanser prostat di kalangan lelaki.

Namun, sesetengah pakar percaya peningkatan bilangan diagnosis juga meningkatkan kebarangkalian seorang pesakit dengan kanser yang tidak serius menerima rawatan yang tidak diperlukan, terutamanya pembedahan dan rawatan radiasi.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment