Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, September 29, 2011

Pembendungan Air Punca Obes?

Kalau waktu haid saya rasa badan seolah olah mengembang saja. Baju menjadi ketat dan kaki seakan akan membengkak. Bila saya timbang berat naik meski pun saya mengamalkan diet yang ketat.

‘‘Benarkah air boleh bertakung dalam badan kita? Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan masalah ini,’’ tanya Shima.

Pembendungan air di dalam badan merupakan masalah yang dipengaruhi oleh hormon kita. Maka tidak hairanlah kaum wanita lebih terdedah kepada gejala ini berbanding lelaki. Ini kerana wanita mempunyai hormon yang lebih banyak dan lebih sensitif kepada kandungan air. Ia juga mudah menyerang mereka yang mengalami obesiti. Ini kerana mereka yang obes sememangnya mempunyai kadar hormon tidak seimbang dan obesiti akan merosakkan hormon di dalam tubuh.

Dari manakah air ini muncul dan bagaimanakah terjadi begini?

Water retention atau pembendungan air di dalam badan merujuk kepada masalah pengumpulan cecair yang terlampau di dalam saluran darah dan di dalam tisu pada tubuh.

Sebanyak 90 peratus air dalam tubuh berada di dalam salur darah manakala 10 peratus lagi di dalam tisu tubuh. Air membentuk darah kita menjadi medium di mana oksigen dan zat makanan larut di dalamnya. Oksigen dan zat makanan kemudiannya dibawa ke seluruh tubuh dan diambil oleh kelenjar, tulang dan otot kita.

Air diregulasikan oleh hormon bernama prostaglandin yang kehadirannya banyak pengaruh kepada buah pinggang. Air diserap semula jika tubuh kekurangan air dan jika berlebihan pula air dibuang menjadi air kencing.

Hormon yang mempengaruhi kehadiran air dalam sel ialah progesteron, tiroid, kortisol dan insulin. Jika di perhatikan hormon ini juga banyak terlibat dan dikatakan penyebab masalah obesiti.

Di dalam tubuh mereka yang obes adakalanya mekanisme kawalan air menjadi rosak dan mereka mudah menjadi sembap.

Bengkak

Kelebihan progesterone biasanya menyebabkan air berkumpul pada sel sel perut dan buah dada. Payu dara terasa bengkak dan sakit. Selain itu air juga boleh berkumpul pada perut dan lama kelamaan perut membesar menjadi buncit seperti wanita hamil. Ini kerana hormon tersebut terlibat secara langsung dalam kehamilan.
Masalah kekurangan hormon tiroid menyebabkan pegangan air pada muka leher dan belakang tubuh. Sel-sel akan dipenuhi oleh cecair melekit yang menyerupai hyaluronik asid. Selain itu pengidap juga akan mudah keletihan dan cepat dilanda stres. Oleh kerana kekurangan tiroid boleh merosakkan fungsi jantung, maka biasanya pengidap akan berasa kurang senang dengan jantung yang berdebar-debar. Keadaan ini dinamakan myexedema.

Kelebihan kortisol juga menyebabkan air berkumpul di dalam sel menjadikan sel lemak terutamanya akan bengkak. Belakang leher akan membonjol dan ini dinamakan sebagai buffalo hump. Muka juga kelihatan bengkak dan bulat dan ini dinamakan moon face dalam bahasa perubatan. Kortisol seterusnya akan menurunkan paras insulin menjadikan seseorang mempunyai paras gula yang tinggi.

Insulin merupakan hormon yang paling banyak dikaitkan dengan obesiti. Kajian terkini menunjukkan adalah benar insulin yang tinggi membuatkan kita semakin gemuk kerana insulin menggalakkan pengumpulan lemak terutamanya pada perut dan merosakkan hormon yang lain secara tidak langsung mencetuskan pembendungan air.

Bagi mereka yang mempunyai masalah jantung pembendungan air dalam tubuh membuatkan kaki menjadi bengkak dan nafas menjadi semput sekiranya air mula berkumpul di paru paru. Keadaan ini memerlukan rawatan spesifik dan ubat-ubatan perlu sentiasa diambil.

Satu lagi organ tubuh yang memantau air di dalam tubuh ialah buah pinggang. Kerosakannya turut menjadikan air berkumpul terlalu banyak dalam tubuh. Keadaan ini berbahaya kerana kekotoran tidak dapat dikeluarkan dari darah menyebabkan sisa toksik berkumpul dalam badan.

Tekanan

Sebab lain menimbulkan masalah pembendungan air sebegini ialah apabila seseorang mengalami kekurangan protein darah yang serius. Kekurangan seperti ini menyebabkan tekanan osmosis kurang dan air mula bergerak ke sel-sel menghasilkan keadaan tubuh yang sembab. Kerosakan hati boleh menimbulkan keadaan sebegini kerana hati merupakan organ yang mensistesiskan protein kita. Kerosakan hati membuatkan protein darah menjadi kurang.

