Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, February 18, 2010

Kuma-Kuma Hindar Jerawat

Kuma-kuma atau nama komersialnya saffran antara rempah-ratus yang cukup mahal dalam masakan. Tetapi jarang sekali kedengaran ia digunakan dalam industri kecantikan khususnya produk penjagaan wajah.

Tumbuhan kecil berwarna kuning daripada keluarga Iridacea ini ditanam di beberapa negara seperti Iran, Sepanyol, Turki, India dan Itali.

Ia merupakan rempah termahal di dunia kerana dianggarkan sebanyak 150,000 hingga 200,000 kuntum bunga kuma-kuma diperlukan bagi mendapatkan sebanyak satu kilogram stigma kering.

Pelbagai ujian klinikal oleh saintis dan pakar-pakar kimia mengesahkan bahan ekstrak kuma-kuma memiliki nilai perubatan yang tinggi seperti dapat mengubati jerawat dan penyakit kulit.

Perubatan Ayurveda sejak ribuan tahun telah menggunakan bahan ekstrak kuma-kuma dalam lebih daripada 20 jenis ubat-ubatannya.

Pemilik First Impression Beauty Saloon, Fahrina Sheek Daud berkata, rawatan wajah yang menggunakan bahan campuran kuma-kuma dan serbuk emas dapat membantu menegang dan mencerahkan kulit muka.

"Rawatan ini sesuai bagi wanita yang berumur 35 tahun ke atas kerana pada umur ini struktur kulit mula berubah sedikit demi sedikit.

"Rawatan yang mengambil masa selama satu setengah jam ini memulihkan kulit yang suram tadi agar nampak bersih, cerah, halus, tegang dan lembap," kata Fahrina yang telah menjalankan perniagaan kecantikan ini selama lapan tahun.

Langkah-langkah:

1. Mula-mula muka akan dibersihkan menggunakan pembersih muka yang mengandungi herba, buah-buahan dan kuma-kuma bagi pembersihan secara mendalam untuk kulit lebih berseri.

2. Setelah dibersihkan, skrub yang mengandungi minyak gandum, kuma-kuma, aprikot dan tanah liat merah disapu pada muka bagi menanggalkan sel kulit mati dan menjadikan kulit lebih lembut.

3. Masker minyak tea-tree yang dicampur vitamin E, D, minyak gandum dan lemon disapu pada muka selama 10 minit bagi mengecilkan pori-pori dan sebagai anti oksida dan menjadikan kulit bersinar.

4. Muka diurut menggunakan krim urut kuma-kuma bercampur jel serbuk emas selama 20 minit bagi menegang, menganjalkan kulit dan anti penuaan.

5. Muka disapu rata dengan masker pencerah yang mengandungi basil, tulsi dan minyak kuma-kuma bagi memberi lebih kelembapan. Akhir sekali, krim pelindung matahari disapu pada muka.


Ditulis oleh:
Meran Abu Bakar

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, February 17, 2010

Gout Penyakit Eksklusif Lelaki

Gout adalah penyakit eksklusif untuk lelaki dan jarang sekali berlaku kepada wanita. Jika ada pun, kemungkinan berlaku hanya selepas wanita mengalami menopaus.

Apabila gout menyerang, kaki akan menjadi bengkak, panas dan amat sakit hingga ada sesetengah pesakit tidak boleh berjalan. Gout kronik berupaya untuk mengganggu kehidupan harian yang normal. Paling digeruni adalah kecacatan sendi dan otot, sama ada kecacatan ringan atau berat.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit gout juga berisiko untuk mendapat penyakit sistem kardiovaskular serta berupaya menyebabkan kegagalan ginjal.

Penulis mendapatkan pandangan Pakar Perunding Rheumatik, Dr. Anwar Samhari Mat Arshad dari Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang mengenai penyakit yang digelar 'Disease of King' ini.

Bagaimana serangan gout berlaku?

