Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, October 05, 2012

Tindakan Segera Rawat Strok

Panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Begitulah reaksi jika ada antara ahli keluarga anda tiba-tiba diserang angin ahmar atau strok. Insan yang tersayang kini tidak mampu bergerak mahupun menguruskan diri.

Oleh itu, sokongan dan bantuan emosi daripada keluarga, kawan-kawan dan petugas kesihatan amatlah mustahak kerana ia boleh membantu proses pemulihan pesakit strok .

Selain itu, kemahiran yang betul dapat membantu pesakit strok pulih dan berasa lebih selesa.

Namun, tidak semua orang menyedari dan mengetahui caranya kerana ramai menganggap pesakit strok tidak dapat dipulihkan.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital Penjagaan Jangka Masa Panjang Columbia Asia, Dr. Zaireen Ahmad Zamri, strok dapat dipulihkan mengikut tahap keseriusan penyakit itu.

"Jika anda menghidap strok, tidak bermakna berakhirnya hidup seseorang itu. Strok boleh disembuhkan walaupun separuh daripada otak mengalami kerosakan," katanya.

Memanglah, katanya, serangan strok boleh mengubah kehidupan seseorang untuk sepanjang hayat.

"Jika sebelum ini mereka boleh berdikari tetapi apabila diserang strok , mereka mungkin mengalami kelumpuhan yang menyebabkan terpaksa bergantung kepada mereka yang sihat," ujarnya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak memandang ringan terhadap penyakit ini.

Apa itu strok?Dr. Zaireen memberitahu, strok dikenali sebagai 'serangan otak' kerana ia berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu.

" Ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran sehinggalah seseorang itu mengalami lumpuh sebelah badan sama ada di sebelah kanan atau kiri. Namun, bukan semua jenis strok menyebabkan lumpuh kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan," katanya.

Tambah beliau lagi, terdapat dua jenis serangan strok iaitu, strok iskemia (salur darah tersumbat) dan strok berdarah (salur darah pecah).

Menerangkan mengenai strok iskemia, ia berlaku apabila darah beku menyekat arteri daripada membekalkan darah ke otak.

Biasanya strok iskemia adalah akibat daripada pengumpulan kolestrol dan puing lain di dalam arteri semenjak bertahun-tahun lamanya.

Strok jenis tersebut mungkin disebabkan oleh trombosis serebrum, iaitu apabila darah beku (tombus) terbentuk di dalam arteri utama yang menuju ke otak lalu menghalang bekalan darah.

Embolisme serebrum pula berlaku apabila darah beku terbentuk di dalam salur darah di tempat lain dalam badan, contohnya di leher atau jantung dan bergerak dalam aliran darah ke otak.

Sementara itu, strok berdarah terjadi apabila salur darah di dalam otak atau di sekelilingnya pecah dan menyebabkan pendarahan.

Penyakit tekanan darah tinggi yang lama dan tidak dirawat memberi memberikan tekanan pada dinding arteri, menyebabkan meningkatnya risiko arteri itu pecah dan seterusnya berdarah.

Strok berdarah kemungkinan disebabkan oleh pendarahan intraserebrum, iaitu apabila salur darah pecah di dalam otak.

"Dalam hal ini, kebanyakan strok iskemia boleh dicegah dan dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan kepada otak.

"Masalah yang timbul dalam hal pencegahan adalah pesakit sering terkeliru tanda-tanda awal strok dengan penyakit lain seperti jantung," katanya.

Sebagai contoh, orang yang merasa sakit dada akan segera mendapatkan rawatan perubatan kerana mereka bimbang mereka mungkin mengalami serangan jantung. Namun, ramai yang menghidap gejala strok, seperti kelemahan di sebelah bahagian badan atau pertuturan yang kurang jelas, cuma mengambil sikap 'tunggu dan lihat' dan tidak mendapatkan rawatan perubatan dengan serta-merta.

"Lebih teruk lagi, ada kalangan ahli keluarga yang beranggapan ia bukan serangan strok tetapi terjadi akibat perbuatan aniaya atau sihir," jelasnya.