Satu sebab menarik yang membuatkan perut menjadi buncit ialah kehadiran histamine. Histamine merupakan bahan yang terhasil apabila berlakunya radang pada perut. Makanan yang tidak sesuai, kehadiran parasit mungkin mengundang penghasilan histamine. Apabila histamine keluar sel-sel menjadi kembang dan perut menjadi buncit.

Rawatan yang terbaik adalah dengan mengenal pasti punca berlakunya pembendungan air dalam tubuh anda dan merawat punca tersebut.

Bersenam, mengamalkan diet yang betul dan meningkatkan meningkatkan metabolik akan membantu mengatasi masalah ini dan menjurus ke arah kehidupan yang lebih sihat dan gembira.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, September 27, 2011

Sakit Perut Bukan Remeh

Pada satu hari selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, penulis yang kebetulan berada di sebuah penempatan Felda dekat Triang diminta menemani dua anak saudara untuk mendapatkan rawatan di klinik kerana masalah sakit perut.

Sampai sahaja di sebuah klinik swasta di pekan Triang, kelihatan ramai sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, yang kebanyakannya mengadu sakit perut. Apa yang boleh menyebabkan sakit perut? Itulah pertanyaan penulis kepada doktor di klinik berkenaan yang mahu dikenali sebagai Dr. Vijay.

“Ada beberapa sebab. Kalau perut anda sakit, mungkin disebabkan oleh apa yang anda makan atau minum.
“Mungkin kerana keracunan makanan atau anda telah makan dan minum terlampau banyak. Makan dan minum terlampau banyak boleh menyebabkan anda mengalami sakit perut,” kata beliau.

Kata Vijay, pada musim perayaan sebegini, ramai orang datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan sakit perut.

Cirit-birit

“Mengambil makanan jenis berminyak, pedas atau berlemak kadangkala boleh menyebabkan sakit perut atau tidak hadam.

“Ini biasanya masalah kecil yang akan hilang dengan sendiri. Tetapi ia juga mungkin tanda bagi gejala kesihatan yang lain seperti refluks gastroesophagus (pedih ulu hati), intoleran laktosa, ulser, sindrom iritasi usus, jangkitan di usus dan kanser,” terang Vijay.

Ada yang berpandangan ia satu masalah yang remeh bila melibatkan orang dewasa tetapi bagi bayi serta anak kecil, sakit perut boleh menjadi satu masalah yang serius, kata beliau.

“Jadi usah teragak-agak untuk dapatkan perhatian dan bantuan perubatan,” kata Vijay lagi.

Setelah pulang ke ibu kota beberapa hari selepas hari raya, penulis bertemu pegawai perubatan kanan di sebuah pusat perubatan awam bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai sakit perut.
Menurut Dr. Robert Lim, sakit perut sedemikian dikenali juga sebagai gastroenteriritis.

Ia boleh disebabkan jangkitan pada usus, disebabkan virus, bakteria atau kuman yang lain.

“Anda mungkin kena episod yang kecil dengan cirit-birit. Kalau ia lebih serius ia boleh disertai dengan demam, muntah dan sakit perut yang boleh berlanjutan sehingga beberapa hari.

“Anda mungkin terkena jangkitan bakteria seperti E.coli atau campylobacter kerana mengambil makanan dan minuman yang dah tercemar. Adalah penting bagi mereka yang terkena jangkitan ini agar minum air dengan banyak atau mengambil cecair rehidrasi sebagai mengganti cecair badan yang banyak hilang kerana muntah dan cirit-birit,” kata beliau.

Menurut Lim, gastroenteritis adalah jangkitan di usus dan ini menyebabkan berlakunya cirit-birit atau diarhea.
“Ada juga muntah-muntah, sakit di bahagian perut tetapi dalam kebanyakan kes masalah akan hilang dalam masa beberapa hari. Ada juga kes yang berlanjutan dan mengambil masa untuk baik,” kata Lim.

Ujar Lim, risiko utama dalam kes gastroenteritis adalah dehidrasi di mana pesakit telah kehilangan cecair badan dengan banyak.

“Rawatan utama agar minum banyak air dan cuba hindari dehidrasi.

“Anda perlu berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan jika rasa mengalami dehidrasi atau wujudnya simptom yang merunsingkan,” kata Lim.

Katanya, simptom dehidrasi kepada orang dewasa adalah keletihan, pening, sakit kepala, kejang otot, mata yang tenggelam, mengeluarkan kencing yang sedikit, mulut dan lidah rasa kering, lemah badan serta mudah menjadi resah.

