Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, July 29, 2012

Makan Hilangkan Stres

Macam-macam cara di lakukan orang untuk mengurangkan tekanan atau stres. Setiap cara itu saya pasti akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kerana pengurusan inilah yang akan menyumbang kepada tahap kesihatan kita.

Tapi saranan saya, apa saja yang dilakukan untuk mengurangkan tekanan janganlah sampai ia memudaratkan diri sendiri.

Saya pernah bertukar-tukar pendapat dengan seorang teman mengenai apa yang dilakukannya jika berada dalam keadaan tertekan.

Dengan jujurnya dia memberitahu bahawa makan apabila berhadapan dengan stres.

Saya agak hairan apa yang membuatkan dia ingin makan apabila tertekan.

Jawapannya ringkas. Dia seronok dan terhibur apabila dapat menggigit dan mengunyah makanan dalam masa yang sama boleh melupakan tekanan.

Amalan makan tanpa kawalan ketika stres adalah tidak sihat kerana akan menyumbang kepada beberapa penyakit yang serius seperti kegemukan, penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya.

Jadi pada minggu ini saya akan berkongsi dengan anda apakah makanan yang sesuai untuk orang yang stres.

Sebenarnya terdapat makanan yang boleh membantu mengurangkan tekanan dalam beberapa cara.

Makanan seperti semangkuk oat panas, sebenarnya meningkatkan tahap serotonin iaitu sejenis kimia dalam otak yang boleh memberikan suatu perasaan tenang dan menghilangkan kesan tekanan.

Sayur-sayuran mentah rangup juga dapat membantu mengawal tekanan dalam satu cara yang mekanikal. Mengunyah saderi atau lobak merah dapat membebaskan ketegangan ketika mengunyahnya.

Cara ini dapat membebaskan rahang daripada terketap dengan aktiviti mengunyah sayuran mentah yang berkhasiat dan tidak menggemukkan.

Selain coklat dan oat, karbohidrat kompleks mampu mendesak otak untuk menghasilkan lebih serotonin.

Untuk mendapatkan bekalan bahan kimia yang memberi nikmat kelegaan dalam otak kita, saya mencadangkan agar anda mengambil makanan berkarbohidrat penuh yang lebih lambat dihadam jadi anda tidak akan cepat berasa lapar.

Pilihan-pilihan yang baik untuk makanan yang mengandungi karbohidrat penuh adalah termasuk bijirin sarapan gandum penuh, roti gandum penuh dan pasta.

Karbohidrat-karbohidrat kompleks dapat membantu menstabilkan gula dalam darah dan keadaan ini juga akan dapat menyeimbangkan anda ketika tertekan.

Menikmati buah-buahan yang kaya vitamin C juga dapat mengurangkan stres. Kajian mencadangkan vitamin C boleh mengurangkan hormon-hormon tekanan dan memperkukuhkan sistem imun.

Dalam satu kajian yang telah dijalankan kepada orang yang ada tekanan darah tinggi mendapati sebelum mereka berhadapan dengan stres, tekanan darah dan tahap-tahap kortisol (satu hormon stres) mereka kembali normal dengan lebih cepat selepas mereka mengambil vitamin C.

Jadi banyak buah-buah dan sayuran yang kaya vitamin C boleh anda ambil jika anda berhadapan dengan stres.

Pasti anda tahu makanan apa yang paling disukai oleh Popeye? Sudah semestinya bayam. Sayur bayam mempunyai kandungan magnesium yang tinggi.

Jumlah magnesium yang terlalu kecil dalam badan boleh mencetuskan sakit kepala, keletihan dan akan mengakibatkan tekanan.

Mengambil satu cawan bayam akan menambah jumlah magnesium. Jika anda tidak menggemari bayam cubalah ambil hidangan kacang soya atau ikan salmon yang juga mempunyai kandungan magnesium yang tinggi.

Sayur-sayuran berdaun hijau merupakan satu sumber makanan yang kaya magnesium.

Kacang pistasio serta kacang-kacang lain juga mengandungi lemak sihat. Makan segenggam kacang pistasio, walnut atau badam setiap hari boleh membantu mengurangkan kolesterol anda, mengurangkan keradangan dalam arteri jantung, mengurangkan risiko kencing manis dan melindungi anda menentang tekanan.

