Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, December 10, 2012

Menyusukan Bayi Bantu Kuruskan Badan

SOALAN:

Dr, apakah cara yang terbaik menurunkan berat badan. Saya juga ingin bertanya, benarkah berat badan seorang ibu akan turun apabila menyusukan anak dan akan bertambah selepas berhenti menyusukan anak?

Nor, 
Shah Alam

JAWAPAN:

Soalan yang diutarakan amat praktikal sekali. Masalah berat badan ini amat sensitif dalam kalangan wanita. Saya tahu ramai wanita di luar sana yang mencuba pelbagai produk pelangsing yang ditawarkan dan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk masalah ini.

Sudah menjadi lumrah, sebagai wanita dan isteri, kita semua berharap agar dapat mengekalkan bentuk tubuh badan yang menarik untuk menambat hati suami. Yang kurus nak gemuk dan yang gemuk pula nak kurus. Bukan tidak puas dengan apa yang dikurniakan, tapi nak menjadi yang lebih baik. Tapi maklum sahajalah, bila dah bersalin sekali dua, berat badan susah nak turun. Tambahan pula, bila menyusukan anak sepenuhnya, bukan saja tak boleh mengambil ubat pelangsing sebarangan tetapi nak berdiet berlebihan pun kurang digalakkan kerana dikhuatiri menjejaskan pengeluaran susu atau membahayakan bayi.

KesabaranMenurunkan berat badan bagi ibu-ibu yang sedang menyusukan anak bukan satu perkara yang mustahil, tetapi ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Ini kerana, proses menurunkan berat badan sewaktu menyusukan anak perlu dilakukan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada susu yang diberi kepada bayi.

Secara asasnya, menyusukan bayi tidak membuatkan berat badan bertambah. Malah menurut kajian, ibu-ibu yang menyusukan anak lebih mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200 hingga 500 kalori setiap hari. Bagaimanapun perlu diingat, kita masih perlu menjaga pemakanan.

Ada beberapa panduan yang mungkin berguna untuk ibu-ibu yang ingin menurunkan berat badan. Paling utama ibu tersebut perlu minum air secukupnya. Air yang mencukupi dapat melancarkan sistem badan termasuk mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya. Seelok-eloknya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga dinasihatkan untuk makan apabila perut berasa lapar. Mereka juga perlu ingat pada wasiat Rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang". Paling baik sekali adalah makan empat ke enam kali sehari dengan kuantiti yang kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam masa sejam selepas bangun tidur.

Makanan yang dimakan juga perlu dikunyah secara perlahan-lahan. Paling baik sekali jika makanan tersebut dikunyah 44 kali untuk mengurangkan beban penghadaman. Selain itu, otak akan menerima isyarat kekenyangan pada waktu yang tepat. Kalau makan laju sangat, otak tidak sempat memberi isyarat yang kita dah terlebih kenyang. Kurangkan percakapan semasa makan untuk mengelakkan tidak perasan yang kita sudah terlebih makan.

Makanan yang diambil perlu seimbang. Kajian menunjukkan bahawa ramai orang yang terlebih berat badan disebabkan zat yang tidak mencukupi. Kekurangan protein akan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan enzim (enzim terbina daripada asid amino) yang mencukupi untuk mencernakan makanan. Selain itu, orang yang kekurangan protein biasanya mempunyai nafsu makan yang sangat tinggi. Protein biasanya membuatkan kita rasa kenyang dalam jangka masa lebih panjang. Vitamin B6 adalah zat penting dalam metabolisme lemak. Kalau berkurangan, lemak tidak dapat dibakar dan berkumpul secara berlebihan.

Kesimpulannya, makanan yang diambil perlu seimbang. Kurangkan pengambilan gula dan makanan rapu. Gula membekalkan kalori yang tiada nilai zat. Gula juga menambah potensi seseorang diserang penyakit diabetes mellitus apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala makanan rapu yang mengandungi garam yang tinggi bukan sahaja menyebabkan nafsu makan sukar dikawal bahkan dikaitkan dengan risiko penyakit hipertensi (darah tinggi).

