Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, May 25, 2010

Bau Makanan Buka Selera Anak

Ramai ibu bapa berasakan oleh kerana anak-anak mereka sudah cukup 'besar' untuk ke sekolah, mereka juga telah cukup matang untuk memilih makanan sendiri. Anak-anak yang bersekolah berada dalam peringkat umur yang mudah dipengaruhi. Mereka meluangkan lebih banyak masa bersama rakan dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum.

Televisyen dan komputer menjadi teman setia apabila mereka pulang ke rumah. Besar kemungkinan itulah sumber utama yang mempengaruhi mereka, bukan orang yang paling penting dalam hidup pada masa itu - iaitu anda.

Namun demikian, anak anda masih boleh menjadikan anda sebagai teladan. Gunakan kelebihan ini untuk mengajar mereka di rumah tentang kebaikan dan khasiat pemakanan, tabiat makan yang sihat, dan aktiviti fizikal. Dengan berbuat demikian, anda mempengaruhi pilihan makanan mereka apabila berada di luar. Lebih penting lagi, anda juga mempengaruhi pilihan makanan mereka pada masa hadapan.

Anda boleh memperkasakan anak-anak untuk membuat pilihan yang bijak dalam soal makanan dengan:

1. Memperkasakan diri anda

Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor keluarga bagi memperkasakan diri anda dengan pengetahuan mengenai asas pemakanan yang sihat dan cara terbaik untuk memberi anak anda makan. Anda juga boleh membaca tentang pemakanan yang sihat untuk melengkapkan diri dengan maklumat yang betul. Anda akan lebih berkeupayaan untuk mengajar dan memperkasakan anak-anak apabila anda sendiri yakin dengan pengetahuan yang diperolehi.

2. Menjadi suri teladan

Oleh kerana anak anda mudah terpengaruh, anda perlu berusaha untuk menjadi contoh yang baik dalam soal pemakanan dan cara hidup yang sihat. Ini termasuk mengamalkan tabiat makan yang baik, gaya hidup aktif dan menjaga kebersihan diri. Sebagai contoh, apabila anda makan sayur, pastikan anda tidak lupa untuk memberitahunya betapa lazat dan sihatnya sayur yang anda makan. Besar kemungkinan anak anda akan mengikut jejak anda dan mula makan sayur.

3. Mulakan dari kecil

Anda perlu menyemai tabiat makan yang sihat dalam diri anak anda sejak mereka kecil. Mulakan dengan sesuatu yang mudah, tetapi penting. Sebagai contoh, pastikan dia mengambil sarapan setiap pagi sebelum pergi ke sekolah. Anda juga boleh menyediakan makanan dengan cara yang sihat supaya dia boleh mengamalkan tabiat makan yang sihat sejak kecil. Atau, anda boleh menjelaskan kepadanya tentang pentingnya makanan dan snek. Beritahu bahawa makanan harian akan memanfaatkan kesihatan dan akan membolehkannya membesar dan menjadi seorang budak yang kuat dan pintar. Ini akan meningkatkan kemungkinan anak untuk mengamalkan tabiat makan yang sihat dan membuat pilihan makanan yang bijak bukan sahaja di sekolah, tetapi juga sepanjang hayatnya.

4. Jangan putus asa.

Salah satu cara penting untuk menyemai pengetahuan tentang pemakanan yang baik adalah dengan bersabar. Jangan putus asa jika anak anda masih tidak mahu makan sayuran walaupun sudah lima kali diminta. Bersabarlah dan terus mencuba lagi.

Petua berikut sedikit sebanyak dapat menjadikan pembelajaran tentang pemakanan lebih menyeronokkan.

# Berbelanja bersama

Ini adalah peluang baik untuk mendidik anak tentang makanan mentah, seperti sayur-sayuran, supaya dia dapat mengenal bau dan teksturnya.

# Masak bersama

Sebagai permulaan, anda boleh menyediakan sarapan bersama anak pada hujung minggu.

# Makan bersama

Galakkan keluarga anda untuk makan bersama setiap hari.