Baiklah jangan jadikan alasan stres untuk anda mengambil makanan dengan tidak terkawal. Cubalah kawal stres anda dan jika anda berasa stres cuba sediakan hidangan saya ini untuk melegakan tekanan itu.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, July 25, 2012

Ereksi Petunjuk Kesihatan

Saluran darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,” kata Teng Aik.

Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.

Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.

Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.

“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.

Tahap

“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung selain diabetes dan obesiti.

“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.

“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.

Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.

Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual.

Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang ketara.

“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.

“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.

Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.

Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang dihidapi.

“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Saturday, July 21, 2012

Larian Maraton Rosakkan Jantung

Sebelum ini ramai yang percaya bahawa jika kita melakukan aktiviti olahraga secara teratur, kita dapat dapat mengekalkan kesihatan tubuh. Namun, terdapat beberapa aktiviti kecergasan yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Kajian oleh Universiti Melbourne, Australia baru-baru ini mendapati mereka yang melakukan aktiviti ekstrem seperti larian maraton dan memanjat gunung mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap penyakit jantung.
Dalam kajian ke atas 40 orang atlet, pengkaji mendapati mereka yang aktif melakukan sukan tersebut menunjukkan tanda-tanda kerosakan pada bahagian ventrikel kanan jantung dan kerosakan fibrosis pada otot jantung.
Penemuan tersebut disiarkan di dalam European Heart Journal.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Tuesday, July 17, 2012

Ubat Bertukar Racun

Dewasa  ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan komplementari (TCM) semakin mendapat kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti penyelidikan dan kecanggihan teknologi yang digunakan pengeluar.

Ubat itu termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain rawatan ayurveda, homeopati dan akupuntur.

Bagaimanapun, bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh menyembuhkan penyakit. Malah, banyak kes berkaitan ubat tradisional dan alternatif sebelum ini didapati mendatangkan mudarat.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 11,885 produk TCM telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) setakat ini.

Namun, pada tahun lepas, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima 127 laporan kesan mudarat akibat penggunaan produk tradisional termasuk yang didaftarkan dengan PBKD.

Ujian

BPFK mengesan pelbagai produk tradisional yang dicemari dengan bahan terkawal atau racun berjadual seperti steroid, sibutramine (ubat langsing) dan sildenafil (ubat kuat lelaki).

Bahan-bahan terkawal itu berfungsi untuk menahan kesakitan selain bertindak melangsingkan badan seseorang. Ia juga didakwa mampu menambah kekuatan tenaga batin lelaki dan wanita.

Mengulas isu ini, Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Razak Lajis memberitahu, kebanyakan ubat tradisional dan alternatif tidak melalui fasa ujian klinikal bagi mengenal pasti produk tersebut selamat digunakan.

“Produk yang telah didaftarkan ini hanya melalui ujian keselamatan penting di BPFK seperti saringan steroid, logam berat dan bahan terlarang berdasarkan dakwaan khasiat oleh pengeluar atau pengedar.

“Dakwaan yang dinyatakan oleh pengeluar mungkin terhad kepada kajian ke atas haiwan, testimoni pengguna dan rujukan secara turun-temurun,” katanya.

Namun begitu, Razak menjelaskan tidak semua produk tradisional memberi kesan sampingan kepada pengguna.

“Sama seperti ubat-ubatan moden, ada yang memberi kesan sampingan dan ada yang tidak.

“Apa yang penting pengguna yang mengambil ubat ini perlu merujuk pakar perubatan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis bahawa rawatan moden dan tradisional hanya berfungsi untuk mengawal penyakit tersebut dan bukan memulihkannya.

Pakar

Katanya lagi, pesakit tidak harus berhenti daripada mengambil ubat-ubatan moden walaupun mereka sedang mencuba rawatan alternatif.

“Ini kerana ubat-ubatan tersebut dapat membantu mengelakkan penyakit tersebut daripada melarat.

“Ubat moden mesti diambil walaupun ubat tradisional terbabit mula menunjukkan kesan positif,” katanya.

Ujarnya lagi, ini bagi menggelakkan sebarang interaksi bahaya antara ubat-ubatan.

“Ubat tradisional berfungsi pada bahagian tertentu dalam badan sama seperti ubatan moden.

“Jika saling berinteraksi, ia mungkin mendatangkan bahaya pada individu itu selain mendedahkan pengguna kepada penyakit seperti kerosakan buah pinggang,” katanya.