“Dehidrasi boleh jadi serius. Bila seseorang itu mengalami dehidrasi yang teruk, beliau akan mengalami lemah seluruh badan, hilang punca, degup jantung yang cepat dan selanjutnya koma.

Kunyah

“Dehidrasi yang teruk adalah kes kecemasan perubatan dan perlu rawatan dengan segera,” katanya.
Menurut Lim, selain daripada makan benda-benda yang berminyak, pedas dan berlemak, gastroenteritis boleh disebabkan oleh stres emosi atau masalah dalam sistem penghadaman seperti penyakit refluks gastroesophagus (GERD), batu dalam hempedu, keradangan pankreas, ulser atau kanser usus. "Kadangkala, tiada sebab yang boleh diperoleh,” kata beliau.

Lim juga menasihati perubahan gaya hidup dalam menangani masalah sakit perut yang kerap.
“Ambil makanan secara sedikit dan kunyah makanan

dengan baik. Hindari tabiat merokok, ambil alkohol dan kafein serta minuman yang bergas,” katanya.
Beliau juga menasihati agar mendapatkan rehat yang secukupnya selain mengurangkan tekanan dalam hidup.
Bagaimana dengan merawat sendiri?

“Walaupun ada kes sakit perut atau gastroenteritis boleh dirawat di rumah, anda perlu jumpa doktor jika berlaku kekerapan muntah, muntah darah atau ada darah dalam najis serta kesukaran dalam menelan makanan.

“Anda perlu dapatkan rawatan jika ada kesakitan antara bahagian dada dan pusat. Jumpalah doktor jika sakitnya berlanjutan selama beberapa hari,” tambah beliau.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Sunday, September 25, 2011

Suhu Panas Rosakkan Ubat

Apabila pulang dari klinik atau farmasi, pasti pada bungkusan ubat yang dibeli itu tertera aturan penyimpanan iaitu perlu disimpan di tempat yang kering dan sejuk.

Peringatan tersebut mempunyai sebab. Ini kerana ubat-ubatan mudah rosak jika dibiar terdedah kepada suhu yang terlalu panas.

Dalam satu kajian oleh sekumpulan pakar dari Perkhidmatan Maklumat Ubat-ubatan, Universiti Butler, Indiana, Amerika Syarikat, mendapati suhu udara melebihi 30 darjah Celcius boleh merosakkan bahan aktif di dalam ubat.

Ahli farmasi yang turut serta dalam kajian ini, Dr. Amy Peak, memberitahu, beberapa ubat-ubatan yang tidak tahan pada udara panas ialah insulin, hormon tiroid, ubat berkaitan dengan aerosol dan inhaler.

Walaupun ada pengeluar ubat yang mendakwa produk mereka boleh bertahan dalam suhu lebih 30 darjah Celcius, tetapi seeloknya ia disimpan di dalam kotak yang jauh daripada suhu panas.

Apabila anda membawa ubat-ubatan ketika bercuti atau mengembara, simpanlah ubat di dalam kabin, bukannya di ruang penyimpanan kargo. Jangan sekali-kali meninggalkan ubat di dalam kereta yang diparkir di kawasan lapang kerana kepanasan dalam kereta boleh mencecah sehingga 71 darjah Celcius.

EKSTRA: Lelaki dan perempuan menggunakan kaedah berbeza untuk menangani tekanan dan mengekspresi emosi. Lelaki pada umumnya sering berdepan gangguan perilaku, penyalahgunaan atau antisosial sedangkan wanita pula lebih kerap mendapat sindrom cemas atau berdepan kemurungan apabila tertekan.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Friday, September 23, 2011

Jalani Amalan Gaya Hidup Sihat

Kebelakangan ini saya banyak kendali kes disfungsi erektil di kalangan lelaki muda. Memandangkan kekerasan zakar atau ereksi sangat penting, malah rata-rata beranggapan ia lambang kelelakian, ramai sama ada belum atau sudah berkahwin ragu-ragu mengenainya.

Mereka yang mengalami perkara ini pasti cuba berikhtiar serta mendapatkan bantuan tukang urut. Tidak kurang juga mencari produk berkaitan yang dijual di kaki lima dan kedai jamu.

Selepas mencuba, mereka dapati ia tidak berkesan lalu mencari ‘penawar’ daripada pelbagai produk dari Barat. Saya sarankan lelaki yang mengalami masalah ini terus mendapatkan rawatan dan bertanya doktor pakar.

Jangan cari rawatan tradisional atau jamu kerana jika tersalah langkah, ia memudaratkan alat kelamin.

Sebenarnya, kebanyakan masalah berlaku kerana perubahan usia. Namun pada orang muda, ia sebenarnya masalah biasa.