# Bermain bersama

Bermain dengan anak adalah cara yang baik untuk anda sekeluarga melakukan aktiviti fizikal.

# Berkomunikasi bersama

Sentiasa luangkan masa untuk berbual dan mendengar rintihan atau luahan hati anak anda.

Ketahui lebih lanjut tentang cara membesarkan anak-anak sihat untuk negara lebih sihat menerusi pelbagai bahan dan aktiviti pendidikan Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2010 (NMM '10) yang dimuatkan dalam laman web www.nutriweb.org.my. Dan sertai Karnival NMM '10 yang menyeronokkan di Pusat Pameran Mid Valley pada 15 & 16 Mei 2010, dari 10 pagi!


Ditulis oleh:Dr Tee E Siong
Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM)

Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Friday, May 07, 2010

Jantung Bermasalah Punca Letih

Ika anda selalu berasa letih, kemungkinan besar jantung anda tidak memperolehi 'bahan bakar' yang diperlukan untuk menjadi sihat dan kuat. Bahan bakar ini ialah Koenzim Q10 (CoQ10). Ia adalah penting untuk mengeluarkan tenaga di peringkat selular. Saintis mendapati jantung mengandungi 10 kali ganda lebih banyak CoQ10 berbanding organ lain dalam badan. Ini kerana jantung adalah organ yang paling kuat bekerja dan ia berdegup sebanyak kira-kira 100,000 kali sehari. Tiada satu pun degupan itu boleh berlaku tanpa tenaga. Oleh kerana jantung merupakan organ yang bekerja tanpa henti, ia memerlukan tenaga yang amat banyak secara berterusan

Di peringkat sel, tenaga dikeluarkan dalam mitokondria ('janakuasa') dan kerana jantung merupakan organ yang paling kuat bekerja, ia kaya dengan mitokondria yang menjana tenaga (sehingga sebanyak 5,000 pada setiap sel), lebih banyak daripada apa yang dijumpai dalam mana-mana tisu lain. Lebih banyak mitokondria yang ada dalam sel, maka lebih banyak tenaga ia boleh keluarkan. Oleh kerana CoQ10 itu penting untuk pengeluaran tenaga dalam mitokondria, maka tidaklah hairan jika jantung itu mengandungi berlipat ganda banyaknya CoQ10 berbanding mana-mana organ lain.

Mendapatkan tenaga tidak menjadi masalah semasa muda. Badan dapat mengeluarkan semua CoQ10 yang diperlukan oleh jantung. Tetapi apabila semakin tua, kita mengeluarkan semakin sedikit CoQ10.

Manfaat CoQ10 kepada jantung kini diterima umum oleh doktor. Beberapa kajian menunjukkan pembaikan yang konsisten dalam fungsi jantung bagi mereka yang mengambil CoQ10. Oleh kerana CoQ10 it begitu perlu untuk pengeluaran tenaga, sekiranya terdapat kekurangan maka sudah tentu ia akan menjejaskan fungsi jantung - ini belum lagi mengambil kira organ-organ lain.

Koenzim Q10 - Sebagai anti oksida yang berkesan

CoQ10 wujud di mitokondria, iaitu tempat di mana radikal bebas dijanakan. Sebagai sejenis anti oksida yang berkesan, CoQ10 telah terbukti dapat mencegah kerosakan mitokondria, dengan itu memelihara dan melindungi sistem tenaga kita.

CoQ10 - Untuk mencegah oksida kolesterol LDL

Penyelidikan telah memutuskan bahawa bukan semua kolesterol itu tidak berfaedah. Lipoprotein berdensiti rendah (LDL) dikenali sebagai 'kolesterol jahat' manakala Lipoprotein berdensiti tinggi (HDL) ialah 'kolesterol baik'. Lebih tinggi HDL adalah lebih baik. Sebenarnya, kolesterol LDL secara bersendirian tidak menjadi masalah, ia menjadi masalah hanya apabila ia dioksidasikan oleh radikal bebas. LDL yang dioksidasikan ini yang menimbun di dalam arteri kita serta membantu membina plak-plak, merupakan ciri pengerasan arteri.

