Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, November 02, 2010

Harapan Pesakit Neurovaskular

Jari tangan Pakar Bedah Saraf terkemuka dunia, Profesor Dr. Micheal K. Morgan memegang lembut alat bedah ketika melakukan pembedahan neurovaskular pesakit yang disahkan mengalami Arteriovenous Malformation atau Malformasi arterio vena (AVM).

Suasana di bilik bedah itu senyap seketika apabila Dr. Morgan memulakan torehan kepala seorang pemuda. Hanya sesekali bunyi alat penyedut cecair memecah kesunyian. Bau hanyir darah seperti tidak mengganggu langsung pasukan pembedahan Dr. Morgan yang dibantu oleh Perunding Pakar Bedah Saraf dari Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Jagdeep Singh (terdapat 20 orang dalam pasukan pembedahan termasuk jururawat dan pakar anestisia).

Dengan penuh teliti umpama melukis sesuatu, perhatian dua pakar tersebut tertumpu pada mikroskop digital. Torehan itu mendedahkan selaput otak yang berwarna putih kemerah-merahan.

Kemudian, seorang petugas membersihkan kawasan itu supaya saraf otak lebih jelas kelihatan. Bahagian itu dicuci sebelum proses pembedahan dimulakan.

Empat tahun lalu, pemuda yang berusia 22 tahun itu mengalami sakit kepala yang teruk. Dia menyangkakan sakit kepala itu hanya perkara normal seperti yang dialaminya sebelum ini.

Pemuda itu telah menjalani ujian imbasan (CT Scan) otak dan ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) pada 2006. Akhirnya, penderitaan sakit kepalanya terjawab apabila dia didiagnosis mengalami AVM.

Kehadiran Dr. Morgan tahun ini ternyata membawa tuah kepada pemuda itu apabila Dr. Morgan telah menjalinkan kerjasama dengan Gleneagles bagi memulakan rawatan neurosurgeri bertahap tinggi di Malaysia.

Pesakit neurovaskular itu kini mempunyai harapan.

Pendarahan

Kebanyakan masyarakat pada hari ini sering mengaitkan sakit kepala dengan penyakit “migrain”. Namun, hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tentang penyakit AVM. Penyakit itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia tua mahupun muda. Mungkin anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukan sakit kepala biasa.

Pada 21 November lalu, Dr. Morgan telah mengendalikan dua prosedur pembedahan secara langsung yang membabitkan AVM dan pembedahan aneurisme.

Jika diperhatikan, kedua-dua kes itu mempunyai simptom yang sama iaitu sakit kepala yang teruk, mual, muntah dan kejang di bahagian leher.

Menurut Dr. Morgan, AVM merupakan pengumpulan saluran darah secara tidak normal di otak. Keadaan ini disusuli dengan pendarahan dalam otak atau sawan.

“Kebiasaannya rawatan untuk AVM sangat kompleks dan boleh membabitkan pelbagai kaedah. Diagnosis terhadap AVM boleh dilakukan dengan menjalankan prosedur angiogram dan imbasan MRI,” ujarnya.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, pendarahan dalam otak yang berulang boleh mengancam nyawa. Pilihan rawatan bagi AVM adalah termasuk pembedahan atau terapi radiasi.

Tambah Dr. Morgan, embolisasi iaitu pemotongan peredaran darah ke AVM boleh digunakan sebagai tambahan kepada kaedah rawatan AVM.

“Dalam kes tertentu pesakit akan memerlukan kombinasi kaedah pembedahan, terapi radiasi atau embolisasi,” ujarnya.

AVM adalah gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena. Ini menyebabkan pertukaran tekanan yang tidak terurus secara berkala di antara arteri dan vena. Menurut Pakar Bedah saraf Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramesh Narenthiranathan, tekanan yang tinggi dari arteri menyebabkan pengembangan salur vena yang tidak terkawal dan tidak normal.

“Pengembangan ini, jika tidak dibendung, akan menipis dan akhirnya pecah disebabkan tekanan darah yang tinggi. Pandangan dan nasihat pakar bedah otak adalah perlu bagi memastikan rawatan yang paling sesuai dan berkesan bagi merawat penyakit ini,” ujar beliau.