Razak menambah, status kesihatan dan penyakit sedia ada adalah faktor yang mempengaruhi keberkesanan ubat tradisional.

“Sentiasa rujuk pada label dan kandungan ubat tersebut. Jika ragu-ragu, beli ubat tersebut di farmasi berdaftar,” katanya.

Seorang pakar farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Aida Azlina Ali, berkata bukan semua orang perlu mengambil ubat-ubatan tradisional.

“Jika seseorang telah mengamalkan diet yang sempurna dan berkhasiat, tubuh mereka tidak memerlukan ubat tersebut.

“Ini kerana pengambilan ubat tradisional tanpa mengikut keperluan boleh bertukar menjadi toksik yang membahayakan tubuh,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang ingin mengambil produk TCM supaya bertanya kepada pakar perubatan sebelum menggunakannya.

“Mungkin ubat itu berkesan untuk jangka masa pendek sahaja. Teliti dahulu kandungannya serta rujuklah pakar.

“Selain itu, jangan sekali-kali meninggalkan ubat moden kerana kebanyakan ubat sebegini telah menjalani pelbagai ujian klinikal sebelum diluluskan,” katanya.



Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Friday, July 13, 2012

Kurang Gula Dalam Darah Disebabkan Keturunan

Profesor Stephen O Rahilly dari Universiti Cambridge, Britain, percaya penyakit kurang gula dalam darah disebabkan faktor keturunan.
Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan kajiannya ke atas 1,000 orang bayi yang berpotensi mendapat penyakit itu kelak.
Katanya, ini disebabkan terdapat mutasi dalam gen bayi berkenaan sekali gus mendorong kepada penyakit itu. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan Science.
Namun, Rahilly memberitahu, kecenderungan individu menghidap penyakit itu berkurangan sekiranya dia mengambil ubat yang sesuai selain menjalani rawatan pemulihan berkala.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Monday, July 09, 2012

Lelaki Lebih Terdedah Pada Diabetes Jenis 2

Seorang pengkaji dari Universiti Glasgow, Scotland, Profesor Naveed Sattar berkata lelaki lebih terdedah kepada penyakit diabetes jenis 2 berbanding wanita disebabkan faktor biologi dan pemakanan.
Kenyataannya itu berdasarkan kajian terhadap 51,290 lelaki dan 43,137 wanita di Scotland dengan mengambil kira berat badan, faktor kegemukan serta indeks jisim badan (BMI) mereka.
Kata Sattar dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Diabetologia itu, kebanyakan lemak lelaki tersimpan di dalam organ seperti limpa dan buah pinggang manakala wanita di pinggul dan muka.
Diabetes jenis 2 terjadi disebabkan terlalu banyak gula dalam badan hingga merosakkan buah pinggang dan organ lain.
Katanya lagi, penyakit itu dapat dicegah dengan mengurangkan berat badan berlebihan, makan makanan yang sihat dan seimbang selain selalu bersenam.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Thursday, July 05, 2012

Kerap Hamil Jejas Tulang

Memiliki zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.

Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.

Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.

Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.

Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.

Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.

Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.

“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.

Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.

Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.

Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.

Berpantang

“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.

“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.

Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.

Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.

Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.

“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.

“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.

Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya.

Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.

“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Sunday, July 01, 2012

Sakit Perut Bukan Remeh

Pada satu hari selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, penulis yang kebetulan berada di sebuah penempatan Felda dekat Triang diminta menemani dua anak saudara untuk mendapatkan rawatan di klinik kerana masalah sakit perut.

Sampai sahaja di sebuah klinik swasta di pekan Triang, kelihatan ramai sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, yang kebanyakannya mengadu sakit perut. Apa yang boleh menyebabkan sakit perut? Itulah pertanyaan penulis kepada doktor di klinik berkenaan yang mahu dikenali sebagai Dr. Vijay.

“Ada beberapa sebab. Kalau perut anda sakit, mungkin disebabkan oleh apa yang anda makan atau minum.

“Mungkin kerana keracunan makanan atau anda telah makan dan minum terlampau banyak. Makan dan minum terlampau banyak boleh menyebabkan anda mengalami sakit perut,” kata beliau.

Kata Vijay, pada musim perayaan sebegini, ramai orang datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan sakit perut.

Cirit-birit

“Mengambil makanan jenis berminyak, pedas atau berlemak kadangkala boleh menyebabkan sakit perut atau tidak hadam.