>> Akibat pemendapan kristal asid urik dalam rongga sendi. Lama kelamaan akan menyebabkan kristal garam dan mencetuskan rasa sakit sendi teramat sangat. Selalunya bermula dari sendi ibu jari kaki dan menular ke sendi lain.

>> Serangan gout berpunca dari peningkatan kadar asid urik dalam darah (hyperuriceamia).

Jenis-Jenis Gout:

Gout boleh dibahagikan kepada empat peringkat;
1 - asimptomatik (tiada simptom)

2 - akut, simptom gout berlaku secara cepat dan tiba-tiba; biasanya hanya menyerang tisu lembut pada beberapa sendi.

3 - interkritikal

4 - kronik -serangan gout boleh berlaku berulang-ulang yang dipanggil polyarticular gout. Pesakit akan berasa amat sakit, kejang dan kaki berubah bentuk. Ada juga yang mungkin menghadapi masalah kaki bengkak, merah, panas dan demam.

Tofus

Pengumpulan asid urik boleh dilihat melalui pembentukan benjolan kecil di permukaan kulit yang dipanggil tofus. Pada keadaan yang lebih serius, tofus yang terlalu besar mungkin pecah dan mengeluarkan bahan seperti kapur. Selain kaki, gout juga boleh berlaku pada anggota badan yang lain seperti buku lali, lutut, tangan dan pergelangan tangan.

Jumlah tofus berkait rapat dengan berat badan dan kadar asid urik di dalam badan manusia. Tofus akan berkurangan apabila kadar asid urik berada di bawah paras empat mg/dl, dan menjadi lebih besar berat jika paras asid urik berlebihan dari 11 mg/dl.

Bagaimanapun, bukan semua sakit sendi disebabkan kristal asid urik kerana pemendapan kalsium pirofosfat dihidrat juga boleh menyebabkan kesakitan pada pergelangan kaki, lutut dan pergelangan tangan - yang dipanggil gout palsu atau pseudogout.

Risiko

>> Jantina - lelaki lebih berisiko mendapat gout pada kadar 90 peratus.

>> Gaya hidup - Individu yang banyak minum minuman keras terutama bir dikatakan lebih berisiko mendapat gout.

>> Obesiti - individu yang mempunyai berat badan lebih 66 kilogram daripada berat badan normal.

>> Sesetengah penyakit - tekanan darah tinggi yang tidak dikawal, diabetes, hiperdislipidemia (paras lemak dan kolesterol yang tinggi) dan arteriosklerosis (penyempitan salur darah)

>> Individu yang menjalani pembedahan atau mendapat sakit tenat secara tiba-tiba.

>> Ubat tertentu - ubat mengawal tekanan darah dan kemoterapi juga dikenal pasti boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan.

>> Genetik - kajian mendapati satu daripada empat pesakit datang daripada keluarga yang ada masalah gout.

>> Umur - gout biasa menyerang pesakit tua tetapi kini banyak kes membabitkan pesakit berumur 30 hingga 50 tahun. Manakala bagi wanita, kebanyakan kes bermula selepas umur putus haid.

Bila Sepatutnya Mendapatkan Rawatan?


Dapatkan rawatan doktor dengan segera apabila sendi berasa panas, bengkak dan sakit kerana jika tidak dirawat masalah ini akan bertambah buruk serta boleh menyebabkan kerosakan sendi.

Rawatan

Buat masa sekarang, tiada rawatan khas untuk menyembuhkan gout tetapi masalah ini boleh dikawal dengan mengambil ubat penahan sakit bukan steroid (NSAIDs) seperti endomethacin, diclofenac atau ubat penahan sakit generasi baru seperti celebrex dan arcoxia.

Individu yang kerap mengalami serangan gout akan dibekalkan dengan ubat allopurinol oleh doktor untuk mengimbangkan paras asid urik dalam badan yang perlu diambil sepanjang hayat.

Beberapa ubat yang dicadangkan bagi rawatan jangka panjang termasuk uricosuric (probenecid dan sulphinpyrazone).