Dr. Ramesh menjelaskan AVM boleh berlaku di mana sahaja di dalam bahagian otak kita, sama ada besar mahupun kecil. Apabila pendarahan berlaku, pendarahan ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan pendarahan yang berpunca akibat daripada pendarahan ‘‘hypertensive”. Ramai pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sebenarnya pengidap penyakit AVM. Antara tanda-tandanya ialah kesakitan di bahagian sebelah kiri mahupun kanan kepala dan apabila perkara ini berlaku, pesakit perlulah menjalani rawatan imbasan CT atau MRI.

Ditulis oleh:Rabiatul Adawiyah Koh AbdullahDipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Saturday, October 16, 2010

Buah Pinggang Rosak Boleh Jejas Kesuburan

Ketika menjalani rawatan dialisis, proses penghasilan sperma akan terjejas dan mutu sperma yang dihasilkan adalah rendah malah sperma yang dihasilkan mempunyai masalah motiliti.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan selepas seseorang lelaki menjalani pemindahan buah pinggang, akan berlaku perubahan di mana proses penghasilan sperma kembali pulih tetapi timbul masalah dari segi motiliti. Dalam sesetengah kes pula, kualliti dan motiliti akan pulih sepenuhnya.
SOALAN :
Saya berusia 38 tahun dan disahkan mengalami kerosakan kekal di kedua-dua belah buah pinggang. Saya perlu menjalani rawatan dialisis berjadual serta banyak berpantang. Persoalan saya, apakah ini boleh menjejaskan kesuburan saya?

Ingin Tahu



JAWAPAN :
Untuk makluman saudara, pesakit buah pinggang kronik terutama yang perlu menjalani rawatan dialisis akan menghadapi masalah kesuburan. Pengumpulan toksin terutama urea dalam darah akibat daripada kegagalan buah pinggang boleh menjejaskan penghasilan sperma.

Satu lagi masalah yang akan timbul adalah mati pucuk di mana kemungkinan untuk saudara menghadapi masalah ini meningkat dari sembilan peratus sebelum dialisis kepada 70 peratus ketika rawatan dialisis dijalankan.

Bagaimanapun, masalah ini boleh diatasi dengan mudah iaitu menggunakan ubat PDE5 inhibitor seperti viagra. Saya ingin menasihatkan saudara berjumpa pakar fertiliti supaya kaedah seperti penyimpanan sperma (sperm banking) boleh dilakukan sebelum rawatan dialisis bermula. Ini boleh membantu jika saudara ingin mendapatkan zuriat melalui cara assisted in vitro fertilization.



Dipetik dari:http://www.bharian.com.my/

Thursday, October 14, 2010

Risiko Biarkan Tubuh Kontang

Tubuh manusia memerlukan air untuk mengekalkan darah dan cecair-cecair lain secukupnya bagi membolehkannya berfungsi dengan sempurna. Di samping cecair badan, tubuh juga memerlukan bahan elektrolit, yang terdiri daripada garam yang lazimnya terdapat di dalam darah, cecair tubuh yang lain dan sel-sel.

Dehidrasi merupakan kehilangan air dan garam daripada badan. Dalam bahasa Melayu secara umumnya, ia boleh dimaksudkan sebagai kekontangan. Badan kita boleh kehilangan cecair melalui pelbagai cara. Antaranya adalah:

* Ketika membuang air kecil.

* Semasa muntah atau mengalami cirit-birit.

* Ketika berpeluh.

* Melalui paru-paru semasa bernafas.

Jika badan kehilangan sejumlah besar cecair dan garam dan tidak digantikan dengan segera seperti meminum air, badan akan kekeringan atau kekontangan. Walaupun sesiapa sahaja boleh mengalami dehidrasi, golongan yang paling mudah mengalami masalah ini adalah:

* Bayi yang berumur di bawah 1 tahun.

* Warga tua.

* Mereka yang mengalami demam.

* Penduduk yang tinggal di kawasan beriklim panas.

Apabila disebut dehidrasi kita juga terbayang manusia di tengah padang pasir yang sedang kehausan atau seorang atlet baru selesai menghabiskan acara sukan berat.

Benda yang paling berharga dalam keadaan itu adalah air yang dianggap penyambung nyawa.

Namun dehidrasi bukan setakat itu. Bukan sekadar rasa dahaga yang kemudiannya boleh dihilangkan dengan hanya meminum air. Sebaliknya dehidrasi boleh mengakibatkan pelbagai kesan sampingan lantaran air merupakan elemen paling penting dalam tubuh manusia. Justeru kehilangan air dalam badan yang banyak mengancam nyawa seseorang, dalam keadaan itu kita sebenarnya mengalami dehidrasi kronik.

Mungkin tidak ramai yang tahu tentang dehidrasi kronik dan bagaimana untuk mengetahui jika seseorang mengalami keadaan tersebut.

Kebanyakan kita percaya badan hanya memerlukan air apabila kita berasa dahaga. Sebenarnya tidak begitu. Apabila mulut berasa kering dan kita berasa dahaga, tubuh kita sebenarnya telah benar-benar kontang. Mungkin sesuatu yang mengejutkan jika diberitahu mulut yang kering adalah petunjuk keadaan dehidrasi teruk. Ketika itu anda telah berada pada paras dehidrasi kronik.

Badan kita dilengkapi dengan sistem pintar. Sebelum sampai ke tahap mulut berasa kering, badan akan menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan memulakan proses mengagihkan semula air yang masih ada di dalam badan. Apabila tubuh dalam keadaan dehidrasi kronik maka rasa letih, hilang tenaga, sukar membuang air besar, kesukaran penghadaman, tekanan darah rendah atau tinggi, ulser perut, kesukaran pernafasan, ketidakseimbangan asid/alkali, lebihan berat badan dan obesiti, ekzema, kolesterol, jangkitan air kencing reumatisme dan penuaan akan berlaku.

Tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air, otak pula mengandungi 80 peratus air, komposisi darah terdiri daripada 90 peratus air. Ini bermakna kita bergantung kepada air sebagai asas kewujudan kita di muka bumi dan bukannya soda, jus, kopi, teh atau minuman keras. Kita memerlukan air untuk membolehkan sel-sel dalam dalam berfungsi mengikut yang sepatutnya.

Kita perlu tahu bahawa kehilangan satu peratus air daripada keseluruhan berat badan akan mengakibatkan kita hilang 10 peratus keupayaan fizikal. Apabila tubuh terdedah kepada suhu 30 darjah celcius, air yang hilang adalah sebanyak tiga liter setiap jam atau lebih daripada 4 peratus berat badan, bermakna kita boleh menjangkakan kehilangan 40 peratus keupayaan fizikal. Jika kita bekerja di bawah terik matahari maka kadar kehilangan tenaga adalah lebih.

Dalam suasana persekitaran yang panas, anda memerlukan lebih banyak air untuk kekal bertenaga. Untuk kesejahteraan fizikal dan mental, kualiti serta kuantiti air yang diambil mesti diambil kira.

Lapar atau Dahaga?

Jika kita memerlukan air, biasanya kita memilih sama ada minum air atau mengambil makanan yang mengandungi air. Kebiasaannya kita akan memilih makanan daripada air. Dalam kebanyakan kes, kita tersilap antara lapar dan dahaga menyebabkan kita makan banyak untuk memenuhkan keperluan air dalam badan. Hasilnya kita menambah lemak terkumpul terutama jika makanan yang diambil adalah makanan siap proses atau makanan segera.

Semakin banyak kita makan, semakin banyak air diperlukan untuk proses penghadaman dan menyingkirkan sisa buangan dari badan.

Tubuh kita terdiri daripada air dan tanpa air, kita bernasib baik jika dapat bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari. Biarpun begitu, ramai daripada kita berhadapan dengan suasana tidak selesa dan masalah kesihatan semata-mata kerana kita tidak minum air yang mencukupi.

Albert Einstein pernah berkata, melakukan perkara yang sama berkali-kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza adalah. Oleh itu pastikan air dalam badan kita mencukupi dan lakukannya setiap hari kerana hasilnya adalah sama iaitu untuk mengekalkan kecergasan dan membolehkan sel-sel badan berfungsi.

Ditulis oleh:Noraini Abdul RazakDipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Thursday, October 07, 2010

Tiada Nikmat

Saya ingin berkongsi satu masalah yang pernah diajukan oleh pasangan sudah lama berkahwin tapi tidak pernah mengecapi keseronokan hubungan seks. Agak malang dan sungguh kasihan kepada mana-mana pasangan yang berdepan masalah seperti itu.

Nasihat saya, pasangan terbabit serta yang menghadapi masalah serupa perlu membuka minda kerana hubungan seksual bukan untuk lelaki saja, sebaliknya wanita juga berhak menikmatinya.

Biasanya ketika wanita mengalami rangsangan seksual, tindak balas semula jadi yang berlaku ialah perjalanan darah yang banyak ke anggota kelaminnya.

Bibir besar, bibir kecil, klitoris dan bahagian antara dua bibir kecil yang dikenali sebagai ‘vestibule’ akan mengembang. Pepundi di bahagian vestibule juga mengembang dan menghasilkan cecair dikenali sebagai mukosa alat kelamin wanita.

Dalam keadaan terangsang dan bersedia, mudah untuk wanita itu merenggangkan alat sulit supaya penetrasi dilakukan dengan kemas dan selesa untuk kedua-dua pihak.

Cara bijak untuk mengelak perasaan tidak selesa kepada wanita ketika melakukan hubungan seksual penetratif ialah wanita itu sendiri menyalurkan alat sulit suami ke dalam alat kelaminnya.

Apabila keadaan selesa, mereka boleh melakukan pergerakan dan pasangan lelaki melakukan gerakan mengikut cita rasa mereka berdua.

Pasangan juga perlu banyakkan sentuhan dan belaian sebelum memulakan seks penetratif.

Wanita perlu memandu pasangan melakukan sentuhan keintiman yang diminatinya supaya dia rasa seronok dan ghairah serta mudah menghayati rangsangan seksual yang memberinya keselesaan serta kelegaan dengan pengeluaran kelembapan sesuai untuk hubungan seksual penetratif.

Anggota seksual wanita lembut dan mengandungi tisu elastik serta tidak mudah cedera jika sentuhan dilakukan dengan cermat dan selesa untuknya.

Tidak salah untuk wanita membantu mencapai rangsangan dengan menyentuh anggota kemaluannya yang sensitif dan secara tidak langsung mempercepatkan kelembapan alat sulit supaya hubungan seks penetratif dilakukan dengan lebih selesa.

Bagaimanapun, digalakkan wanita itu menyalurkan alat kelamin ke dalam alat sulitnya dan melegakan serta meluaskan pembukaan dengan tidak mengemut. sambil pasangan menyorongkan zakar ke dalam faraj.

Semua ini dapat membantu memberi keselesaan ketika bersetubuh dan dalam keadaan selesa, dia dapat menikmati rangsangan dan mencapai kepuasan rangsangan atau klimaks.

Sekurang-kurangnya wanita dapat menikmati sentuhan intim yang padu dan mengikut keselesaannya.

Jika keadaan mengizinkan, dia mungkin boleh mencapai klimaks atau sekurang-kurangnya rasa puas dengan nikmat dialaminya.

Ada wanita mengalami masalah kesihatan yang boleh mengakibatkan masalah mati putik sekunder dan sebahagian penyakit ini ialah kencing manis, tekanan darah tinggi atau kesan sampingan ubat darah tinggi.


Dipetik dari:http://www.hmetro.com.my/

Wednesday, September 01, 2010

SLE Penyakit Seribu Wajah

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tinggal sebulan lagi namun Zakira Adlia Mohd. Zarawi tiba-tiba diserang demam. Bukan sehari dua sebaliknya demam itu berlarutan sehingga tiga minggu. Terdapat juga ruam di tangannya. Doktor yang memeriksa kesihatannya di klinik kemudian merujuk Zakira Adlia ke hospital apabila kesihatannya masih di takuk yang sama.

Selepas dua hari menjalani ujian darah di hospital, dia kemudiannya disahkan mendapat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE). Sejujurnya pada masa itu, dia sendiri tidak tahu apa reaksi yang hendak diberi. Antara terkejut dengan tidak, dia sebenarnya tidak pernah tahu dan mendengar tentang penyakit itu.

“Saya tak pernah dengar nama penyakit itu sebelum ini. Kerana sakit, saya tidak dapat menghadiri banyak kertas peperiksaan pada masa itu,” kata Zakira Adlia, 19, mengenang kembali saat dia mula menghidap SLE dua tahun lalu. Zakira Adlia yang bakal mengambil peperiksaan SPM sekali lagi pada tahun ini menjelaskan, dia tidak berupaya mengulang semula peperiksaan tahun lalu kerana mengalami sakit-sakit pada sendi, keguguran rambut, sakit perut, kaki dan bengkak pankreas semuanya disebabkan oleh SLE. Dia telah dimasukkan ke wad selama tiga bulan termasuk menjalani pembedahan membuang bengkak di pankreas.

“Sehingga hari ini, saya mesti makan ubat setiap hari. Tidak boleh tertinggal sehari pun. Ubat yang perlu dimakan sangat banyak. Kira-kira 10 jenis ubat yang perlu diambil,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah Sungei Wang, Kuala Lumpur dalam satu program meraikan pesakit SLE baru-baru ini.

Penyakit kronik

SLE ialah penyakit kronik autoimun di mana antibodi dalam tubuh pesakit yang sepatutnya melindungi badan untuk melawan penyakit tiba-tiba `berubah’ dengan menyerang sel badan atau organ manusia. Dalam kata lain, ia satu gangguan sistem imun membabitkan sistem imun itu sendiri melawan bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya dilindungi.

Erythematosus bererti ruam merah manakala lupus ialah perkataan Latin bagi serigala.

Pada tahun 1851, Dr. Cazenave menjumpai ruam merah di muka seorang pesakit yang kelihatan seperti gigitan serigala.

Kemudian, pada tahun 1885, Sir William Osler mengenal pasti bahawa ramai individu yang mengidap lupus mempunyai penyakit yang bukan sahaja melibatkan kulit tetapi turut melibatkan organ dan sistem badan yang lain. Penyakit tersebut kemudian dinamakan SLE.

Menurut Pakar Perunding Rheumatologi Hospital Putrajaya, Dr. Heselynn Hussein, penyakit ini berlaku secara tiba-tiba kepada seseorang individu dan puncanya tidak diketahui. Ia menjadikan sistem daya tahan tubuh menjadi berkecamuk dan bercelaru.

Jelasnya, penyakit ini menyerang individu secara tiba-tiba dan masa ia menyerang tidak diketahui. Ia mempunyai spektrum yang luas di mana ada pesakit yang mendapat penyakit SLE ringan dan ada yang memperoleh serangan sangat serius. Ia boleh menyerang kulit sahaja dan ia boleh menyerang sendi, buah pinggang, jantung, paru-paru, saraf dan otak.

“Penyakit ini boleh membawa maut kerana SLE berupaya menyebabkan kegagalan fungsi organ atau serangan SLE itu sendiri terlalu kuat yang dinamakan krisis lupus. Antibodi juga boleh memecahkan sel-sel darah merah dan menyebabkan pesakit kurang darah merah,” ujarnya.

Berbicara tentang simptom awal, Heselynn menerangkan penyakit ini tidak mempunyai simptom spesifik dan ia berubah-ubah mengikut individu. Secara umumnya, ada yang menderita demam, mendapat ruam, rambut gugur, sakit sendi, mudah penat dan kemurungan.

“Itulah sebabnya penyakit ini dinamakan penyakit seribu wajah kerana simptomnya berubah-ubah mengikut individu. Adakalanya sukar untuk doktor mengesahkan penyakit ini kerana wujudnya unsur-unsur penyamaran. Misalnya, salah satu simptomnya ialah sakit sendi sedangkan ada banyak lagi penyakit lain yang turut menyebabkan sakit sendi,” ujarnya sambil memberitahu untuk mengesahkan penyakit ini, pesakit yang sudah menampakkan simptom perlu menjalani ujian darah antinuklear antibodi (ANA).

Ruam

Namun begitu, majoriti pesakit dipercayai mula mendapat penyakit ini dengan kemunculan ruam yang dinamakan malar rash atau butterfly rash yang berbentuk kupu-kupu di muka atau bahagian-bahagian tubuh yang lain termasuk di leher, telinga dan kepala.

Pesakit yang terlewat dikesan penyakit ini berisiko maut apabila antibodi berkenaan sudah terlalu aktif dan terus merosakkan sel atau organ badan tanpa disedari.