Tanda-tanda strok Justeru Dr. Zaireen mengingatkan orang ramai perlu mengetahui tanda amaran awal strok tanpa mengira usia kerana strok boleh menyerang golongan muda.

Antara tanda awal kelemahan atau kebas secara tiba-tiba pada sebelah bahagian badan.

"Paling ketara kita dapat melihat kesukaran pesakit bercakap atau memahami pertuturan, atau pertuturan tidak jelas," katanya.

Apabila tindakan lambat diambil, ramai orang kehilangan banyak masa mendapatkan rawatan kecemasan yang boleh membawa perbezaan ketara dari segi pemulihan strok .

Bagaimana strok didiagnosis dan dirawat?Dr. Zaireen menjelaskan, doktor akan melakukan diagnosis klinikal dengan cara mendapatkan sejarah perubatan pesakit diikuti dengan pemeriksaan fizikal.

Selepas itu doktor akan melakukan ujian bersesuaian yang diperlukan untuk merawat pesakit dengan berkesan. Pengimejan menggunakan imbasan tomogafi berkomputer (CT) dan imbasan gema bermagnet (MRI) membantu doktor merawat pesakit.

"Setiap pesakit mungkin mengalami kesan strok yang berbeza. Ini disebabkan hilang upaya akibat strok bergantung pada berapa teruknya otak rosak dan di bahagian mana di otak strok berlaku," jelasnya.

Menurut Dr. Zaireen, orang ramai perlu mengawal faktor utama yang boleh menyumbang kepada strok iaitu diabetes, darah tinggi, paras kolesterol dan tabiat merokok.

Selain rawatan ubat-ubatan, pesakit juga boleh menjalani rawatan pemulihan seperti yang dilakukan oleh Hospital Columbia.

"Kami menerima pesakit yang disahkan menghidap strok dan diminta melakukan rawatan susulan di sini. Pesakit boleh sembuh dengan adanya rawatan fisioterapi dan penjagaan khas dalam jangka masa panjang dari segi pemakanan dan gaya hidup mereka," katanya.

Ditanya sejauh mana kepentingan melakukan pemulihan segera terhadap mangsa strok , beliau menegaskan ia adalah amat penting kerana setiap mangsa mesti mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin.

Ini kerana semakin cepat terapi pemulihan dimulakan, semakin cepat otak mempelajari semula pergerakan yang normal dan kelewatan akan menyukarkan proses pemulihan.

"Terapi pemulihan meliputi fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan kaunseling. Di sini kami turut meminta kerjasama keluarga pesakit bagaimana membantu pesakit mengamalkan gaya hidup sihat.

"Antaranya melakukan aktiviti fizikal, pengambilan makanan yang sihat, tidak merokok dan sentiasa melakukan pemeriksaan tekanan darah," jelasnya.

Tambah beliau, strok mungkin boleh menyerang buat kali kedua. Oleh itu, amat penting membuat pemeriksaan perubatan secara tetap supaya tekanan darah, paras kolestrol dan berat badan dapat diawasi.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah  
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, October 01, 2012

Rosni Derita Kerana Buasir

Pada pengamatan penulis wanita ini seperti tidak menghidap apa-apa penyakit. Wajahnya segar dan bentuk badannya boleh dikatakan masih kekal cantik.

"Saya sudah lama menghidap buasir tahap tiga dan tahun lepas saya disahkan menghidap batu karang kerana kencing tidak lawas.

"Bayangkan anda terpaksa menanggung derita dua penyakit dalam masa yang sama," kata Rosni Saad, 45 yang bertugas sebagai Eksekutif Kanan Goldium Property Sdn. Bhd.

Mendengar perkataan buasir, pasti ramai yang gerun. Sakit akibat buasir hanya boleh dibayangkan tetapi bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bercerita lanjut tentang penyakit buasir, Rosni memberitahu, doktor pernah menyarankan dia melakukan pembedahan tetapi dia tidak mahu.

Justeru, dia sendiri perlu bijak mengawal pemakanan mahupun mengawal sakit jika buasir kembali menyerang.

