Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, October 07, 2011

Mengapa Kemaruk Makan?

"Saya memang kuat makanlah doktor, saya sukar menghilangkan tabiat kuat makan ini. Saya pasti inilah sebabkan maka saya gagal untuk kurus. ‘‘Entah mengapa apabila saya melihat makanan manis seperti kek, kuih dan pasteri hati saya tidak dapat tahan, saya pasti mencubanya,’’ kata Puan Rozi.

Wanita itu menyambung keluhannya bahawa dia sudah puas mengekang nafsu makan namun apabila terjumpa saja makanan kegemaran maka dia akan tewas. Pada musim durian yang lalu, setiap hari dia membeli durian padahal dia tahu durian tinggi gula dan karbohidrat.

‘‘Namun selera saya bagaikan tidak dapat ditahan-tahan. Saya tidak kisah tak makan nasi seminggu namun kalau tak dapat makan roti, kek dan kuih hati saya rasa meronta-ronta,’’ katanya.

Perasaan ingin makan yang memuncak merupakan satu fenomena yang hadir dalam tubuh manusia. Oleh itu ia menjadi satu masalah kepada mereka yang mahu menurunkan berat badan. Dalam bahasa Inggeris ia disebut food cravings. Dalam bahasa Melayu pula dipanggil kemaruk makan manakala bahasa perubatan mengenalinya sebagai pica. Bagi ibu yang hamil fenomena bahasa yang sering dipakai adalah mengidam. Mengidam, pica, kemaruk atau cravings merupakan keinginan naluri yang kuat sehinggakan dalam sejarah Melayu turut menerangkan bahawa ibu yang hamil keinginan makannya harus dipenuhi. Ia dikaitkan pula dengan keinginan bayi dalam kandungan seperti di dalam legenda Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Mengapa fenomena ini terjadi?

Menurut kajian sains hal ini disebabkan oleh keperluan nutrisi tubuh yang tidak mencukupi. Sekiranya kurang zat besi, seseorang itu inginkan makanan yang kaya dengan zat besi. Sekiranya kurang kalsium seseorang itu inginkan makanan yang kaya dengan kalsium pula. Dengan kata lain makanan yang memenuhi keperluan tubuh seseorang itu akan terasa lebih enak ditekaknya.

Namun adakah seseorang yang obes yang amat menyukai makanan manis berkarbohidrat tinggi bermakna tubuhnya tidak cukup karbohidrat? Mengapakah seseorang yang obes mengadu sering pening dan mempunyai paras gula rendah meski pun dia makan banyak karbohidrat .

Apakah yang terjadi sebenarnya?

Pakar anti penuaan mengkaji fenomena ini dan mengakui ia disebabkan kegagalan fungsi hormon atau kerosakan signal hormon tubuh.

Terdapat dua jenis hormon yang mengawal paras gula dalam darah iaitu hormon insulin dan glucagon. Kedua-dua hormon ini saling berinteraksi antara sama satu lain untuk memastikan paras gula stabil. Hormon insulin akan keluar dengan banyak apabila paras gula tinggi selepas makan. Kegunaan hormon ini bertujuan membolehkan gula digunakan oleh sel-sel dalam badan kita sebagai tenaga.

Insulin bolehlah dianggap sebagai pintu masuk gula ke dalam sel. Tanpa insulin gula hanya kekal di dalam darah dan tidak dapat masuk ke dalam sel. Gula yang ada di dalam darah tiada gunanya. Ia langsung tidak dapat digunakan oleh sel-sel bagi diproses kepada tenaga. Seseorang itu akan mengidap diabetes atau kencing manis apabila hal ini berlaku.

Hormon insulin yang keluar dikenal pasti oleh sel tubuh dan sel-sel ini akan membuka pintunya bagi membolehkan glukosa diambil ke dalam sel. Apabila hormon insulin rosak, sel menjadi tidak sensitif kepadanya. Dengan kata lain sel-sel kita tidak akan membuka pintunya. Hal ini akan menyebabkan lebih banyak insulin keluar dan akhirnya mencetuskan fenomena gula terlalu rendah di dalam darah. Apabila gula sering naik dan turun secara mendadak, seseorang akan berasa tidak selesa dan sering sakit kepala. Badan pula akan berasa letih dan lesu manakala keinginan untuk makan makanan manis akan memuncak. Inilah penyebab utama kemaruk makan.