Aktiviti fizikal Banyakkan aktiviti fizikal. Saya pasti ibu-ibu tidak mengalami masalah untuk memperbanyakkan aktiviti fizikal. Walaupun tidak dapat meluangkan masa ke gimnasium atau senamrobik, ibu-ibu akan sentiasa sibuk dengan tugasan harian. Aktiviti senaman sekurang-kurangnya 15 minit, dua kali seminggu adalah sangat digalakkan.

Bagaimanapun, bagi yang tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam, eloklah mengambil alternatif seperti menggunakan jalan lebih jauh untuk sampai ke satu-satu tempat dengan berjalan, berjalan sambil menghayunkan tangan, melakukan kerja rumah, aktiviti santai bersama anak-anak dan banyak menggunakan tangga daripada lif.

Puan juga hendaklah sentiasa berfikiran positif dan banyak bersabar kerana pengurangan berat badan ini adalah lebih kurang dua kilogram sahaja dalam masa sebulan. Teruskan dengan penyusuan kerana ada banyak lagi keistimewaan yang anda akan kecapi.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, December 07, 2012

Ubat Berkesan Rinitis Alergi


Ramlah semakin bimbang dengan keadaan anak sulungnya, Rokiah yang baru berusia lima tahun. Rokiah sering jatuh sakit, batuk, demam dan gatal pada tangan dan kaki sejak lima bulan lalu. Puas Ramlah dan suami berikhtiar dan menemui beberapa doktor untuk bertanyakan pendapat tetapi tiada perubahan.

Pada suatu hari, Ramlah membawa Rokiah pulang bercuti ke kampung di Pahang. Ramlah berasa pelik kerana beberapa hari di sana sudah ada perubahan pada anaknya. Penyakit Rokiah sembuh dengan sendirinya. Sekembalinya ke Kuala Lumpur, penyakit Rokiah kembali menyerang. Apabila diajukan perkara ini kepada pakar, Ramlah dan suami diberitahu kemungkinan anak mereka mengalami alahan. Setelah dilakukan kajian, debu yang berpunca daripada karpet dan sofa yang jarang dibersihkan menjadi penyebab alergi Rokiah.

Kes yang diutarakan di atas menunjukkan alahan terhadap sesuatu boleh menyebabkan penyakit dan masalah kesihatan yang berpanjangan.

Menurut Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Profesor Dr. Prepageran Narayana, dianggarkan hampir 1.4 bilion orang seluruh dunia menghidap gangguan alahan atau alergi. Hal ini menyebabkan peningkatan kes rinitis alergi (AR) di seluruh dunia khususnya di rantau Asia Pasifik.

"AR adalah sejenis penyakit yang sering berlaku dan menjejaskan kira-kira 40 peratus penduduk Malaysia. Berdasarkan angka ini, alergi adalah punca utama (80 peratus) AR dalam kalangan pesakit kanak-kanak dan pertengahan usia.

"Dalam kalangan pesakit yang lebih berumur, hampir separuh menghidap AR manakala bakinya mengalami gangguan bukan alergi. Orang yang menghidap AR sering mengalami mata berair, hidung berair dan gatal-gatal tekak," katanya pada majlis pelancaran Aerius D-12 oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa, MSD (subsidiari Merck & Co.) baru-baru ini.

Kelegaan Aerius D-12 merupakan ubat yang memberi kelegaan kepada penghidap AR tanpa menyebabkan berasa mengantuk. Ubat ini merawat simptom alahan seperti hidung tersumbat, gatal-gatal, bersin dan mata berair yang berlaku sama ada dari semasa ke semasa ataupun sepanjang tahun.

Mengulas lanjut tentang AR, Dr. Prepageran memberitahu, ada dua jenis AR yang utama iaitu simptom dari semasa ke semasa dan simpton berlarutan.