Manakala untuk serangan mendadak, pesakit boleh mengambil ubat antiinflamatori bukan steroid (NSAIDs), colchicine (untuk serangan yang kurang kerap) dan corticosteroids.

Untuk pesakit darah tinggi yang juga mengalami gout, disarankan untuk mengambil ubat darah tinggi yang dipanggil Losartan yang juga berkebolehan untuk menurunkan paras asid urik. Sejenis ubat anti-kolesterol yang dipanggil Lipanthyl juga mempunyai fungsi yang sama.

Diet Untuk Pesakit Gout:

>> buah ceri dan strawberi didapati mampu mengurangkan asid urik.

>> elakkan makanan tinggi purin iaitu yang berasal dari sumber protein

>> hadkan memakan daging kepada satu hidangan sehari

>> kurangkan memakan organ dalaman haiwan, sardin dan ikan bilis dan hasil daging.

Makan Secara Sederhana:

>> asparagus, kacang lentil, kacang pea, cendawan, bunga kobis dan bayam.

>> minum banyak cecair, terutamanya air, untuk mencairkan dan membantu proses penyingkiran asid urik.

>> berhati-hati dengan ubat seperti aspirin, diuretik, vitamin C.


Ditulis oleh:
Bintu Rasyada A. Rahman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, February 06, 2010

Alternatif Awet Muda

Anda ingin kelihatan cantik tanpa melakukan pembedahan? Dalam era moden, mungkin anda boleh merawat masalah kesihatan kulit tanpa melakukan pembedahan. Menariknya, kaedah ini hanya mengambil masa satu hingga dua jam. Hasilnya, kulit anda akan lebih cerah dan tegang. Mungkin kaedah tidak invasif alternatif terbaik untuk anda merawat masalah kulit seperti parut, bintik atau tompok, lebihan kulit, garis halus, bentuk badan atau mengurangkan lemak badan.

Prosedur tidak invasif juga dilihat menarik minat pesakit yang belum bersedia, tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan dengan catatan 11.4 juta prosedur dijalankan sepanjang 2005 iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2000.

Pakar Runding Perubatan Estetik, Dr. Alice Prethima menjelaskan alternatif terhadap pembedahan dan jarum ini juga mampu membantu masalah kulit lembik, parut, kesan regangan atau selulit melalui kaedah terkini, berkesan dan selamat.

Mereka mungkin boleh mencuba rawatan kecantikan berbentuk tidak invasif (tidak melibatkan pembedahan) seperti laser vaginoplasti dan vaser liposelection (termasuk mencairkan, menyedut lemak dan menegangkan kulit pada masa yang sama.

"Semua orang ada kecantikan mereka yang tersendiri. Jadi tidak perlulah melakukan 'perubahan' yang keterlaluan.

"Rawatan-rawatan kecil (tidak invasif) sudah memadai melainkan apabila rawatan invasif diperlukan, seperti untuk kes kecacatan dan gangguan kesihatan," katanya ketika ditemui di Bangsar, Jalan Maarof, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Dr. Alice, pesakit di negara ini juga kurang diberikan pendedahan mengenai kaedah terkini rawatan kulit seperti penggunaan laser berbanding kaedah lama yang mencungkil keluar jerawat atau pigmen pada kulit.

Tambah beliau, penggunaan jarum merupakan antara yang paling digeruni pesakit tetapi melalui kaedah dilectropolation, pesakit tidak memerlukan suntikan untuk memasukkan molekul penting untuk rawatan kulit.

Namun, pada zaman sekarang pembedahan tidak lagi diperlukan untuk menegangkan kulit.

Hanya melalui penggunaan kolagen yang menjadikan kulit anjal dan kelihatan lebih muda.

Suntikan Kolagen

Dr. Alice memberitahu, suntikan kolagen selamat juga selamat diguna.

Walaupun kesannya agak sedikit lambat berbanding botox, namun ia lebih mudah dijaga.