Jika seseorang lelaki di peringkat akhil baligh, zakar mudah terangsang dan mengeras akibat tindak balas hormon syahwat dan perasaan seksual ketara.


Namun bila masuk peringkat remaja, perasaan ‘teruja’ itu semakin hilang, lebih-lebih lagi lelaki melakukan pelbagai perkara untuk mengetepikan perasaan syahwat.

Lelaki juga perlu tahu, tahap dan kekuatan ereksi seseorang memerlukan kemasukan darah yang banyak dalam otot zakar. Otot zakar pula perlu mudah mengembang dan memberi ruang supaya darah masuk dengan padat di dalam zakar, otot lantai pelvis atau otot kemut.

Otot berkenaan juga perlu dalam keadaan kukuh dan langsing. Namun, ia perlukan rangsangan syahwat yang memberahikan. Jika satu daripada tiga perkara itu tiada atau kurang, tahap ereksi menjadi lemah.

Badan sihat dan cergas tentu mendapat kekuatan dan rangsangan ereksi baik. Lelaki harus mengamalkan gaya hidup sihat, melakukan senaman berkala, elak minuman keras dan tidak merokok.

Anda boleh tingkatkan daya ereksi dengan memantapkan otot lantai pelvis anda iaitu otot kemut. Lakukan senaman Kegel secara berkala.

Selain itu, pengambilan makanan tambahan yang sesuai membantu memantapkan tenaga badan.

Amalan pengambilan tongkat ali dalam bentuk dan jumlah yang sesuai untuk badan, contohnya ekstrak standard seperti larutan air ‘NU-PREP 100’, mengikut kajian saintifik dan klinikal boleh meningkatkan metabolisme badan, memantapkan kekuatan otot, melancarkan tenaga syahwat serta menguatkan tahap hormon testosterone.

Begitupun, jika cara ini tidak berkesan, anda perlu jumpa doktor serta menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan sewajarnya.

Selain itu, lelaki harus tahu, masalah ereksi adalah petanda awal penyakit jantung dan masalah mati pucuk.
Untuk mendapatkan produk lelaki, sila layari Info Lelaki.

Ditulis oleh: Dr Ismail Tamby 
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

Monday, September 19, 2011

Pesakit Diabetes Kekang Keinginan

Sekalipun hidangan makanan melimpah-ruah ketika menyambut Syawal tetapi itu sebenarnya bukannya untuk pesakit diabetes.


Pesakit diabetes mungkin rasa perit kerana sekadar melihat sahaja dan terpaksa mengekang keinginan demi mengekalkan paras gula dalam badan.

Setelah menunjukkan prestasi baik sepanjang berpuasa di bulan Ramadan, sudah tentu ia perlu diteruskan.
''Hendak makan boleh tetapi jamah sedikit sahaja supaya tidak terkilan untuk merasa makanan yang dihidangkan tetapi bukan dimakan sehingga kenyang,'' kata Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd, Dr. Zainordin Md. Noor.

Katanya, sekalipun perit bagi pesakit diabetes untuk mengawal selera makan pada musim perayaan yang sememangnya penuh dengan makanan tetapi hanya itu sahaja jalan terbaik untuk mereka.

Dr. Zainordin memberitahu, adalah merugikan jika pesakit diabetes tidak mengawal selera makan kerana kebiasaannya kandungan gula telah terkawal sepenuhnya pada bulan puasa.

''Jangan rosakkan paras gula yang terkawal selama sebulan itu dengan sekelip mata disebabkan pengaruh makanan yang dihidangkan dengan banyak di bulan Syawal,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, sepanjang bulan Ramadan kebanyakan pesakit diabetes dapat menurunkan paras gula selepas berpuasa sepanjang hari.

''Ada sesetengah pesakit, tahap gula antara empat hingga lima sahaja dan pencapaian ini sebenarnya cukup baik bagi pengidap diabetes,'' katanya.

Katanya, walaupun selepas berbuka puasa biasanya paras gula akan kembali tinggi antara 10 hingga 11 tetapi akan kembali normal setelah berpuasa pada siangnya.

Jelas Dr. Zainordin, untuk mengelakkan pesakit daripada terjebak dengan longgokan hidangan yang banyak maka ada baiknya jika mereka disediakan dengan hidangan sendiri.

''Ahli keluarga kena membantu menyediakan makanan untuk pesakit dalam bekas berasingan supaya jumlah makanan yang diambil itu tidak berlebihan,'' katanya.

Sehubungan itu katanya, pesakit masih boleh makan bersama dengan keluarga tetapi tidak perlu terikut-ikut mengambil makanan bersama orang lain dengan sesuka hati.