Dalam aliran darah, CoQ10 diangkut oleh LDL. CoQ10 melindungi LDL daripada dioksidasikan oleh radikal bebas. Kajian mendapati lebih banyak CoQ10 yang terkandung dalam kolesterol LDL, maka lebih berkurangan kerentanannya terhadap pengoksidaan dan juga semakin kurang kemungkinannya untuk membentuk plak yang menyumbat arteri.

Vitamin E juga ialah sejenis anti oksida yang membantu melindungi pengoksidaan LDL. Sehubungan ini, CoQ10 memainkan peranan penting untuk membantu badan anda menyimpan lebih banyak vitamin E dalam aliran darah anda dengan hanya mengitar semula vitamin E supaya badan anda dapat menggunakannya secara berulang-ulang. Melindungi LDL daripada pengoksidaan merupakan suatu langkah yang amat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung anda.

Hubungan CoQ10 dan Statin (Kumpulan Ubat untuk Menurunkan Kolesterol)

Statin (juga dikenali sebagai HMG-CoA Reductase Inhibitor) sudah dianggap sebagai sejenis ubat yang berkesan kerana ia bukan sahaja dapat menurunkan kolesterol secara mendadak tetapi juga mengurangkan risiko serangan jantung. Statin menghalang sintesis kolesterol dengan menyekat enzim HMG-CoA Reductase. Namun demikian, kesan ini juga menghalang pengeluaran CoQ10. Sejak tahun 1990, terdapat banyak kajian yang melibatkan manusia untuk menilai kesan statin dan CoQ10. Kajian-kajian ini mendapati penurunan ketara pada paras CoQ10 dalam jantung, otot rangka dan tisu hati selepas rawatan dengan ubat-ubat statin, terutama sekali apabila ubat-ubat ini diambil dengan dos yang tinggi.

Menurut seorang pakar jantung Peter Langsjoen, "Semua statin akan menyusutkan konsentrasi Q10 dikedua-dua paras darah dan paras selular." Dos yang lebih tinggi akan menyebabkan kesusutan CoQ10 yang lebih besar. Masalahnya ialah penyusutan ini berlaku secara perlahan sepanjang beberapa tahun, menyebabkan sukar untuk kita menyalahkan sesuatu kesan yang buruk tiga tahun kemudian (misalnya) kepada pengambilan statin. Penyusutan ini adalah amat bahaya bagi golongan tua, kerana apabila kita semakin tua paras CoQ10 kita menjadi semakin berkurangan.

Antara ubat Statin yang terdapat di pasaran Malaysia ialah: Lovastatin, Pravastatin, Simvastatin, Fluvastatin dan Atorvastatin (Sumber: MIMS Malaysia, Edisi ke 97, 2004).

Kajian menunjukkan penyusutan CoQ10 akibat daripada penggunaan statin boleh dicegah dengan mengambil suplemen. Lagipun, pengambilan suplemen CoQ10 tidak menjejaskan keupayaan statin untuk menurunkan kolesterol. Menurut Langsjoen, menggabungkan CoQ10 dengan statin bukan sahaja dapat mencegah penyusutan CoQ10, tetapi juga mungkin boleh meningkatkan keberkesanan ubat statin dengan mengurangkan pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol 'jahat'). Kesimpulannya: Statin adalah berkesan untuk menurunkan kolesterol. Walaubagaimanapun, jika anda sedang mengambil statin atau berhajat untuk mengambilnya, bincangkan dengan doktor anda tentang pengambilan suplemen CoQ10 bersamanya.

Mengambil suplemen CoQ10 larut air

Suplemen CoQ10 bukan sahaja untuk mereka yang mengambil ubat statin. Ahli kardiologi Dr. Langsjoen telah memberi suplemen CoQ10 kepada beribu-ribu pesakit, dan beliau berpendapat kita tidak sepatutnya menunggu sehingga kita mengalami masalah jantung barulah hendak mengambil CoQ10. Beliau pecaya mengambil CoQ10 bermula dari pertengahan umur (apabila kemerosotan CoQ10 bermula), akan memberi kesan perlindungan kepada mitokondria jantung dan membantu memelihara fungsi jantung.

