Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, November 02, 2008

Cara Pengambilan dan Ciri-Ciri Ubat


BEBERAPA jenis produk yang dirampas Kementerian Kesihatan Malaysia kerana tidak mendaftar ubat yang dijual kepada umum.











Ubat kini menjadi antara keperluan asas kehidupan (seperti makanan, air dan udara), kebanyakannya untuk rawatan penyakit tetapi ada juga sebagai suplemen makanan tambahan dan juga tujuan kosmetik. Walaupun kos sesetengah ubat agak tinggi, kebanyakannya berjaya disampaikan kepada rakyat melalui bantuan subsidi kerajaan.

Perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh tujuh tahun lalu bagaimanapun menunjukkan peningkatan perbelanjaan untuk ubat-ubatan negara sebanyak 392 peratus. Berbanding hanya RM346 juta untuk tahun 2000, perbelanjaan ubat-ubatan KKM meningkat kepada RM1.355 bilion pada 2007, belum termasuk kos di sektor swasta.

Oleh itu, pengambilan ubat secara berkualiti (betul) amatlah ditekankan supaya perbelanjaan yang diperuntukkan itu tidak dibazirkan. Pengambilan ubat yang tidak mengikut arahan bukan sahaja akan menjejaskan keberkesanan ubat tersebut malahan mungkin akan membawa kesan sampingan yang teruk kepada pesakit.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Salmah Bahri menjelaskan kesan sampingan ubat mungkin akan meningkat akibat penggunaan tidak berkualiti (tidak mengikut arahan) atau secara berlebihan.

“Pada 2006, sebanyak 2,543 kes kesan sampingan ubat telah dilaporkan sementara 3,068 lagi laporan diterima sepanjang 2007.

“Kes-kes berkaitan kesan sampingan ini bukan sahaja mempunyai implikasi kesihatan, malahan bebanan kewangan tambahan ke atas individu dan kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, beberapa kajian sebelum ini melaporkan sejumlah 466 juta pound sterling (RM1.9 bilion) dibelanjakan di United Kingdom, dan anggaran US$5.6 juta (RM21.3 juta) lagi digunakan setiap hospital di Amerika Syarikat untuk merawat kesan sampingan ubat ke atas pesakit.

“Ini bukan hanya ditegaskan kepada pengguna, malahan kepada pihak yang memberi atau membekalkan ubat berkenaan (doktor atau ahli farmasi) yang perlu memberikan maklumat lengkap ubat kepada pengguna,” ujarnya.

Aspek 5B

Projek ‘penggunaan ubat secara berkualiti’ merupakan salah satu strategi KKM melaksanakan Dasar Ubat Nasional (DUNAS) yang telah diluluskan oleh kabinet pada 11 Oktober 2006.

Dr. Salmah menyatakan kempen ‘Kenali Ubat Anda’ merupakan antara aktiviti yang telah dirancang dalam projek tersebut.

“Penggunaan ubat secara berkualiti ataupun Quality use of medicines (QUM) merupakan teras keempat yang terkandung di dalam DUNAS.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan penggunaan ubat secara berkualiti dan selamat oleh pengamal perubatan dan juga pengguna,” jelasnya.

Menurut beliau, kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di seluruh dunia pada 2002 menunjukkan lebih 50 peratus ubat preskripsi, dibekal dan dijual secara tidak rasional. Kajian itu turut menunjukkan separuh daripada bilangan pesakit gagal mengambil ubat seperti yang diarahkan.

Walaupun tiada data khusus QUM di Malaysia, perangkaan WHO itu amat membimbangkan sekiranya peratusan tersebut sama untuk negara ini. Kempen pendidikan ‘Kenali Ubat Anda’ ini merupakan antara usaha pro-aktif KKM untuk meningkatkan kesedaran pengguna berkaitan penggunaan ubat yang berkualiti, dan hak mereka untuk mendapat maklumat yang tepat dan terkini mengenai ubat yang diambil dalam merawat atau mencegah penyakit.

Dr. Salmah menjelaskan penggunaan ubat secara berkualiti bermaksud penggunaan ubat yang betul dan bersesuaian oleh pengguna, hasil maklumat tepat dari pemberi perkhidmatan kesihatan (pengamal perubatan atau pemberi preskripsi).

“Pengamal perubatan bertanggungjawab memastikan ubat preskripsi adalah betul dari aspek indikasi, dos dan kos (cost-effective).