Katanya, tidak boleh juga disalahkan pesakit kerana sesiapa sahaja akan terpengaruh untuk makan kalau makanan yang enak terhidang dengan banyak di atas meja.

Selain itu, kata Dr. Zainordin, pesakit juga dinasihatkan supaya makan ubat yang telah diberikan oleh doktor selama setengah jam sebelum makan.

''Pengambilan ubat amat penting kerana pesakit diabetes tidak boleh mengabaikan ubat untuk mengawal paras gula masing-masing,'' katanya.

Selain itu, pesakit juga dinasihatkan tidak mengambil makanan tradisional yang dihidangkan pada hari raya seperti ketupat, lemang dan rendang dengan banyak.

Menurut beliau, semua makanan itu sememangnya kaya dengan kolesterol yang cukup mudah untuk meningkatkan paras gula.

''Cukuplah jika ingin makan lemang itu hanya sepotong kerana jika lebih sebenarnya ia mengundang lebih banyak kalori,'' kata Dr. Zainordin.

Katanya, pesakit diabetes masih boleh makan tetapi dalam jumlah yang kecil hanya selepas empat jam.
''Ini untuk memberikan masa supaya kandungan gula yang terdapat dalam makanan dapat diserap sepenuhnya,'' katanya.

Biasanya kata beliau, pesakit diabetes digalakkan makan kerap iaitu empat hingga lima kali sehari tetapi dalam jumlah yang kecil.

Dr. Zainordin memberitahu, cara pemakanan yang kerap tetapi sedikit itu lebih baik supaya kadar gula dapat dikawal dan tidak naik mendadak.

''Pesakit perlu sedar adalah penting menjaga makanan di peringkat terkawal ini bagi mengelak penyakit ini lebih teruk sehingga terpaksa melakukan suntikan insulin,'' katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Zainordin pesakit yang sudah di peringkat teruk yang terpaksa menggunakan suntikan insulin lebih mudah mengawal gula khususnya di musim perayaan.

''Ini kerana mereka biasanya akan lebih berhati-hati ketika mengambil makanan dan jika terlebih makan biasanya mereka akan menambah dos insulin yang diperlukan,'' katanya.

Disebabkan makanan punca pesakit diabetes bermasalah, maka Dr. Zainordin menasihatkan agar memakan buah-buahan yang mengandungi banyak serat dan lebihkan minum air kosong untuk menstabilkan kandungan gula.

Katanya, motivasi dalam diri pesakit diabetes itu amat penting kerana pada peringkat ini tidak ada siapa yang akan dapat membantu tetapi ia banyak terserah kepada diri sendiri.

Beliau berkata, jadikan latihan sebulan berpuasa di sepanjang Ramadan itu berterusan bukan sahaja pada bulan Syawal tetapi pada bulan-bulan seterusnya.

Dr. Zainordin memberitahu, apa pun selain mengawal makanan pesakit dinasihatkan juga sesekali tidak meninggalkan ubat yang telah disyorkan oleh doktor.

Ditulis oleh: Sholina Osman
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, September 15, 2011

Ruqyah Penawar Gangguan

Gelagat orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan menyambut kedatangan penulis ke Pusat Rawatan Darul Ruqyah, Sunway Batu Caves petang Jumaat itu.

Walaupun hujan lebat di luar, semua itu tidak mengganggu penantian mereka, malah bilangan yang baru datang tetap bertambah. Semuanya dengan hajat yang sama - mencuba perubatan yang semakin menjadi sebutan ramai itu.

Pelbagai gaya dan ragam, ada yang membawa anak kecil dan ada juga yang kelihatan seperti sihat-sihat sahaja.

"Bulan puasa kurang sikit pengunjung. Kalau tidak, boleh mencecah 200 orang untuk tempoh dari pukul 3 hingga 10 malam. Mungkin syaitan dah banyak kena ikat, jadi gangguan pun kurang," seloroh Mohd. Suhaimi Rohani@Rozali memulakan perbualan.

Kebiasaannya, kata beliau, pesakit yang mendapatkan rawatan di situ mengalami gangguan makhluk halus seperti saka, sihir, santau, histeria dan juga gangguan psikologi seperti gila. Tidak terkecuali mereka yang mengalami sakit fizikal seperti diabetis, darah tinggi, jantung tersumbat, kanser, sawan dan pelbagai lagi.
Beliau yang mesra disapa Ustaz Suhaimi berkata, biasanya pesakit menjadikan Darul Ruqyah sebagai destinasi terakhir berikhtiar sekiranya gagal sembuh dengan rawatan moden atau alternatif lain. Menurutnya, keadaan itu lebih memudahkan rawatan kerana pesakit biasanya sedar dengan penyakit yang dialami.

Kaedah ruqyah jelasnya menggunakan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan ia memerlukan pesakit menjalani proses imbasan yang dilakukan pengamal perubatan bagi menentukan sama ada mereka mengalami gangguan atau tidak.

"Biasanya kalau seseorang itu mempunyai gangguan yang teruk seperti saka, dia akan mengalami histeria dan menjerit-jerit sejurus dilakukan imbasan," kata Ustaz Suhaimi yang berasal dari Pendang, Kedah.

Sebenarnya dalam perubatan Islam katanya, sebarang penyakit berpunca daripada gangguan makhluk halus dalam darah kita. Penyakit ini katanya tidak akan hilang dan ia hanya boleh diredakan melalui amalan dan ibadat. Namun begitu, ia tetap diwarisi kepada anak cucu pesakit kelak.

"Kalau kita fahami penyakit keturunan seperti talasemia, begitu juga dengan masalah gangguan dari segi perubatan Islam. Cuma untuk memberi penerangan yang lebih jelas agak sukar," katanya.

Kata Ustaz Suhaimi lagi, untuk mengenal pasti seseorang itu mengalami gangguan sebenarnya tidak sukar. Kebiasaannya individu tersebut cepat marah, lesu, letih manakala bagi wanita pula tanda-tanda seperti masalah haid yang tidak teratur.

Mantera

Penawar ruqyah kata Ustaz Suhaimi menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi merawat semua jenis penyakit. Ruqyah bermaksud mantera atau jampi dan ia diajar oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengalami gangguan makhluk halus.

Selain bacaan ruqyah, rawatan itu menggabungkan terapi menggunakan air penawar (sumber air zamzam), limau purut dan garam bukit. Pesakit kata beliau, akan menjalani rawatan bersama pengamal dan kemudian dia akan dibekalkan dengan cakera padat bacaan ruqyah untuk dipasang di rumah. Pesakit juga dibekalkan terapi sampingan seperti minyak dan bahan mandian.

Menurutnya, terapi yang diberi bukan sebarangan kerana ia mengandungi bacaan ruqyah dan zikir yang telah diswastakan kepada pihak lain seperti pelajar tahfiz dan sekolah pondok.

"Pesakit terlalu ramai. Mustahil saya mampu membaca ruqyah dan berzikir untuk semua. Jadi dalam zaman serba moden ini, zikir pun secara online," katanya.

Beliau juga akan melakukan solat hajat berdasarkan masalah yang dialami pesakit pada borang yang ditulis ketika mendaftarkan diri.

Ustaz Suhaimi berkata, boleh dikatakan 80 peratus pesakit yang datang ke Darul Ruqyah sembuh dengan izin Allah kecuali penyakit serius yang berada di tahap akhir seperti kanser.

Bagi pasangan suami isteri yang mengalami masalah pula, dinasihatkan kedua-dua menjalani rawatan kerana ia saling berkait rapat. Begitu juga dengan penyakit yang dialami oleh kanak-kanak.

"Saya pernah merawat seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami sawan. Bukan kanak-kanak tadi yang menjalani rawatan sebaliknya hanya ibunya dan kemudian Alhamdulillah, penyakit itu hilang," kata beliau.

Kesempatan

Kepercayaan ramai terhadap keberkesanan rawatan Islam menyebabkan banyak pihak yang mengambil kesempatan sejak akhir-akhir ini, kata Ustaz Suhaimi.
Menurutnya, ada yang meletakkan harga tinggi untuk rawatan dan ada juga yang tidak menetapkan sebarang bayaran.

Berbeza dengan dirinya yang meletakkan harga pendaftaran sebanyak RM10 dan pengesanan juga dalam jumlah yang sama, beliau menjelaskan ia perlu kerana mahu melayan semua pesakit secara saksama serta tidak mahu terdetik sebarang perasaan dalam hati.

"Katakan ada yang bayar saya sampai beribu ringgit untuk merawat penyakitnya, tentu dalam hati saya nak merawat bersungguh-sungguh, berbeza pula layanan saya dengan orang yang memberi RM2 sahaja misalnya kerana bila ia menyentuh soal kepuasan hati, ia menjadi suatu perkara yang sukar untuk kita tentukan," katanya.

Selain daripada bayaran tadi, pesakit hanya perlu membayar mengikut jenis terapi yang diperlukan dan biasanya ia tidak melebihi RM100.

Menurutnya, pesakit walaupun datang daripada mereka yang berpendidikan namun apabila berada di tempat sebegitu mereka mudah terpedaya kerana percaya dengan janji untuk sembuh.
Justeru tidak hairanlah ramai yang tertipu dan tidak kurang juga percaya kepada perubatan berbentuk khurafat.