Katanya, dia akan memasukkan sendiri menggunakan tangan cebisan daging berbentuk kelopak bunga ke dalam lubang dubur.

"Masa itu hanya Tuhan sahaja yang tahu sakitnya.

Jika daging itu keluar, hidup saya memang menderita.

Tiga hingga empat hari kena duduk dalam bekas bulat yang mempunyai lubang di bahagian tengah. Kemudian, saya tidur mengiring. Lebih perit saya mengalami sembelit ketika membuang air besar dan ada pendarahan. Bertahun-tahun lamanya saya menderita, saya seperti ingin menangis masa itu," kata ibu kepada tiga anak ini.

MurungMenurut Rosni, buasir boleh menyebabkan pesakit menjadi murung dan tahap keyakinan yang rendah.

Ini kerana pesakit keletihan dan tertekan memikirkan sakit yang ditanggung.

"Kerja anda di pejabat dan di rumah terganggu hanya kerana buasir. Walaupun penyakit ini boleh hilang dan tiba-tiba kembali semula, ia sebenarnya mengganggu emosi kita. Nak duduk pun tidak selesa.

"Namun saya bersyukur kerana buasir dan batu karang yang saya alami semakin pulih selepas saya mencuba suplemen, Redianze dan Reverse keluaran Eskayvie. Pada awalnya, saya tidak percaya seratus peratus tetapi saya mencubanya kerana saya perlu berusaha. Alhamdulillah, suplemen ini serasi dengan saya. Selepas enam bulan mencuba, kesihatan saya beransur baik," katanya.

Dalam pada itu, Rosni masih meneruskan pemeriksaan doktor dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk menjaga kesihatannya.

Bagi mengelak buasirnya berulang, Rosni menukar corak pemakanan dengan mengurangkan makanan pedas dan lebih kepada sayuran-sayuran hijau.

"Saya mahu berkongsi pengalaman ini bersama pembaca untuk mereka memahami bahawa setiap penyakit ada penawarnya dan mereka tidak boleh berputus asa. Pencegahan sebenarnya lebih baik dan ia bermula daripada gaya hidup kita sendiri," katanya yang turut terpilih peserta akhir Ratu Eskayvie kategori Anggun.


Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, September 28, 2012

Inovasi Implan Stent Untuk Jantung


Siti, dalam usia 50-an, sentiasa sibuk dengan tugas beliau sebagai seorang ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggakan tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu beliau hendak ke pejabat, Siti mengalami rasa sakit dada yang amat sangat dan akhirnya dia terus tidak sedarkan diri.

Apabila pulih dan sedar semula, Siti mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

“Siti, anda telah mengalami serangan jantung dan disahkan menghidap penyakit jantung koronori (CAD). Kami mendapati saluran darah jantung anda menjadi sempit. Anda perlu rawatan segera untuk mengelak komplikasi yang lebih teruk," terang doktor.

Arteri Siti iaitu saluran darah yang membawa darah mengandungi oksigen keluar dari jantung untuk mengalir ke seluruh badan menjadi sempit disebabkan pembentukan plak pada bahagian dalam dinding arteri.

Halangan ini menyebabkan kekurangan pengaliran darah yang membawa oksigen ke jantung yang mengakibatkan sakit dada, degupan jantung tidak tetap (arrhythmias), serangan jantung dan mungkin maut.

Untuk merawat CAD, stent membebaskan ubat (perancah) dimasukkan ke dalam saluran darah. Implan ini direka khas bagi membantu melebarkan saluran darah untuk pengaliran darah yang lebih lancar ke jantung.

Teknologi perubatan terkini menemui Absorb™ BVS, iaitu satu-satunya stent pembebasan ubat (DES) bukan-metalik.

Uniknya, BVS menggunakan teknologi inovatif syarikat, dihasilkan daripada polylactide, sejenis bahan yang biasanya digunakan dalam bidang perubatan seperti benang jahitan pembedahan mudah larut.

Memandangkan ia daripada bahan semulajadi, BVS selamat digunakan sebagai implan kerana ia akan habis larut setelah dua tahun dan diserap semula ke dalam tubuh.