Heselynn memberitahu, untuk merawat penyakit ini, doktor akan memberikan ubat yang dapat mengurangkan kekuatan antibodi. Rawatan asas atau wajib ialah pengambilan hydroxychloroquine.

“Memang pesakit biasanya perlu makan banyak ubat, tetapi bukan kesemuanya khusus untuk SLE. Memandangkan SLE menyerang organ, maka ada ubat yang perlu diambil untuk melindungi organ tertentu dan ubat steroid. Itu sebabnya ada yang perlu makan banyak ubat,” jelasnya.

Heselynn menegaskan penyakit ini tidak boleh disembuhkan dan ia hanya boleh dikawal. Ubat perlu diambil secara berterusan.

“Pesakit perlu makan ubat seperti yang disarankan doktor. Sebarang perubahan bilangan ubat akan ditentukan oleh doktor. Jangan buat keputusan sendiri untuk berhenti atau mengurangkan bilangan ubat apabila rasa sudah baik sedikit. Pesakit digalakkan menjalani hidup normal seperti biasa,” katanya.

Kebanyakan penghidap SLE berada dalam lingkungan umur di antara 15 tahun hingga 50 tahun. Penyakit ini bagaimanapun boleh menyerang tatkala pesakit mencapai usia akil baligh. Lebih kurang 90 peratus penghidap SLE ialah wanita. Ia mungkin ada kaitan dengan hormon estrogen.

Seorang lagi pesakit, Hazwani Amzan, 21, menghidap SLE sejak berusia 11 tahun. Cerita Hazwani, pada masa itu, dia perlu tinggal di hospital selama sebulan sehingga doktor benar-benar dapat mengesahkan yang dia menghidap SLE.

“Sehingga hari ini, saya masih mengambil ubat seperti yang disyorkan. Mesti makan ubat setiap hari,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pesakit lelaki, Mohd. Izwan Affendy Abdul Latiff, 23, memberitahu, dia mendapat SLE tidak lama selepas menduduki SPM. Dia berkata, simptom yang dialaminya ialah seluruh tubuh termasuk matanya menjadi kekuningan seperti kehilangan banyak darah merah.

“Doktor pun pelik sebab jarang lelaki dapat SLE,” ujarnya.


Ditulis oleh:Adham ShadanDipetik dari:http://www.kosmo.com.my/

Wednesday, August 18, 2010

7 Langkah Jantung Sihat

Risiko penyakit jantung bermula sejak kecil dan tabiat buruk menjadikannya lebih teruk. Penyakit jantung adalah penyakit senyap. Tiba masanya akan wujud simptom - sama ada serangan jantung atau strok - ia sudah terlambat," kata Pakar Perunding Kardiologi Datuk Khoo Kah Lin, Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM) dan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Mengulas lanjut, beliau berkata: "Melalui Program 'Jantung Sihat' YJM yang disokong oleh Quaker, kami menggesa ibu bapa memberi komitmen dalam mengamalkan gaya hidup sihat supaya menjadi teladan kepada anak-anak.

"Itulah hadiah terbaik yang anda boleh berikan kepada mereka."

Berikut tujuh langkah terbaik untuk menjadi teladan yang baik kepada anak-anak.

1. Berikrar

Ikrar adalah sumpah untuk tidak melakukan suatu perkara. Dalam kes ini bermaksud anda ingin menjalani gaya hidup sihat dengan mempraktikkan tabiat baik dan menjauhi yang buruk.

2. Nilai kesihatan jantung anda

"Risiko seseorang mendapat penyakit jantung koronari dan penyakit berkaitan pembinaan plak, dan diabetes Jenis 2, bergantung kepada faktor risiko metaboliknya.

"Risiko faktor metabolik adalah obesiti abdomen, tinggi LDL kolesterol ("jahat"), rendah HDL kolesterol ('baik'), tinggi tekanan darah dan glukosa dalam darah. Lebih banyak faktor risiko metabolik, lebih tinggi risiko mendapat penyakit jantung,'' kata Dr. Khoo

Untuk bacaan tepat risiko anda terhadap penyakit jantung, belia menasihatkan anda mengukur lilitan pinggang dan lakukan ujian darah. Anda juga perlu jujur dalam menilai diri dan gaya hidup. Adakah anda gemuk? Adakah anda ambil makanan rendah lemak, berserat tinggi? Adakah anda selalu bersenam? Adakah anda merokok? Tanya mengapa amalkan tabiat tersebut. Adakah anda merokok untuk elak tekanan? Adakah tabiat makan yang buruk disebabkan pengurusan masa yang tidak teratur?