Kebiasaannya selepas dua atau tiga kali rawatan, wajah pelanggan akan lebih kelihatan semula jadi. Selepas enam minggu, hasilnya akan lebih nampak baik.

"Kolagen menerusi Sculptra telah digunakan di Australia sejak 2002. Tiada kesan alergi yang pernah ditemui selepas rawatan. Bahkan ia membantu kawasan melasma iaitu kawasan segi tiga hidung dan pipi. Kolagen merupakan ramuan yang lazimnya terkandung dalam kebanyakan produk awet muda. Kajian klinikal telah menunjukkan keberkesanan kolagen mengurangkan bilangan, kepadatan dan kejelasan kedutan, serta memastikan keanjalan dan kesegaran kulit," jelasnya.

Bagaimanapun, ramai yang cuma mempunyai pemahaman terhad tentang kolagen dan tidak sedar akan potensi sepenuhnya terhadap badan kita, mahupun bantuan kecantikan.

Sebenarnya, kolagen merupakan struktur protein yang berfungsi sebagai perekat dalam badan.

Ketika usia remaja dan awal 20-an, terdapat pertumbuhan hormon yang aktif bagi menyokong pertumbuhan struktur dan menggalakkan perkembangan otot, tendon dan ligamen.

Kolagen digunakan untuk menghasilkan protein bagi membantu pertumbuhan ini serta mengaktifkan penjanaan semula sel badan baru.

Apabila kolagen dalam tisu lembut semakin berkurangan, ini mengakibatkan kesukaran pengangkutan toksin dari sel ke sistem limfa.

Ia juga menghalang pergerakan nutrisi dan hidrasi yang mempunyai kesan ke atas kesihatan keseluruhan, langsung mempengaruhi keadaan kulit dan sel lain. Pada masa yang sama, keadaan tulang, kuku dan rambut akan turut menunjukkan tanda-tanda awal penuaan.

"Susutan kolagen kini boleh diganti menerusi proses yang dipanggil kaedah sintesis kolagen (collagen synthesis) menerusi terapi suntikan kolagen, apabila wanita dan lelaki memilih bahagian tertentu bagi suntikan yang menunjukkan kesan serta-merta," katanya.

Sementara itu, Dr. Alice menasihatkan orang ramai yang ingin mencuba teknologi baru atau kaedah rawatan terkini memastikan ia telah diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS (FDA) dengan melakukan penyelidikan melalui Internet terlebih dahulu.

"Teknik atau teknologi yang sesuai digunakan bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit selain faktor lain seperti tahap kesihatan semasa dan bentuk badan. Pemeriksaan mencari punca dasar masalah kulit juga penting termasuk masalah hormon badan," tegasnya.

Dr. Alice turut menekankan orang ramai tidak terlalu mengikut perakuan individu yang menggunakan produk baru kerana kadangkala kaedah tersebut hanya bersesuaian untuk sesetengah pesakit sahaja.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, January 22, 2010

Hamil Luar Rahim Ancam Nyawa



Ujian ultrasonografi di bahagian pelvis akan memberitahu kedudukan sebenar fetus.

Kandungan luar rahim atau istilah perubatannya kehamilan ektopik merupakan satu proses patologi yang amat jarang berlaku. Ia terjadi apabila fetus membesar di luar kawasan rahim atau uterus.

Kandungan seumpama ini merupakan ancaman kepada nyawa si ibu kerana ia berisiko menyebabkan pendarahan yang banyak serta koyakan tisu.

Kes seperti ini berlaku apabila telur yang subur dan telah bersenyawa tidak tertanam di dalam rahim. Sebaliknya dalam kebanyakan kes kandungan di luar rahim, telur tersebut tertanam di dalam tiub fallopio atau ovari. Kadangkala terdapat juga keadaan di mana telur tersebut melekat dalam ruang abdomen.

Kehamilan jenis ini merupakan keadaan perbidanan yang serius dan memerlukan rawatan perubatan segera.

Jika telur yang akan berkembang menjadi embrio tertanam di luar kawasan uterus, maka secara logiknya ia tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk membesar.

Bukan itu sahaja, embrio tersebut juga tidak mendapat khasiat yang mencukupi untuk tumbesaran serta pembangunannya.

Tiub fallopio terlalu sempit untuk fetus yang membesar dengan pesat, jadi besar kemungkinan boleh terjadi kerosakan serta koyakan pada tisu di kawasan tersebut.

Bila itu terjadi maka pendarahan akan berlaku dan mengancam nyawa wanita tersebut.

Penyebab Kandungan Luar Rahim

Wanita yang pernah mengambil rawatan kesuburan dan stimulasi proses ovulasi mempunyai risiko lebih tinggi untuk terjadinya kandungan luar rahim.

Sejarah pernah menghidapi penyakit radang pelvis juga meningkatkan risiko kandungan luar rahim kerana kesan penyakit tersebut menyempitkan saluran fallopio.

Keadaan itu menyebabkan telur yang subur terhalang untuk menerusi saluran fallopio dan terus ke uterus. Apa saja pembedahan yang pernah berlaku di kawasan fallopio meningkatkan risiko kandungan luar rahim.

Endometriosis juga adalah salah satu punca risiko kandungan luar rahim.

Simptom Kandungan Luar Rahim

Sebenarnya susah untuk tentukan kandungan berada di luar rahim terutama ketika usia kandunganmasih awal.

Rasa sakit yang dialami oleh wanita seperti dicucuk pada bahagian abdomen atau pelvis, merupakan tanda pertama kandungan luar rahim. Simptom lain ialah tekanan luar rahim, rasa loya, mual atau pitam.

Pendarahan pada vagina juga merupakan simptom biasa kandungan luar rahim. Jika anda mengalami satu atau lebih simptom seperti yang dinyatakan, anda patut segera menghubungi doktor kerana kemungkinan boleh berlaku pendarahan dalaman.

Koyakan pada tiub fallopio biasanya diikuti dengan simptom pendarahan, kesakitan yang ketara dan parut pada formasi tisu.

Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan reproduktif wanita dan mendatangkan komplikasi jika ingin hamil pada masa hadapan.

Diagnosis Kandungan Luar Rahim

Kandungan luar rahim biasanya didiagnosis pada minggu kelapan hingga 10 kandungan. Pada hari pertama kejadian uri akan terhasil hormon yang menyekat ovari dari menghasilkan telur seterusnya, sekali gus menghalang proses untuk mengandung kali kedua.

Biasanya kandungan luar rahim akan dapat dikesan menerusi sejenis hormon yang dipanggil krionik dan progesteron yang terkandung dalam darah.

Jika berlaku kandungan di luar rahim biasanya hormon krionik dalam darah akan menurun.

Ujian ultrasonografi di bahagian pelvis akan memberitahu kedudukan sebenar fetus dan tentukan sama ada kandungan berlaku di luar rahim.

Ujian laparoskopi juga membantu untuk menentukan lokasi kandungan sebenar. Jika kandungan ektopik tidak berakhir dengan keguguran, doktor akan memberikan ubat untuk mengeluarkan uri.

Ubat tersebut hanya akan diberikan pada kandungan luar rahim yang telah dikesan di peringkat awal.

Manakala pembedahan pula akan dilakukan sekiranya kandungan sudah agak lama.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, December 06, 2009

Kenali Usus Anda

Ramai tidak mengendahkan kepentingan untuk mengekalkan sistem penghadaman yang sihat hinggalah kesihatan mereka terjejas.

Seorang yang normal akan mengambil lebih kurang satu kilogram makanan sehari. Ini bermakna kita akan makan lebih kurang 365 kilogram makanan setiap tahun!