"AR dari semasa ke semasa berlaku selama kurang daripada empat hari seminggu atau kurang daripada empat minggu berturut-turut, manakala AR berlarutan berlaku lebih daripada empat hari seminggu dan selama lebih daripada empat minggu berturut-turut," ujarnya.

Antara penyebab AR dari semasa ke semasa, faktor di luar rumah seperti kulat, pokok, rumput atau debunga rumpai. Sementara AR berlarutan disebabkan faktor di dalam rumah seperti haiwan peliharaan, tungau habuk, najis lipas, bulu haiwan atau kulat di dalam rumah. Apabila antigen ditemui, sistem imun pesakit AR akan menghasilkan histamina lalu menyebabkan timbulnya simptom-simptom alergi.

"Dalam kaji selidik yang dijalankan antara 2009 hingga 2010 di lapan negara Asia Pasifik, kebanyakan peserta menyatakan bahawa AR menjejaskan mutu hidup, punca kemerosotan prestasi sekolah, kerja dan produktiviti terutamanya mereka yang mengalami simptom AR tahap paling teruk," jelasnya.

Keadaan tersebut menunjukkan pesakit perlu mendapatkan diagnosis dan rawatan yang betul. Apabila AR dapat dibezakan daripada influenza biasa dengan tepat dan diuruskan dengan berkesan, pesakit boleh meneruskan aktiviti harian mereka dengan gangguan yang minimum.

"Kami harap pesakit tidak akan menggunakan ubat selesema yang dipilih sendiri apabila mereka menghidap AR. Jumpalah doktor untuk mendapatkan diagnosis dan ubat yang betul supaya simptom AR dapat dikawal dan mutu hidup dapat dipelihara," ujarnya.

Selain itu, untuk mengatasi masalah kurang faham tentang AR, MSD bersama dengan Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) melancarkan kempen Hentikan Bersin, Hapuskan Gatal bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang sifat dan simptom AR. serta perlunya berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, December 03, 2012

Rawat Sinusitis Cara Betul


Hidung anda selalu tersumbat akibat selesema. Hingus anda berwarna kuning dan pekat. Anda juga sering batuk serta berasa penat dan pening.

Malah, pipi, sekitar mata, tulang atas gigi dan dahi sering berasa sakit seperti ada sesuatu di dalamnya yang menekan tengkorak anda.

Anda berasa anda diserang demam selesema lalu mengambil ubat selesema biasa tetapi ia masih tidak mengurangkan kesengsaraan anda.

Akhirnya anda mengheret kaki ke klinik setelah berdepan dengan pening yang teruk dan selepas diperiksa, doktor menyatakan anda menghidap sinusitis.

Sampai manakah tahap kesedaran anda? Adakah selepas pening teruk baru merujuk pada pakar atau masih membiarkannya kerana menganggap ia hanyalah masalah biasa berpunca daripada cuaca yang tidak menentu?

Ya, sinusitis bukanlah masalah yang membawa maut secara langsung tetapi ia memberi kesan kepada kehidupan seharian pesakit serta keyakinan diri.

Bayangkan, bagaimana anda mahu menjadi produktif atau bersemangat jika sering bersin tidak henti serta berasa pening yang teruk sehingga menjejaskan kehidupan anda.

Pakar Runding Pembedahan Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Leher, Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Mallina Sivarajasingam berkata, ramai pesakit yang merujuk kepada pakar selepas melalui saat-saat menyusahkan itu untuk tempoh lama.

"Selesema biasa akan reda dalam tempoh tiga hari hingga seminggu dan jika berterusan, berkemungkinan pesakit mempunyai masalah sinusitis.

"Ada sesetengah kes pesakit tidak dapat melakukan pelbagai aktiviti yang melibatkan perubahan altitud seperti menaiki kapal terbang dan menyelam skuba disebabkan sakit kepala vakum (vacuum headache) akibat daripada sinusitis.

"Malah, ada yang sampai ke tahap jangkitan pada sinus menyebabkan adanya polip (ketumbuhan) di dalam hidung, menyukarkan pesakit untuk bernafas.