Bentuk tradisi suplemen CoQ10 tidak mudah diserapkan oleh badan (serbuk CoQ10 yang disampaikan dalam minyak soya dan dimasukkan ke dalam kapsul-kapsul gel lembut, pil-pil yang berasaskan serbuk dan gelatin-gelatin keras yang berisi serbuk). Masalahnya ialah saiz zarah CoQ10 adalah amat besar, tidak larut air, dan tidak begitu larut dalam lipid yang menyebabkannya sukar untuk badan menyerapinya.

Sebuah syarikat Amerika berjaya membangunkan proses "Biosolv" yang dipatenkan yang dapat mengecilkan saiz zarah CoQ10 daripada 25 hingga 70 mikron kepada 0.3 mikron - bahkan lebih kecil daripada bakteria! Dengan menggunakan proses ini, molekul CoQ10 menjadi begitu kecil sehingga ia menjadi "larut air" (hydrosoluble). Umumnya, lebih kecil saiz zarah itu maka lebih baik lagi penyerapan. Oleh itu, dengan CoQ10 yang larut air lebih banyak CoQ10 dapat diserapkan ke dalam aliran darah untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada anda.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Thursday, May 06, 2010

Diet Tapi Masih Gemuk

Seringkali mereka yang mengidap obesiti terpaksa berpura pura gembira dengan keadaan diri mereka. Adakalanya golongan itu cuba menunjukkan obesiti adalah jalan hidup pilihan mereka. Cepat-cepat mereka memberi alasan mengapa jadi begitu sambil di hati berazam untuk menjaga diet dan cuba kembali kurus. Namun azam dan diet sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak diikuti dengan usaha gigih dan kaedah yang betul untuk merealisasikan impian.

Tak kurang juga yang sudah enggan melakukan sebarang usaha untuk kurus. Antara alasan yang sering kedengaran:

Lepas bersalin badan naik dan susah nak turun.

# Badan memang tak boleh kurus sebab keturunan.

# Tiada masa untuk bersenam.

# Suami tidak kisah gemuk.

Kitaran menahan makan diikuti dengan patah azam dan gelojoh makan membawa kesan yang tidak baik kepada badan dari segi kesihatan.

Mengapa kitaran lapar dan kenyang berlaku?

Pada otak kita terdapat saraf pusat yang mengawal rasa lapar dan kenyang. Badan seseorang yang menahan lapar akan mengeluarkan hormon dan transmitter dari otak sebagai tindak balas terhadap pengurangan makan. Dengan kata lain otak kita seolah olah menuntut kembali kesedapan yang biasa diperolehi oleh tubuh kita. Ia mahukan jumlah kalori dan gula yang tinggi untuk berasa sedap dan selesa. Ini adalah sistem tubuh yang cuba menghalang lemak daripada digunakan.

Apabila perut tidak diberi makanan yang biasa diperolehi dalam tempoh tertentu, otak akan mengeluarkan signal bahawa ia lapar. Badan akan memberontak dan mengeluarkan enzim dan hormon tertentu. Ini menyebabkan berlakunya keinginan tidak terkawal atau craving terhadap sesuatu makanan. Keinginan tersebut bukan disebabkan oleh nafsu makan tetapi merupakan signal dari otak kita yang tidak mampu dikawal oleh kita sendiri.

Badannya memberontak dan mengeluarkan hormon dan enzim tertentu menyebabkan seseorang itu menjadi ghairah untuk makan. Ia ibarat seekor harimau ganas yang sukar untuk dikalahkan. Berperang dengan nafsu makan boleh menjadikan seseorang resah dan lemah.

Akhirnya dia mengikut kehendak nafsunya. Dia makan tanpa sedar bahawa makanan itu sudah berlebihan. Jadi pusingan berlapar yang diikuti dengan keghairahan untuk makan berterusan sehingga akhirnya menyebabkan seseorang tersepit dan tidak berdaya untuk keluar daripada belenggu obesiti.

Kurus demi kesihatan

Umum mengetahui adalah sangat perlu untuk mengekalkan berat badan yang sepatutnya bukan saja supaya agar kelihatan cantik tetapi juga demi kesihatan.

Kesihatan merupakan sebab yang terpenting agar seseorang memperolehi berat badan yang sesuai dengan ukuran rangka badan iaitu berat badan unggul.

Kebanyakan teknik yang ditawarkan oleh pusat pelangsingan memperlihatkan kejayaan sementara.

Banyak kajian telah membuktikan prinsip-prinsip bagi mengurang berat badan dan mengawal daripada berlakunya pertambahan berat badan bukan hanya dengan berdiet semata mata. Ia perlu mengikut kaedah saintifik dan bukanlah secara paksaan sehingga mendera tubuh badan anda.

Anda perlu menyayangi diri anda dan mendengar bisikan hati nurani anda. Jika anda memberi tubuh anda apa yang ia perlukan ia akan selesa dan anda akan merasa gembira melalui hari-hari berdiet dengan penuh nikmat. Saya akan mengupas persoalan ini sehingga ke hujungnya dan berharap anda mengikuti ruangan saya setiap minggu. Ini kerana setiap artikel akan mengetengahkan konsep penting yang bakal anda guna pakai untuk menguruskan badan.

Apakah BMR

BMR adalah Basal Metabolic Rate. Maksudnya penggunaan tenaga bagi tubuh semasa kita berehat. Tenaga tetap diguna meskipun kita berehat atau tidur kerana pergerakan jantung usus dan lain lain tetap mengguna tenaga. Namun BMR yang rendah membuatkan banyak tenaga dikumpul menjadi lemak.

Mereka yang mempunyai kadar BMR yang rendah perlu menyedari hakikat ini dan mengambil langkah-langkah meningkatkannya. Antara yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan senaman, mengambil makanan beralkali tinggi dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan yang mempunyai nilai glysemic rendah dan rendah kalori. Contoh-contohnya akan diterangkan pada minggu seterusnya.

Sila jawab soalan berikut. Jika jawapan anda YA maka anda mengalami masalah BMR yang rendah.

# Apabila diet berat tidak turun

# Berat naik mendadak apabila makan lebih

# Sukar senaman kerana berasa terlalu letih bila bersenam

# Gemarkan makanan berkarbohidrat dan manis

# Mudah lapar

# Makan sedikit tetapi cepat gemuk

# Tekak inginkan makanan yang manis

# Lapar pada waktu malam

Punca BMR rendah

# Tidak cukup senaman. Senaman yang dimaksudkan adalah senaman ringkas merenggangkan tubuh badan. Senaman meningkat metabolisma akan diterangkan dalam isu akan datang.

# Hypothyroid. Fenomena ini melanda hampir separuh penduduk dunia. Apabila hypothyroid menyerang, seseorang akan mengalami peningkatan berat badan, berasa malas, keletihan, berat badan tidak turun meskipun berdiet, setiap pergerakan menjadi lambat, rambut juga mudah berkelemumur dan fungus mula menyerang.

# Kekurangan insulin. Insulin merupakan hormon paling penting dalam penukaran gula kepada tenaga. Dalam kes ini lemak yang terhasil cenderung berkumpul pada perut dan belakang badan.

# Kesilapan memilih makanan dengan glycemic indeks tinggi menyebabkan kadar metabolisme menjadi rendah.

Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Wednesday, May 05, 2010

Penting Tabiat Makan Sihat

Sebagai ibu bapa sudah tentu anda menaruh harapan yang tinggi dan mendoakan anak-anak a cemerlang dalam pelajaran dan menyertai aktiviti kokurikulum agar menjadi pelajar yang cergas dan serba boleh. Anak anda sedang memasuki alam pembelajaran yang serba baru dan membina kemahiran hidup lain yang diperlukan. Anda tahu sekiranya dia cemerlang dalam pelajaran, dia akan berjaya dalam kehidupan.

Tetapi dengan segala tumpuan diberi terhadap pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum, kebanyakan ibu bapa lupa pentingnya memberi makanan dengan cara yang betul kepada anak-anak. Dengan jadual pembelajaran yang ketat, baik semasa di sekolah mahupun luar waktu sekolah, serta kesibukan ibu bapa zaman sekarang, pemakanan betul dan tabiat makan yang sihat sering diabaikan.

Ramai ibu bapa mungkin tidak sedar pentingnya pemakanan dan tabiat makan yang betul ketika anak-anak berusia antara 7 dan 12 tahun. Hakikatnya, pemakanan dan tabiat makan yang baik adalah faktor yang sangat penting untuk mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan anak-anak anda, baik dari segi fizikal mahupun mental. Pemakanan yang baik memberi manfaat kepada anak-anak dalam pelbagai aspek, termasuk:

Membolehkan Pertumbuhan Optimum

Pemakanan yang betul membolehkan anak-anak anda mencapai pertumbuhan yang optimum. Ia juga boleh mencegah masalah berat badan dan kekurangan nutrien seperti anemia yang berpunca daripada kekurangan zat besi.

Meningkatkan Perkembangan Kognitif

Makanan yang betul dan tabiat makan yang sihat adalah penting untuk otak kerana ia menggalakkan pembelajaran yang lebih baik, meningkatkan daya tumpuan dan perhatian, dan menguatkan daya ingatan anak anda untuk membolehkan mereka terus kekal cerdas di sekolah.

Menggalakkan Perkembangan Sosio-Emosi

Jenis makanan dan bila anda memberi makanan kepada anak-anak juga mempengaruhi keadaan emosi dan tingkah laku mereka.

Bagaimanapun, anda juga perlu ingat bahawa pemakanan yang betul perlu disokong dengan aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal adalah sama penting dengan makanan yang baik, kerana ia banyak memberi manfaat kepada anak-anak yang sedang membesar. Aktiviti fizikal akan membakar tenaga berlebihan daripada makanan dan menguatkan tulang serta otot. Ia juga membantu meningkatkan selera makan anak anda dan mengelak mereka daripada menjadi gemuk. Ingatlah bahawa kesejahteraan sosio-emosi anak anda juga bergantung kepada aktiviti fizikal. Aktiviti seperti sukan berpasukan membantu membina keyakinan diri, menyemai nilai-nilai kepimpinan dan menyumbang kepada perkembangan keseluruhan anak anda.

Makan Untuk Hari Esok

Menyediakan pemakanan yang baik untuk anak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan semasa mereka, malah ia juga membina asas yang kuat untuk kesihatan pada masa hadapan dan menyemai gaya hidup yang sihat.

Sebagai contoh, pemakanan yang baik mula mempengaruhi kesihatan tubuh anak anda pada usia awal mereka. Ia juga membantu menguatkan sistem imun mereka pada masa kini dan masa hadapan serta menguatkan sistem daya ketahanan semula jadi tubuh.

Pemakanan yang baik pada hari ini akan mengurangkan risiko kesihatan pada masa hadapan. Jika berat badan anak anda berlebihan, besar kemungkinan mereka akan membesar menjadi remaja dan orang dewasa yang berlebihan berat badan juga. Risiko orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan untuk mengalami penyakit kronik adalah lebih tinggi, termasuk penyakit jantung, kencing manis (diabetes) dan tekanan darah tinggi. Berat badan berlebihan juga boleh menjejaskan perkembangan sosio-emosi kerana bentuk badan yang kurang menarik menyebabkan anak anda merasa rendah diri.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan

Sebagai ibu bapa yang penyayang, anda mesti berusaha memberikan makanan yang betul kepada anak anda yang bersekolah dan menggalakkan tabiat makan yang sihat sejak kecil lagi. Ingatlah, makanan yang betul tidak bermakna memberi mereka makanan yang mahal. Pemakanan yang betul bermakna memberi anak-anak anda pelbagai jenis makanan yang seimbang, dan dalam jumlah yang sewajarnya.

Anda juga patut berusaha sedaya upaya menanam tabiat makan yang sihat dan menggalakkan anak anda kerap melakukan aktiviti fizikal. Walaupun mereka akan diajar tentang aspek pemakanan yang baik di sekolah akan tetapi anda juga harus mendidik mereka di rumah, dan tidak menyerahkan segalanya kepada guru di sekolah.

Dapatkan maklumat lebih lanjut tentang kaedah membesarkan anak-anak sihat untuk negara yang lebih sihat menerusi pelbagai bahan dan aktiviti pendidikan Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2010 (NMM '10) yang dimuatkan dalam laman web www.nutriweb.org.my. Sertailah Karnival NMM '10 yang menyeronokkan di Pusat Pameran Mid Valley pada 15 & 16 Mei 2010, bermula dari 10 pagi.


Ditulis oleh:Profesor Madya Dr. Zaitun Yassin & Mahenderan Appukutty
Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM))

Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Monday, May 03, 2010

Kepelbagaian Guna Cuka

Cuka sering digunakan sebagai pembersih atau pencuci yang berkesan untuk menghapuskan bakteria berikutan paras asid yang terkandung di dalamnya. Membersih menggunakan cuka adalah kaedah bijak untuk mengelak penggunaan bahan kimia selain ia mesra alam dan menjimatkan.

# Buat sendiri bahan pencuci dengan mencampurkan 1/4 cawan soda bikarbonat, 1 sudu cecair pencuci dan cuka. Bersihkan permukaan dapur menggunakan bahan tersebut.

# Bersih dan harumkan tong sampah dengan campuran 1/2 cawan soda bikarbonat dan cuka. Biarkan selama lima minit dan curahkan air panas.

# Bersihkan ketuhar gelombang dengan campuran 1/2 cawan cuka dan 1/2 cawan air. Didihkan campuran tersebut dalam ketuhar gelombang, memudahkan kekotoran yang melekat tanggal dan menghilangkan bau.

# Untuk perkakasan kaca yang kusam, rendam tisu dapur atau kain pengelap di dalam cuka, kemudian balut kertas atau kain tersebut pada perkakasan. Biarkan seketika sebelum dibilas sehingga bersih.

# Hilangkan kesan kekotoran pada teko dengan campuran 1/2 cawan cuka dan air, biarkan semalaman. Untuk mendapatkan kesan lebih drastik didihkan cuka dengan air di dalam teko tersebut beberapa minit. Biarkan sejuk dan bilas.

# Hilangkan kesan kopi pada cawan. Caranya gosok garam atau soda bikarbonat bersama cuka pada cawan tersebut dan bilas bersih.

# Hilangkan kesan hitam pada teko aluminium dengan didihkan campuran 1 cawan cuka dan 1 cawan air panas.

# Gunakan semburan cuka untuk elak semut di kawasan luar rumah terutama berhampiran jajaran pintu dan tingkap.

# Hilangkan bau akibat makanan lama dalam peti sejuk. Mula-mula bersihkan bahagian yang berkenaan dengan sabun dan air. Sembur di bahagian permulaan dengan cuka dan lap dengan kain. Isi soda bikarbonat dalam bekas dan letak di dalam peti sejuk. Biarkan beberapa hari.

# Untuk memudahkan kerja-kerja membersihkan perkakasan membakar, semburkan campuran cuka dan air di atas permukaan.

# Harumkan tandas anda dengan memasukkan tiga cawan cuka ke dalam mangkuk tandas kira-kira setengah jam, kemudian pam tandas.

# Untuk menjadikan mangkuk tandas bersinar, tuangkan secawan atau lebih cuka yang dicampur air, biarkan beberapa jam atau semalaman, bersihkan menggunakan berus tandas dan bilas.

# Tanda pada permaidani boleh dihilangkan dengan campiran dua sudu cuka dan 1/4 cawan garam atau soda bikarbonat. Gosok bahan tersebut pada kesan kotoran dan keringkan.

Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/