“Pesakit perlu dibekalkan dengan maklumat yang lengkap mengenai ubat-ubat yang diterima supaya mereka boleh bertanggungjawab sendiri dalam mengambil ubat secara berkualiti,” tegasnya.

Untuk memudahkan pengguna dan pengamal perubatan, Dr. Salmah menekankan lima perkara supaya ubat dilabel dengan lengkap (aspek 5B).

Jelasnya, aspek 5B itu termasuk; Betul ubatnya, Betul empunya, Betul dos (sukatan), Betul cara pengambilan, dan Betul masa pengambilan.

Oleh itu, pengguna (pesakit) perlu memastikan ubat yang dibekalkan atau dibeli mempunyai maklumat lengkap (5B) dan bertanya untuk kepastian jika kurang memahami maklumat yang diberikan itu.

Menurut Dr. Salmah penggunaan ubat secara tidak berkualiti di kalangan pengguna berlaku akibat kekurangan maklumat, pengetahuan, pendidikan dan komunikasi berkaitan ubat yang diambil dan cara penggunaannya yang betul.

“Masih terdapat pengguna yang kurang mengambil berat atau malu untuk mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang profesional dan adakalanya bergantung semata-mata kepada iklan yang disiarkan.

“Orang ramai juga masih kurang kesedaran terhadap kawalan penjualan dan penggunaan ubat-ubatan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada di negara ini,” katanya.

Beliau mendedahkan, hasil kajian yang telah dijalankan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM pada 2006 mendapati tahap kesedaran umum terhadap kawalan penjualan dan penggunaan ubat-ubatan masih rendah.

“Hanya 27.4 peratus responden mengetahui kewujudan undang-undang yang mengawal ubat-ubatan di Malaysia dan lebih teruk lagi hanya 3.6 peratus yang tahu antibiotik hanya boleh diberi dengan preskripsi doktor.

“Namun, kajian itu turut menunjukkan 62.5 peratus responden mengetahui ubat yang dibeli perlu disertakan dengan pelabelan maklumat produk, sementara 59.1 peratus lagi mengetahui semua ubat-ubatan perlu didaftarkan dengan pihak berkuasa Kawalan Dadah, KKM,” ujarnya.

Dr. Salmah turut menegaskan farmasi atau klinik yang membekalkan ubat di dalam sampul ubat mereka sendiri dan bukan di dalam bungkusan asal tetap bertanggungjawab dan perlu menyatakan maklumat lengkap ubat supaya pengguna tidak melakukan kesilapan dalam pengambilan ubat tersebut.

Palsu dan Tiruan

Dalam membincangkan isu ubat, bukan sahaja masalah pengambilan ubat secara berkualiti yang timbul, malahan turut membimbangkan apabila pasaran tempatan dibanjiri ubat palsu dan ubat tiruan. Pendaftaran ubat dengan KKM dapat mengekang penjualan ubat palsu bagi memastikan ia berkualiti, bersih, selamat dan berkesan mengikut dakwaan pengeluarnya.

Namun, timbul pula masalah ubat tiruan di mana ‘pengeluar’ meniru produk ubat yang sudah berdaftar, dengan tujuan menipu pengguna membeli produk mereka yang belum tentu selamat atau berkesan.

Menurut Dr. Salmah, WHO menganggarkan ubat tiruan kini merangkumi 10 peratus daripada bekalan pasaran ubat dunia.

“Masalah ini adalah masalah sejagat tanpa sempadan dan bertambah buruk di negara yang penguatkuasaan pengilangan, pengimportan, pengedaran, bekalan dan jualan ubat kurang dikawal.

“Ubat-ubat tiruan ini merupakan ancaman serius kerana ia membahayakan kesihatan pesakit dan dalam sesetengah kes boleh menyebabkan kematian,” ujarnya.

Beliau memaklumkan terdapat 774 kes serbuan telah dijalankan sepanjang 2007 dengan anggaran sejumlah RM35.8 juta nilai rampasan ubat tidak berdaftar, termasuk ubat tiruan direkodkan.

“Statistik rampasan ubat tidak berdaftar pada 2007 adalah sejumlah 21,000 barangan bernilai RM29 juta sementara 8,600 barangan bernilai RM2.7 juta lagi berjaya dirampas sehingga bulan Jun 2008.