Menurutnya tidak sukar untuk mengetahui sama ada sesuatu perubatan itu khurafat iaitu melalui mantera (tidak menggunakan bacaan Al-Quran atau jika dalam bahasa lain berbunyi janggal), kemenyan, besi, benda berwarna (contoh kain kuning), batu dan juga memerlukan hari tertentu.

Ditulis oleh: Bintu Rasyada A. Rahman  

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Sunday, September 11, 2011

Tekanan Emosi Punca Jerawat

SOALAN:
Muka saya banyak ditumbuhi jerawat sejak akhir-akhir ini. Rakan saya memberitahu, ia berpunca daripada aturan tidur saya yang tidak menentu. Adakah perkara ini benar atau ia berpunca daripada makanan berminyak? Apakah yang perlu saya lakukan doktor.

JAWAPAN:
Jerawat adalah masalah anak remaja tetapi ia juga melibatkan orang dewasa. Jerawat terjadi bila kelenjar minyak mengeluarkan terlalu banyak minyak dan sebum di kulit terutamanya di muka, dada dan belakang. Punca jerawat boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor hormon adalah penyebab utama jerawat bagi wanita dalam lingkungan umur subur.

Majoritinya adalah dalam lingkungan belasan tahun dan awal 20-an. Faktor seperti ahli keluarga yang banyak jerawat juga memainkan peranan. Penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12, kosmetik, pakaian yang ketat atau apa saja yang menutup liang minyak menyebabkan masalah jerawat.

Sebahagian jerawat timbul dari ketegangan dan tekanan emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin dari penghasilan minyak dan sebum di kulit yang bertambah dan terdedah kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas. Kebanyakan jerawat akan hilang sendiri jika kulit sentiasa bersih dan sihat.

Tetapi sesetengahnya boleh menjadi teruk dan kronik.

Jerawat juga disebabkan oleh masalah gula dalam darah, radang kulit yang kronik dan juga stres yang melampau. Untuk pengetahuan anda, banyak jenis makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan kulit anda yang sedia bermasalah dan seterusnya menyebabkan pertumbuhan jerawat.

Contohnya, jerawat akan tumbuh jika anda kekurangan tidur, menyedut udara yang tercemar dan juga menghadapi tekanan yang teruk akibat kerja dan hal peribadi. Jadi elok adik dapatkan rehat yang secukupnya kerana jerawat mungkin timbul dari perasaan tertekan dan bermasalah yang juga secara tak langsung boleh menganggu aturan tidur seseorang.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, September 07, 2011

Kekal Langsing Selepas Raya

Tanpa kita sedari, hanya tinggal dua hari sahaja kita berpuasa. Di bulan Ramadan yang mulia, umat Islam berpuasa selama sebulan menahan lapar dan dahaga menunaikan tuntutan agama.


Di bulan Ramadan jugalah ramai di antara kita mengambil kesempatan berhenti merokok dan menurunkan berat badan. Tetapi menjelang hari raya ramai pula yang menambah semula berat badan yang 'disusutkan' semasa berpuasa. Kenapa ini boleh berlaku kepada badan kita? Kenapa segala usaha dan pengorbanan kita di bulan Ramadan menjadi sia sia . Malah ada juga di antara kita yang menambah kembali berat badan lebih daripada yang kita hilang semasa berpuasa. Paling mengecewakan adalah, berat badan yang kita hilangkan semasa 30 hari berpuasa, datang kembali dengan tiba-tiba hanya selepas hari raya ketiga.

Semasa berpuasa terdapat perubahan di dalam badan yang membolehkan kita menahan lapar dan dahaga. Selepas hari ketiga berpuasa, badan mula memecahkan lemak untuk mendapatkan tenaga. Pemecahan lemak ini menghasilkan " 'ketone' yang akan digunakan oleh badan untuk mendapatkan tenaga. Ketone juga bertindak di otak untuk membuatkan kita berasa kenyang. Badan kini menyediakan diri untuk bertahan semasa kekurangan makanan dan minuman. Metabolisme menjadi perlahan, proses pemecahan lemak juga begitu kerana badan cuba "berjimat" agar boleh bertahan selama mungkin menghadapi kekurangan makanan dan minuman. Ini adalah respons semula jadi badan manusia.