Walaupun kita memasukkan banyak makanan ke dalam usus kita, namun kita masih belum benar-benar menghargai kepentingan kesihatan sistem penghadaman.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit sistem penghadaman menjadi punca keenam utama kematian di hospital kerajaan sepanjang 2008.

Kita perlu ingat bahawa keadaan sistem penghadaman seseorang akan mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan diri secara keseluruhan.

Ia bukan sahaja memainkan peranan penting dalam penghadaman dan penyerapan nutrien, malah turut merupakan sebahagian daripada sistem imun dan saraf. Sudah tiba masanya untuk kita mengutamakan sistem penghadaman kita!

Bagaimana Usus Berfungsi

Sistem penghadaman adalah penting untuk memastikan makanan yang dimakan akan dihancurkan, dihadam dan diserap untuk memberi kita tenaga.

Makanan yang kita makan akan melalui saluran makanan (mulut, esofagus, perut, usus kecil dan besar) dengan bantuan organ "tambahan" sistem penghadaman (hati, pankreas dan pundi hempedu).

>> Mulut - Penghadaman akan bermula sebelum makanan memasuki mulut. Bau makanan akan merangsang air liur. Inilah sebabnya mengapa air liur akan keluar apabila anda lalu di hadapan sebuah kedai biskut. Penghasilan air liur akan bertambah apabila anda mula menggigit makanan. Air liur yang mengandungi enzim seperti amilase akan menyumbang kepada proses kimia penghadaman, iaitu proses yang memecahkan nutrien kompleks kepada bentuk yang lebih ringkas, serta membantu menjadikan makanan lebih lembut dan mudah ditelan.

>> Esofagus - Dari mulut, makanan akan melalui esofagus, suatu tiub sepanjang 10 inci. Makanan akan ditolak ke dalam perut menerusi pergerakan peristalsis (pergerakan seakan ombak) oleh dinding esofagus yang berotot. Makanan biasanya akan mengambil masa lebih kurang 10 saat untuk sampai ke perut setelah ditelan.

>> Perut - Anda boleh menganggap perut sebagai pusat pemproses makanan badan. Ia akan menggaul, mengisar dan melumatkan semua makanan di dalam perut. Apabila makanan digaul, perut akan menghasilkan jus gastrik, yang mengandungi asid hidroklorik, bagi membantu penghadaman. Pada kebiasaannya, makanan akan tinggal di dalam perut selama 4 jam. Persekitaran berasid perut (pH 1 hingga 2) akan membolehkan makanan menjadi cecair pekat yang boleh dihadam dan diserap dengan mudah.

>> Usus kecil - Dari perut, makanan akan melalui usus kecil. Jangan terpedaya dengan perkataan 'kecil' ini kerana usus kecil anda sebenarnya melebihi 6 meter panjang. Ia merupakan tempat utama bagi penyerapan nutrien. Pada permukaan usus kecil terdapat struktur seakan jari yang dikenali sebagai 'vili' dan pada permukaan vili ini pula terdapat struktur yang seakan jarum. Struktur vili yang unik ini akan menambah luas permukaan usus kecil dan membolehkan penyerapan nutrien yang lebih baik. Apabila dibentangkan, luas permukaan usus kecil anda adalah sebesar satu gelanggang tenis. Penyerapan bermula apabila molekul makanan menembusi vili untuk memasuki rangkaian kapilari darah. Aliran darah akan membawa molekul- molekul halus ini ke bahagian-bahagian tubuh yang lain untuk menjalani penukaran kimia yang seterusnya menjadi nutrien dan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk meneruskan kehidupan.

>> Usus besar - Tujuan utama usus besar adalah untuk menyerap sebanyak air yang boleh daripada makanan yang dimakan. Bahagian yang tidak diserap akan membentuk fesis yang terdiri daripada 75 peratus lembapan dan 25 peratus pepejal. Fesis akan disimpan di dalam bahagian terakhir usus besar yang dikenali sebagai rektum, dan akhirnya akan keluar daripada tubuh dalam bentuk tinja.