“Melalui pengalaman bahagian Penguatkuasa Farmasi, jenis ubat palsu yang popular ialah ubat perangsang seks, ubat menguruskan badan, ubat sakit sendi, ubat mengurangkan lemak, ubat untuk mengawal alahan, gatal-gatal dan ubat selesema serta batuk,” jelasnya.

Pendaftaran ubat dengan KKM, moden atau tradisional, dapat melindungi pengguna daripada penipuan dan produk yang tidak berkesan atau berbahaya.

Dr. Salmah menyatakan tiada ubat yang 100 peratus selamat dan kadang kala boleh memberikan kesan sampingan atau berinteraksi dengan ubat lain yang diambil pengguna.

“Pengeluar ubat berdaftar diwajibkan menyatakan kesan sampingan yang mungkin berlaku (risalah ubat) hasil penggunaannya. Kesan interaksi ubat tersebut dengan ubat lain turut diuji bagi menasihatkan cara penggunaan terbaik kepada pesakit.

“Namun, ubat tidak berdaftar dan ubat tiruan tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai sumber, kandungan, tahap keberkesanan, kebersihan dan keselamatannya,” katanya.

Beliau menjelaskan ubat palsu atau tiruan dapat menipu pengguna terutamanya jika dibeli di tempat atau dari sumber yang tidak betul.

Tambahnya, serbuan dan rampasan tidak dapat menghentikan penjualan produk palsu dan tiruan selagi pengguna tidak memahami bahayanya dan tetap memilih produk mengikut harga murah.

Untuk memastikan produk ubat berdaftar dan tulen, perhatikan label pembungkusan pada kotak atau pembalut ubat dan pastikan ia mempunyai maklumat lengkap seperti nama pengeluar, pengilang, tarikh pembungkusan, tarikh luput, dan paling utama nombor pendaftaran serta hologram meditag KKM.

Dr. Salmah menjelaskan alat dekod meditag telah dibekalkan KKM secara percuma kepada kebanyakan farmasi di seluruh negara bagi membolehkan pengguna memeriksa ketulenan hologram KKM pada bungkusan ubat.

“Setakat ini, 75 peratus farmasi di Kuala Lumpur mempunyai alat ini tetapi belum mencapai tahap 100 peratus di semua farmasi seluruh negara.

“Memandangkan nombor pendaftaran boleh dipalsukan, pengguna perlu berwaspada dengan memastikan produk tersebut mempunyai nombor pendaftaran dan hologram yang asli,” ujarnya.

Pemahaman

Bagi meningkatkan pemahaman tentang pentingnya pengambilan ubat secara berkualiti dan mengelakkan penipuan ubat palsu dan tiruan, KKM akan meneruskan kempen dan program menyebar maklumat kepada orang ramai.

Dr. Salmah menjelaskan banyak pameran dan bengkel akan diadakan, termasuk di kampung-kampung, flat-flat Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga promosi melalui media cetak dan elektronik.

“Jika terjumpa, terbeli, termakan ubat palsu atau tiruan, segera dapatkan pemeriksaan doktor bagi memastikan tiada kesan sampingan dan laporkannya kepada pihak berkuasa.

“Semua hospital kerajaan kini mempunyai unit maklumat ubat-ubatan untuk kemudahan pengguna. Sesetengah klinik kerajaan juga sudah ada pegawai farmasi sendiri,” katanya.

Oleh itu, Dr. Salmah berharap orang ramai tidak lagi keberatan, malu atau segan untuk bertanya kepada doktor atau ahli farmasi tentang maklumat ubat yang kurang jelas atau tidak difahami.

Tambahnya, pengguna juga perlu merajinkan diri membaca risalah yang menjelaskan maklumat lengkap ubat, terutamanya tujuan dan cara penggunaan di samping kesan sampingan yang mungkin timbul.

Tidak kira sama ada anda pengguna atau pengamal perubatan, pastikan aspek 5B dan pastikan juga apa yang diberi dan diterima tulen, selamat dan berkesan dengan memilih ubat yang mempunyai nombor pendaftaran dan hologram KKM yang asli.

Untuk maklumat lanjut atau melaporkan ubat tidak berdaftar (palsu) dan tiruan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Farmasi, Hospital Kuala Lumpur di talian 03-26155136 atau cawangan penguat kuasa farmasi, bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan melayari laman web www.knowyourmedicine,gov. my atau www/pharmacy.gov.my atau www.bpfk.gov.my untuk mendapatkan status pendaftaran ubat.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment