Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, October 28, 2008

Menangani Ekzema Atopi

SOALAN:
‘‘Saya mengalami masalah ekzema sejak sekian lama. Saya banyak bergantung kepada krim sapuan yang diberikan doktor. Sebagai tambahan, apakah yang boleh disarankan agar masalah ekzema saya boleh diperbaiki?,’’.


JAWAPAN:
Alahan atau alergi makanan memberi sumbangan yang besar kepada ekzema. Alergan biasa yang dikenalpasti termasuklah produk susu, telur, kekacang, buah-buahan sitrus, coklat dan juga makanan laut.

Akan tetapi, adalah penting untuk menyedari bahawa sebarang makanan boleh menyebabkan alahan. Oleh yang demikian, pesakit ekzema dicadangkan menyimpan diari makanan untuk mengesan alergen yang berpotensi agar ia boleh dijauhi.

Diagnosis alergi makanan boleh dilakukan dengan ujian makmal dan doktor boleh memberi maklumat lanjut mengenai ujian yang dijalankan.

Mengelakkan dari memakan sesetengah makanan secara tidak langsungnya akan menyebabkan kekurangan nutrien.

Oleh yang demikian, pastikan makanan yang membekalkan nutrien yang hampir sama digantikan ataupun mengambil suplemen sebagai alternatif.

Kajian klinikal menunjukkan pengambilan minyak evening primrose, iaitu sumber semula jadi asid gama linolenik (GLA) dapat melegakan simptom-simptom ekzema.

Sesetengah kajian juga menunjukkan kombinasi asid lemak perlu berantai panjang (LCP) seperti minyak ikan dan minyak evening primrose memberi respons yang menggalakkan.

LCP juga terlibat dalam metabolisme prostaglandin yang memainkan peranan dalam pencegahan alergi dan keradangan. Prostaglandin adalah bahan kimia yang menyerupai hormon penting dalam pengekalan kesihatan sistem saraf, hati dan imuniti badan.

Tambahkan suplemen anti-radikal bebas yang mengandungi beta karotena, vitamin C, E, zink dan selenium untuk memperbaiki masalah kulit dan juga menyokong sistem imun.

Penyelidikan terkini menunjukkan probiotik juga boleh memainkan peranan dalam pengurangan respons alergi seperti ekzema atopi. Ekzema merupakan sejenis alahan yang disebabkan oleh masalah dalam penghadaman protein.

Pengambilan probiotik membantu dalam mengembalikan populasi mikroflora terutamanya dalam usus yang membantu memperbaiki proses penghadaman. Dengan itu, ia boleh memberi manfaat untuk mengurangkan simptom-simptom alahan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. Ekzema boleh dirawat hingga sembuh dengan rawatan Ayurveda tanpa melibatkan penggunaan ubat yang mengandungi bahan kimia dan dadah...

    ReplyDelete