Menurut Ketua Jabatan Kardiologi di Institut Jantung Negara, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali, ciri istimewa ini membezakan Abbott BVS dengan stent pembebasan ubat (DES) metalik yang konvensional.

Selain itu, BVS mengandungi stent metalik yang dimasukkan ke dalam saluran darah jantung pesakit dan meninggalkan implan kekal dalam badan pesakit.

“BVS bersifat bioresorbable, bermaksud ia akan larut secara beransur-ansur (dalam masa lebih kurang dua tahun). Salur darah yang dirawat boleh kembali ke keadaan semulajadinya. Ia turut mengembalikan keanjalan semulajadi dan pergerakan saluran darah. Dalam jangka masa panjang, BVS berpotensi mengurangkan keperluan pesakit untuk mengulangi prosedur tersebut atau menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass)," jelas beliau pada sidang media memperkenalkan BVS oleh Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd (Abbott) baru-baru ini.

Tambah Dr. Rosli, faktor ini menyebabkan prosedur BVS paling sesuai untuk pesakit muda atau yang mendapat rawatan untuk kali pertama.

“ Pada masa ini, masih tidak terdapat jenis stent yang sesuai untuk golongan pesakit ini. Oleh itu, BVS membantu doktor menawarkan pilihan rawatan yang lebih luas sebagai pencegahan pada masa depan," tambahnya.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah  

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, September 21, 2012

Sakit Sendi Jejas Kualiti Hidup


Lazimnya penyakit yang berkaitan dengan sendi dan tulang ini adalah osteoarthritis (OA), artritis dan osteoporosis.

Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan radang, artritis haus dan lusuh manakala osteoporosis pula berkaitan dengan kekuatan dan kepadatan tulang.

Begitupun, artritis dan osteoporosis lebih kerap didengari dan kesedaran mengenainya juga lebih tinggi berbanding osteoarthritis.

Secara umumnya osteoarthritis berlaku akibat rawan yang meliputi penghujung tulang atau sendi menjadi haus dan ia boleh menyebabkan kesakitan sendi, bengkak dan kecacatan.

Menurut Pakar Perunding Rheumatologist, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Amir Azlan Zain, osteoarthritis adalah penyakit yang melibatkan kualiti hidup seseorang.

Ini kerana apabila seseorang itu disahkan menghidap osteoarthritis, mereka mungkin akan mengalami masalah seperti tidak boleh berjalan, bengkak di bahagian lutut, tidak boleh membengkokkan kaki serta mengalami kesakitan yang berlarutan.

Tambah Dr. Amir, osteoarthritis yang lazimnya akan menyerang pada bahagian lutut juga boleh merebak ke bahagian-bahagian lain seperti bahu, jari tangan, jari kaki serta pinggang.

Katanya lagi, sehingga kini masih belum ada rawatan yang betul-betul dapat menyembuhkan osteoarthritis.

“Walaupun penyakit ini tidak boleh diubati, tetapi kesakitan dapat dikurangkan dengan pelbagai cara seperti senaman, fisioterapi, pengambilan ubat tahan sakit dan juga suplemen seperti glukosamina.

“Begitupun apa yang boleh dicadangkan kepada pesakit ialah melakukan senaman secara berterusan yang bertujuan menguatkan otot-otot di sekitar sendi yang terlibat.

“Pada masa yang sama senaman yang dilakukan ini juga dapat menolong melonggarkan sendi-sendi yang kaku akibat osteoarthritis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, selain senaman, pesakit-pesakit juga perlu mengambil berat tentang pemakanan mereka.

Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan obesiti dan pengurangan berat badan dapat membantu mengurangkan tanda-tanda penyakit tersebut.

Secara tidak langsung, ia dapat melambatkan proses kemerosotan sendi akibat daripada impak berat badan yang berlebihan.

Sementara itu, menurut Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Arthroplasty, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lee Chong Meng, sekiranya keadaan menjadi lebih teruk di mana kualiti hidup terjejas teruk, pembedahan adalah perlu untuk meningkatkan kembali kualiti hidup pesakit.