3. Tetapkan sasaran

Sasarkan berat badan, lilitan pinggang, kolesterol darah, tekanan darah dan glukosa darah anda berada di julat sihat. Khususkan sasaran anda dan berikan tempoh akhir.

Contohnya, jika anda perokok, beri masa tiga bulan untuk berhenti. Jika anda tinggi kolesterol darah, berusaha untuk menurunkan kolesterol LDL dan tingkatkan HDL dalam 30 hari.

4. Atur strategi

Tetapkan strategi berdasarkan nasihat pakar (rujuk Jadual B). Jika anda mahu menurunkan kolesterol darah, seeloknya anda tahu bagaimana kolesterol berlebihan dalam darah boleh menyebabkan penyakit jantung. Sekiranya anda buat rujukan, anda akan tahu bahawa perkara yang paling efektif untuk jantung adalah mengambil makan berserat tinggi, terutamanya oat larut (beta-glukan) yang boleh menurunkan kolesterol dalam darah secara klinikal.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA), diet tinggi oat atau bran oat dan rendah lemak tepu serta kolesterol boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

Perunding Diet Indra Balaratnam memberi nasihat membina. "Salah satu strategi untuk turunkan kolesterol adalah makan dua mangkuk oat setiap hari. Ia sebanyak 70 gram oat, di mana ia membekalkan 3 gram beta-glukan yang menurunkan paras kolesterol dalam darah secara efektif."

"Oat juga pilihan terbaik jika anda berhasrat untuk menurunkan berat badan kerana ia 100 peratus semulajadi, rendah lemak dan anda berasa kenyang lebih lama."

Adakala strategi anda memerlukan nasihat professional. Contohnya, jika anda terlalu gemuk, bertekad untuk menurunkan berat dengan cara sendiri akan membawa kepada kekecewaan dan mungkin gagal.

Jadual B Prinsip-prinsip gaya hidup sihat

>> Berhenti merokok.

>> Turunkan berat badan.

>> Ambil makanan berserat tinggi dan rendah lemak tepu, lemak trans dan kolesterol.

>> Utamakan oat untuk nikmati kebaikan serat oat larut (beta-glukan) yang menurunkan kolesterol.

>> Kekal berat badan sihat dengan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

5. Kongsi bersama

Jangan simpan rancangan anda. Kongsinya bersama pasangan, rakan malah anak-anak. Sokongan yang tersayang membantu memotivasikan anda, terutama pada waktu sukar. Mereka membantu anda berada di landasan yang betul dan siapa tahu, mungkin menyertai anda!

6. Laksana dan awasi


Tiba masanya untuk bertindak. Buat keputusan bijak setiap hari untuk mengawal tabiat anda seperti pilihan makanan dan senaman. Berbangga dengan diri anda apabila membuat pilihan bijak. Awasi perkembangan dengan menulis log pengambilan makanan dan senaman. Simpan rekod mingguan ukuran lilitan pinggang sekiranya anda ingin mengurangkan lemak di perut.

7. Nilai dan susun semula strategi

Bila anda sampai ke tarikh akhir, jalani ujian darah untuk mengetahui bagaimana keadaan anda. Jika anda patuh dengan prinsip hidup sihat, anda mendapati lilitan pinggang, berat badan serta bacaan lain akan terletak di dalam julat sihat.

Jika usaha anda tidak berjaya, masih ada masa untuk menyusun semula strategi. Dapatkan nasihat professional jika perlu.

Usaha yang anda ambil untuk gaya hidup sihat akan memberi impak besar kepada anak anda. Dengan mempraktikkan tabiat jantung sihat, anda bukan saja merendahkan risiko penyakit jantung tetapi juga kepada anak anda. Artikel ini adalah sumbangan Program Jantung Bijak Quaker yang menyokong Program Jantung Sihat Yayasan Jantung Malaysia.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/