“Ini biasanya masalah kecil yang akan hilang dengan sendiri. Tetapi ia juga mungkin tanda bagi gejala kesihatan yang lain seperti refluks gastroesophagus (pedih ulu hati), intoleran laktosa, ulser, sindrom iritasi usus, jangkitan di usus dan kanser,” terang Vijay.

Ada yang berpandangan ia satu masalah yang remeh bila melibatkan orang dewasa tetapi bagi bayi serta anak kecil, sakit perut boleh menjadi satu masalah yang serius, kata beliau.

“Jadi usah teragak-agak untuk dapatkan perhatian dan bantuan perubatan,” kata Vijay lagi.

Setelah pulang ke ibu kota beberapa hari selepas hari raya, penulis bertemu pegawai perubatan kanan di sebuah pusat perubatan awam bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai sakit perut.

Menurut Dr. Robert Lim, sakit perut sedemikian dikenali juga sebagai gastroenteriritis.

Ia boleh disebabkan jangkitan pada usus, disebabkan virus, bakteria atau kuman yang lain.

“Anda mungkin kena episod yang kecil dengan cirit-birit. Kalau ia lebih serius ia boleh disertai dengan demam, muntah dan sakit perut yang boleh berlanjutan sehingga beberapa hari.

“Anda mungkin terkena jangkitan bakteria seperti E.coli atau campylobacter kerana mengambil makanan dan minuman yang dah tercemar. Adalah penting bagi mereka yang terkena jangkitan ini agar minum air dengan banyak atau mengambil cecair rehidrasi sebagai mengganti cecair badan yang banyak hilang kerana muntah dan cirit-birit,” kata beliau.

Menurut Lim, gastroenteritis adalah jangkitan di usus dan ini menyebabkan berlakunya cirit-birit atau diarhea.

“Ada juga muntah-muntah, sakit di bahagian perut tetapi dalam kebanyakan kes masalah akan hilang dalam masa beberapa hari. Ada juga kes yang berlanjutan dan mengambil masa untuk baik,” kata Lim.

Ujar Lim, risiko utama dalam kes gastroenteritis adalah dehidrasi di mana pesakit telah kehilangan cecair badan dengan banyak.

“Rawatan utama agar minum banyak air dan cuba hindari dehidrasi.

“Anda perlu berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan jika rasa mengalami dehidrasi atau wujudnya simptom yang merunsingkan,” kata Lim.

Katanya, simptom dehidrasi kepada orang dewasa adalah keletihan, pening, sakit kepala, kejang otot, mata yang tenggelam, mengeluarkan kencing yang sedikit, mulut dan lidah rasa kering, lemah badan serta mudah menjadi resah.

“Dehidrasi boleh jadi serius. Bila seseorang itu mengalami dehidrasi yang teruk, beliau akan mengalami lemah seluruh badan, hilang punca, degup jantung yang cepat dan selanjutnya koma.

Kunyah

“Dehidrasi yang teruk adalah kes kecemasan perubatan dan perlu rawatan dengan segera,” katanya.

Menurut Lim, selain daripada makan benda-benda yang berminyak, pedas dan berlemak, gastroenteritis boleh disebabkan oleh stres emosi atau masalah dalam sistem penghadaman seperti penyakit refluks gastroesophagus (GERD), batu dalam hempedu, keradangan pankreas, ulser atau kanser usus. "Kadangkala, tiada sebab yang boleh diperoleh,” kata beliau.

Lim juga menasihati perubahan gaya hidup dalam menangani masalah sakit perut yang kerap.

“Ambil makanan secara sedikit dan kunyah makanan dengan baik. Hindari tabiat merokok, ambil alkohol dan kafein serta minuman yang bergas,” katanya.

Beliau juga menasihati agar mendapatkan rehat yang secukupnya selain mengurangkan tekanan dalam hidup.

Bagaimana dengan merawat sendiri?

“Walaupun ada kes sakit perut atau gastroenteritis boleh dirawat di rumah, anda perlu jumpa doktor jika berlaku kekerapan muntah, muntah darah atau ada darah dalam najis serta kesukaran dalam menelan makanan.

“Anda perlu dapatkan rawatan jika ada kesakitan antara bahagian dada dan pusat. Jumpalah doktor jika sakitnya berlanjutan selama beberapa hari,” tambah beliau.


Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/