Bagaimanapun katanya, pembedahan adalah pilihan terakhir dan ia bergantung kepada keperluan individu dan tahap penyakit osteoarthritis yang dihidapi.

“Melalui pembedahan, sekurang-kurangnya pesakit osteoarthritis akan mendapat kembali kehidupan asal mereka walaupun ia tidak 100 peratus. Di samping itu mereka juga akan mendapati sakit sendi telah berkurangan.

“Bagaimanapun pembedahan ini biasanya dilakukan untuk sendi-sendi yang besar seperti lutut, pinggul dan juga bahu.

“Lazimnya pembedahan ini dilakukan di mana sendi-sendi yang rosak ditukar dengan sendi-sendi tiruan," katanya.

Untuk itu, orang ramai disarankan agar mengubah gaya hidup mereka seperti mengurangkan berat badan, amalkan gaya pemakanan yang sihat serta bersenam kerana ia dapat menolong menangani gejala-gejala osteoarthritis.

Pada masa yang sama, pesakit-pesakit turut disarankan menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa mengenai osteoarthritis.

Bagaimanapun mereka digalakkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan awal di samping mendapat nasihat serta rawatan yang perlu dalam usaha mengurangkan sakit tersebut.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, September 14, 2012

Atasi Parut Jerawat

Meningkat usia remaja, imej di kalangan rakan-rakan terutama dari segi penampilan diri menjadi semakin penting.

Namun usaha tersebut sering digagalkan dengan 'kemunculan' jerawat pada wajah akibat daripada beberapa faktor termasuk perubahan hormon.

Memburukkan keadaan apabila jerawat yang muncul meninggalkan kesan parut yang sudah tentunya menjejaskan penampilan.

Kerisauan tersebut mungkin reda dengan kehadiran gel Hiruscar Post Acne, yang merupakan produk rawatan parut jerawat pertama diperkenalkan di Malaysia.

Pengarah Pemasaran Medinova AG Regional OTC, Pamela Tan, berkata, rumusan tiga dalam satu Hiruscar Post Acne telah diuji secara klinikal untuk menghilangkan parut jerawat dalam tiga langkah mudah.

"Tiga langkah tersebut ialah pertama, memulihkan dan melicinkan kulit parut jerawat yang dalam, kedua, mencerahkan bintik hitam dan mengurangkan kemerahan selepas jerawat pulih dan ketiga, mengelakkan jerawat daripada kembali semula melalui ciri anti bakterianya," katanya.

Menurut Tan, produk berbentuk gel itu mudah disapu, cepat meresap, tidak berminyak dan berbau harum.

Rumusan Hiruscar Post acne juga tidak menimbulkan alahan dan tidak mengakibatkan masalah kulit kerana ia tanpa alkohol bagi memastikan kulit tidak akan terasa hangat.

"Produk ini dirumus bagi kegunaan harian dan disarankan bagi kegunaan selepas serangan jerawat sahaja.

"Caranya mudah iaitu dengan pada bahagian yang perlu sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali setiap hari.

" Dengan cirinya yang mudah meresap, gel ini boleh digunakan bersama solekan harian dan boleh dijadikan amalan harian penjagaan kulit.

"Dengan penggunaan yang mematuhi saranan dan berpanjangan, parut jerawat akan kurang kelihatan dalam masa empat minggu," kata Tan lagi.

Sementara itu, salah seorang ahli pasukan sorak dari pasukan Vulcanz All-Girls, Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor. Esther Erin Wong, 16, mengakui rutin harian sebagai pelajar dan ahli pasukan sorak yang terpaksa berlatih enam kali seminggu menyukarkannya untuk mengekalkan rutin penjagaan wajah.

"Jadual saya begitu padat dan saya biasanya mendapat hanya enam jam tidur setiap malam.

" Ini mengakibatkan kulit saya mudah berjerawat terutamanya. Saya tidak dapat mengelak daripada mendapat parut jerawat sebaik sahaja jerawat saya pulih," katanya yang ternyata lega kerana berjaya mengatasi masalah tersebut dengan Hiruscar Post Acne.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, September 07, 2012

Hidroterapi Ais

Pelbagai bentuk rawatan spa diperkenalkan bagi membantu orang ramai memperoleh kesejahteraan tubuh secara holistik.