>> Hati - Hati menghasilkan hempedu, sejenis bahan penghadaman yang memecah lemak dan meneutralkan asid makanan. Hempedu akan dihantar ke pundi hempedu untuk disimpan.

>> Pundi hempedu - Fungsi utama organ ini adalah untuk menyimpan hempedu yang akan dirembes ke dalam usus kecil apabila terdapat kehadiran makanan.

>> Pankreas - Pankreas merembes enzim yang akan memecahkan lemak, karbohidrat dan protein secara kimia.

Walau bagaimanapun, sistem penghadaman tidak mampu melaksanakan semua tugas-tugas ini dengan sendiri. Sebagai contoh, tidak semua makanan yang kita makan boleh dihadam. Untuk tujuan ini, tubuh memerlukan bantuan tambahan - ia memerlukan bakteria. Ya, memang betul, bakteria.

Koloni

Percaya atau tidak, terdapat bertrilion bakteria yang sedang tinggal dalam sistem penghadaman anda. Bakteria yang turut dikenali sebagai mikroflora usus ini akan menyokong kesihatan usus dengan membantu sistem penghadaman.

Sesetengah kesan bermanfaat mikroflora usus adalah untuk membantu proses penghadaman dengan menghasilkan enzim penghadaman dan merangsang penghasilan sel-sel imun pada lapisan dinding usus.

Otak dan jantung sering dilabel sebagai organ 'penting' di dalam tubuh. Namun demikian, kita tidak boleh terus hidup tanpa sistem penghadaman kita.

Tambahan lagi, tanpa sistem penghadaman, kita akan ketinggalan satu daripada keseronokan utama dalam kehidupan - makanan!

Bayangkan hidup tanpa rasa stik yang digril atau brownie yang suam dan lembap.

Oleh itu, anda digalak untuk lebih menghargai kesihatan penghadaman, bukan sahaja dari segi pencegahan penyakit tetapi untuk mempertingkatkan keseronokan dalam kehidupan, seperti memakan semua makanan lazat yang dimasak oleh ibu atau ayah, isteri atau suami, mahupun teman wanita atau teman lelaki!

* Datuk Dr. Muhammad Radzi Hassan merupakan mantan Presiden Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia. Artikel ini merupakan sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia serta disokong oleh geran pendidikan daripada Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku kecil kesihatan penghadaman yang percuma atau maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-56211408.


Ditulis oleh:
Datuk Dr. Muhammad Radzi Hassan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Ubah Stigma Kegemukan

Siapa yang tidak kenal dua personaliti ini, Syanie dan Enot. Kedua-duanya memang terkenal dengan saiz badannya yang agak besar tetapi sentiasa menyenangkan orang sekeliling dengan sifat ramah mereka. Oleh kerana saiz badan mereka juga, Syanie dan Enot kelihatan begitu comel setiap kali muncul di kaca televisyen. Namun baru-baru ini, Syanie terpaksa menjalani pembedahan yang dinamakan gastric bypass.

Tujuan sebenar Syanie melakukan pembedahan tersebut bukanlah untuk kurus tetapi kerana tahap kesihatannya yang semakin merosot.

Berbeza pula dengan Enot, dia berjaya membuktikan saiz badan bukan penghalang untuk dia menyertai Sehati Berdansa 3. Siapa sangka artis berbadan montel dan comel macam Enot pun ada semangat tari yang tinggi.

Namun, masyarakat kini terpaksa bersedia berdepan dengan masalah kegemukan atau obesiti yang kian meningkat. Persoalannya, adakah golongan ini perlu menurunkan badan atau meneruskan kehidupan dengan persekitaran atau gaya hidup yang sihat?

Kedua-dua personaliti tadi membuktikan mereka cuba memperbaiki diri dan bersikap optimis.

Bagi generasi muda, pencegahan awal perlu dilakukan agar tidak menyesal kemudian hari.