"Lagi teruk jika kuman sinusitis merebak ke otak kerana lapisan tulang kepala tidak tebal.

"Sinusitis boleh dirawat sama ada melalui pengambilan ubat-ubatan terutamanya antibiotik bagi mematikan kuman atau ada kes perlu melakukan pembedahan sinus," ujarnya.

Apa itu sinusitis Terang Dr. Mallina, orang ramai sering salah faham dengan istilah sinus. Semua orang mempunyai sinus iaitu rongga-rongga di dalam tengkorak yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil dan masalah yang dihidapi dipanggil sinusitis.

Sinus terletak pada bahagian muka iaitu pipi di bawah mata, di antara dua mata, sedikit di belakang hidung serta turut meliputi bahagian dahi seseorang.

"Ia berfungsi untuk meringankan tulang di samping memberi resonan pada vokal dan lendir yang dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa disalirkan ke dalam hidung.

"Jangkitan sinusitis atau resdung berlaku apabila salur yang pengaliran lendir secara semula-jadi itu tersumbat lalu membengkak serta bernanah di dalamnya," ujar Dr. Mallina.

Terangnya, pesakit akan merasa simptom seakan-akan selesema biasa tetapi dalam tempoh lama disertai dengan pelbagai simptom lain terutamanya pening dan sakit pada tulang di wajah iaitu di sekitar mata, pipi, atas gigi dan dahi.

Sinusitis dibahagikan kepada dua jenis iaitu akut (berlaku dalam tempoh pendek) dan kronik.

PuncaPelbagai punca menyebabkan sinusitis. Punca yang paling kerap adalah selesema biasa berlanjutan yang tidak dirawat lalu menyebabkan jangkitan bakteria pada sinus.

Rinitis yang teruk, berulang dan tidak dirawat juga boleh menyebabkan sinusitis kerana alahan pada hidung akan mengganggu bahagian sinus.

Sinusitis turut boleh berlaku jika pesakit pernah mengalami kecederaan pada tulang hidung atau keretakan pada tengkorak.

Tulang rawan yang bengkok mungkin terkena pada bahagian sinus lalu menyebabkan jangkitan kuman.

Selain itu, apa saja yang mengganggu sistem penyaliran mukus dari sinus akan menyebabkan sinusitis.

Perubahan cuaca sejuk, alahan, masalah sistem imun seperti virus HIV dan pesakit kanser yang menjalani kimoterapi juga boleh menjadi penyebab sinusitis.

Rawatan alternatifSinusitis yang lebih dikenali sebagai resdung dalam kalangan orang tempatan sering dikaitkan dengan 'ulat' yang memakan muka.

Pelbagai cara alternatif yang dijalankan bagi mematikan 'ulat resdung ' ini. Antara yang paling terkenal teknik berasap iaitu asap daripada kertas herba yang dibakar akan disalurkan pada seluruh muka.

Menurut Dr. Mallina, tidak ada masalah jika pesakit mahu berusaha melalui cara alternatif asalkan ia tidak memudaratkan.

Tetapi tegasnya, tiada teknik berasap yang digunakan dalam perubatan hospital dan dia juga tidak pernah menemui ulat di dalam rongga sinus.

"Apa yang paling hampir dengan teknik berasap tersebut adalah ubat wap mentol yang mampu melancarkan pernafasan tetapi ia hanya melegakan untuk sementara.

"Tiada masalah meneruskan rawatan alternatif asalkan tidak memudaratkan kerana saya percaya ia juga sebagai langkah psikologi untuk pesakit.

"Namun, saya syorkan pesakit juga mencuba rawatan dengan doktor kerana ia terbukti dengan kajian yang dijalankan oleh pakar," ujarnya.

Beliau turut menolak andaian yang jerawat berpunca daripada sinusitis kerana jelasnya, jerawat merupakan jangkitan pada lapisan luar iaitu kulit manakala sinusitis berada di dalam.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/