Antara yang turut mendapat perhatian ialah rendaman ais atau lebih dikenali sebagai hidroterapi ais iaitu salah satu kaedah rawatan alternatif Terapi Getaran Warna (CVT) bagi membantu menguatkan tulang, otot dan saraf pada badan.

Pengasas perubatan alternatif ini, Prof. Emeritus Dr. Norhisham Wahab, percaya bahawa penyakit terjadi akibat berlaku ketidakseimbangan pada sel organ-organ tertentu dalam tubuh.

"Manusia sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis penyakit jika ia tidak dikawal dengan baik.

"Punca pelbagai penyakit yang melanda diri seperti lesu, sedih dan murung adalah petanda awal bahawa sistem dalam badan menghadapi masalah

"Hakikatnya, tulang yang kuat akan memberi kesan yang hebat kepada otot sekali gus akan mengaktifkan saraf pada keseluruhan badan," katanya.

Menyedari kelebihan rawatan alternatif terapi ais kepada kesihatan tubuh manusia, beliau telah melancarkan spa yang dikenali sebagai Home Spa Ice Therapy yang menggunakan ais sebagai bahan asas dalam rawatan.

Norhisham berkata, rendaman hidroterapi ais lebih berkesan apabila dilakukan di bawah penyeliaan pengamal CVT yang bertauliah.

Beliau berkata, Home Spa Ice Therapy menggunakan konsep rawatan yang menyediakan semua jenis terapi kepada pesakit dalam satu ruang rumah yang lengkap dengan peralatan.

"Pelanggan yang datang ke sini akan dicadangkan dahulu jenis rawatan yang sesuai berdasarkan penyakit yang dialami.

"Konsep ini menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari tempat mendapatkan rawatan selepas dikesan menghidap sesuatu penyakit

"Rawatan hidroterapi ais adalah asas yang dilakukan sebelum mereka melakukan rawatan selanjutnya," katanya.

Menurut Norhisham, mungkin ada yang takut untuk mencuba kerana terpaksa berendam dalam tab penuh ais selama 30 minit, tetapi selepas mencuba mereka akan merasai kesannya.

"Pada peringkat permulaan pesakit akan merasa sejuk namun selepas beberapa minit suhu badan mereka akan sebati dengan air di dalam tab.

"Bukan air biasa yang digunakan, sebaliknya ia mengandungi air beralkali yang diyakini mampu melegakan banyak penyakit," katanya.

Menurutnya, rendaman itu kemudian ditambah titisan aroma terapi seri wajah, garam kasar, sulfur, hydro natrium, kapur sirih, dan gel mandian yang mengikut keperluan fungsi tubuh individu

Rawatan menggunakan hidroterapi ais tidak memberi kesan berbahaya kepada tubuh badan sebaliknya ia membantu mengembalikan semula kekuatan tulang, meningkatkan keseimbangan sistem ketahanan tubuh, antibodi dan sistem hormon.

"Selain itu ia juga dapat mengembalikan kesegaran dan kecergasan menyelesaikan masalah kesukaran tidur, meninggikan semangat dan tenaga vital.

"Ia turut membantu melancarkan pengaliran darah, kelangsingan tubuh badan serta rawatan kulit yang paling berkesan," kata Dr. Norhisam.

Tambahnya lagi, hidroterapi ais sebagai rawatan eksklusif turut disertakan bersama empat terapi pilihan sebagai pelengkap iaitu rawatan kiropraktik, urutan tradisional untuk keseluruhan badan, rawatan shiatsu dan rawatan fisioterapi iaitu terapi pemulihan otot di dalam kolam renang dengan air garam.

"Untuk jaminan layanan dan kemudahan terapi yang paling selesa kepada pelanggan, terdapat lima bilik rawatan yang ditempatkan di bahagian atas.

Ditulis oleh: Siti Aishah Yusoff
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/