Apa perbezaan obesiti dan terlalu gemuk? Menurut Presiden Persatuan Kajian Kegemukan Malaysia (MASO), Profesor Dr. Ismail Noor, obesiti dan terlalu gemuk sering kali bertukar ganti.

"Sebenarnya ia tidak sama. Obesiti ditakrifkan sebagai lebihan pengumpulan lemak badan yang membahayakan kesihatan. Pada waktu yang sama terlalu gemuk pula pada tahap yang lebih rendah dari obesiti. Kedua-dua ini berlaku apabila pengambilan (dalam bentuk makanan) melebihi tenaga yang diperlukan (metabolisme dan aktiviti fizikal)." katanya.

Tambah beliau, gaya hidup negatif akan memburukkan keadaan dan seseorang itu boleh menjadi terlalu gemuk iaitu obesiti.

Selain itu, baka, faktor fisiologi dan psikologi juga perlu diambil kira. Ada pendapat yang mengatakan bahawa 70 peratus individu menjadi terlalu gemuk kerana baka ibu bapa. Sudut fisiologi pula menunjukkan mereka mengambil makanan ketika emosi tidak stabil seperti bosan, sedih dan bimbang.

Justeru itu, langkah pengurusan iaitu mengehadkan makanan, melakukan banyak kegiatan fizikal, mengubah tingkah laku, rawatan menggunakan ubat menguruskan badan dan pembedahan adalah salah satu cara untuk mengurangkan masalah ini.

Katanya, paling utama kikis tabiat makan yang buruk.

"Makanan perlu mengandungi nutrien yang cukup, saiz makanan yang sesuai dengan keperluan badan dan waktu makan yang tetap. Rawatan lain perlu mengambil kira kesan terhadap kehilangan berat badan dan usaha mengekalkannya kerana bimbang berlakunya kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan." ujarnya.

Dr. Ismail mengulas, penurunan berat badan memainkan peranan penting dalam usaha mencegah dan melengahkan kemunculan diabetes.

Data baru-baru ini mendedahkan bahawa penularan diabetes telah meningkat daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.

"Seorang daripada enam dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun menghidap diabetes iaitu dianggarkan berjumlah 1.4 juta orang. Penularan diabetes telah meningkat hampir sekali ganda pada dekad lepas sejajar dengan penggandaan bilangan penduduk dengan berat badan berlebihan atau gemuk." katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kajian Kegemukan Antarabangsa, Profesor Philip James pula berkata, kegemukan adalah satu masalah yang perlu ditangani kerana ia adalah punca kepada pelbagai penyakit.

"Kajian perubatan mendapati bahawa mereka yang mempunyai BMI 25 ke atas akan meningkatkan risiko menghadapi diabetes di samping serangan jantung. Kehilangan berat badan walaupun dalam kuantiti antara lima hingga 10 kilogram dapat membantu melegakan banyak masalah yang berkaitan dengan obesiti." katanya.

Beliau berkata, antara penyebab utama berlakunya obesiti ialah banyak dipengaruhi oleh gaya hidup yang diamalkan oleh individu tersebut.

Prof Philip memberitahu, diabetes adalah salah satu daripada penyakit berkait paling umum yang dialami oleh 61 peratus daripada pesakit yang gemuk dan 90 peratus daripada diabetes jenis dua disebabkan berat badan yang berlebihan.

Kegemukan juga meningkatkan risiko mengalami pradiabetes iaitu keadaan yang dicirikan glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal.

Beliau menyarankan, betapa perlunya seseorang yang mempunyai berat badan berlebihan yang mendapati sukar mengurangkan berat badan untuk mendapat nasihat profesional daripada pakar pemakanan, pakar diet dan doktor.

Ini memudahkan individu mengetahui pilihan yang ada untuk mengurangkan berat badan termasuk farmaskoterapi dan pembedahan dalam badan yang serius.

Namun, dalam segala hal, stigma kegemukan boleh diubah sekiranya setiap individu mula mengubah gaya hidup mereka.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/