Apabila menjelang hari raya, kita berhenti berpuasa. Badan akan mula berfungsi semula seperti sebelum berpuasa. Metabolisme meningkat semula, lemak disimpan kembali sebagai tenaga simpanan. Aktiviti di dalam badan menjadi normal semula. Tetapi sebahagian daripada kita ia tidak menjadi normal. Kita menambah berat badan terlalu cepat malah lebih daripada sebelumnya. Kenapa ini berlaku?
karbohidrat

Semasa hari raya, kita makan terlalu banyak karbohidrat. Di antara makanan yang terdiri daripada karbohidrat adalah seperti ketupat, lontong, lemang, nasi, kuih muih dan kek. Karbohidrat akan ditukarkan kepada gula di dalam badan. Paras gula akan naik di dalam darah dan merangsang badan untuk menghasilkan hormon insulin yang akan menukarkan gula kepada lemak dan disimpan di dalam badan. Disebabkan metabolisme badan rendah akibat berpuasa , penggunaan dan penghasilan lemak tidak seimbang. Pemecahan lemak lambat tetapi pembentukan lemak terlalu pantas dan banyak. Jika ada hormon penyimpan lemak, mesti ada hormon pemecah lemak. Bagi mereka yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah seperti hormon tiroid, hormon tumbesaran dan glucagon, proses pemecahan lemak dalam badan akan menjadi lebih perlahan.

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan penambahan berat badan yang tiba tiba? Berpuasa sebulan menyebabkan peningkatan nafsu makan yang mendadak semasa hari raya.

Langkah pertama adalah mengelakkan peningkatan paras hormon insulin secara mendadak. Untuk mengisi keperluan nafsu makan di hari raya, mungkin anda boleh meningkat kan pengambilan protein seperti daging, ayam dan ikan. Makan makanan yang mempunyai karbohidrat sihat seperti sayur sayuran. Pengambilan lebih protein boleh meningkatkan metabolisme badan kerana badan memerlukan lebih tenaga untuk mencernakan makanan protein berbanding karbohidrat. Elakkan memakan makanan yang tinggi karbohidrat. Peningkatan pengambilan protein juga membuatkan kita cepat kenyang dan boleh melawan nafsu untuk makan banyak. Cuba elak minum minuman manis. Di antara tanda-tanda peningkatan paras hormone insulin terlalu tinggi adalah rasa mengantuk selepas makan. Kita juga boleh mengambil makanan tambahan untuk mengawal paras gula agar tidak terlalu tinggi dan stabil. Di antara makanan tambahan yang boleh kita ambil adalah L Carnitine, Co Enzyme Q10 dan Kromium.

Untuk membantu badan meningkatkan paras hormon pemecah lemak kita perlu melakukan senaman. Melakukan senaman juga meningkatkan penggunaan tenaga, metabolisme badan dan pemecahan lemak.
Mungkin tip-tip yang saya berikan boleh diambil pakai dalam suasana sambutan hari raya ini. Jalan lain yang lebih mudah adalah melangsingkan badan dengan rawatan bioidentical hormone. Kebanyakan orang yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah akan mempunyai masalah untuk menguruskan badan. Mereka juga mudah menyimpan lemak dan dalam jangka masa yang panjang akan lebih terdedah untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi dan jantung. Rawatan menggunakan bioidentical hormone bukan sahaja boleh membantu badan mengurangkan lemak malah ia juga boleh memudakan kita. Ia juga boleh mengelakkan penyakit seperti masalah kencing manis, darah tinggi dan tinggi kolesterol. Hormon badan berada di dalam paras optimum semasa kita muda. Sebab itulah semasa muda kita tidak berpenyakit, badan sentiasa kurus dan cergas. Peningkatan usia selari dengan penurunan paras hormon dalam badan. Lagi cepat kehilangan hormon dalam badan lagi cepat mereka kelihatan tua dan mendapat penyakit "tua". Oleh itu rawatan bioidentical hormone adalah cara terbaik untuk menghilangkan berat badan, menjadi lebih muda dan lebih sihat.

Lemak

Namun begitu ada juga di antara kita yang mempunyai masalah lebihan lemak di bahagian tertentu. Kawasan lemak berlebihan selalunya tertumpu di bahagian dagu (double chin), perut, lengan atau paha. Rawatan yang terbaik adalah menggunakan laser lipolysis. Teknik ini adalah doktor menggunakan laser Nd:Yag untuk mencairkan lemak di kawasan tertentu. Laser ini bukan sahaja boleh mencairkan lemak, ia juga akan menegangkan kulit agar tidak menggeleber selepas prosedur. Prosedur ini lebih kepada pembentukan badan. Kelebihan prosedur ini adalah hasilnya cepat, terjamin, selamat dan kekal. Doktor yang berpengalaman pasti akan memberikan hasil yang memuaskan serta bernilai dengan wang yang dikeluarkan hanya dengan satu rawatan. Dengan teknologi moden juga membolehkan anda terus pergi kerja keesokan hari tanpa perlu mengambil cuti.

Di kesempatan ini saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya dan memohon ampun dan maaf jika ada tersilap kata dan mengguris hati perasaan pembaca.

PENULIS boleh dihubungi di 0195902511.
  
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/