Fenomena ini harus ditangani segera untuk mengelakkan kerosakan sistem insulin yang boleh membawa kepada kencing manis dan obesiti tegar.

Untuk mengatasi masalah ini disarankan seseorang minum air yang banyak selepas mengambil makanan manis. Air kosong akan melarutkan kepekatan gula dan mendorong kepada kurangnya rembesan insulin.

Pengambilan protein berkualiti boleh mengurangkan masalah ini. Protein yang berkualiti meningkatkan paras glukargon dalam darah dan membolehkan glukargon menukarkan lemak kepada gula semula yang kemudiannya digunakan sebagai tenaga. Proses ini membolehkan seseorang langsing.

Di zaman serba mewah ini masalah kerosakan insulin semakin menjadi-jadi sehinggakan dikhuatiri kadar obesiti akan terus meningkat di kalangan kanak kanak dan juga dewasa. Langkah yang wajar ialah membaiki faktor pemakanan secara perlahan-lahan.

Kempen gaya hidup sihat, pemeriksaan paras darah dan insulin perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran kepada kita. Pembacaan mengenai hormon dan tanda kerosakan hormon perlu pasti bagi menangani obesiti yang resistant.

Penulis boleh dihubungi di 03-87234808 dan 0132448484.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, October 05, 2011

Keistimewaan Urutan Saraf

Mohd. Saiful Azhar sering mengalami kembung perut dan berangin. Mungkin tekanan kerja menyebabkan dia sering letih dan tiada masa berehat. Ini menyebabkan badannya letih dan sentiasa berangin.
Menerusi seorang rakan, Saiful mengenali pemilik Darul Irsyad , Gadafi Mohd Zuki.

Sebelum mendapatkan rawatan, Saiful bertanya pada Gadafi tentang perbezaan rawatan tradisional dan saraf.
“Urutan saraf menggunakan titik saraf manakala urutan tradisional lebih kepada daging tubuh badan kita.
Sebaiknya anda melakukan refleksiologi terlebih dahulu supaya saya dapat memeriksa apa sebenar punca penyakit anda,” terang Gadafi.

Selepas melakukan urutan kaki, Gadafi mendapati perut Saiful berangin dan dia boleh membantu mengurangkan rasa sakit dengan urutan saraf pada perut.

Tanpa mengambil masa yang lama, Saiful bersetuju. Dia mendapati ada kesan positif.

Berminat dengan urutan saraf, Saiful mengambil keputusan belajar di Darul Irsyad.

Selepas beberapa kali menghadiri kelas, Saiful mendapati dia boleh mencari titik saraf dan melakukan rawatan sendiri.

Sekarang dia lebih bertenaga dan segar walaupun bebanan kerja di pejabat masih sama seperti dahulu.
Melegakan kesakitan

Menurut Gadafi, selain berehat, proses urutan dikatakan sedikit sebanyak dapat melegakan kesakitan dan sengal pada sendi.

Tidak hairanlah urut refleksiologi, tradisional dan saraf semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat.
“Urutan bermula dengan terapi pengurutan tapak kaki untuk merangsang dan mengesan penyakit berpunca daripada urat saraf.

Melaluinya, ia bukan sahaja dapat membantu membenarkan badan melakukan penyembuhan sendiri, tetapi turut melancarkan perjalanan darah, menghilangkan lenguh serta melegakan tekanan,” ujarnya.

Lazimnya, apabila bercakap mengenai urutan saraf, banyak kelebihan tersembunyi yang orang ramai tak tahu.
“Ada yang kata boleh menyembuhkankencing manis. Namun secara umum, ia membantu melancarkan darah dalam badan. Sesi bergantung kepada penyakit seseorang dan rawatan masalah pesakit,” katanya.

Tambah Gadafi, urat-urat yang bengkak dan berlendir akan dipecahkan melalui urutan saraf. Misalnya, urutan kepala melancarkan perjalanan darah dan mengurangkan sakit kepala.

Dengan menggunakan minyak biasa, urutan saraf sesuai untuk wanita atau lelaki untuk membantu melancarkan darah seluruh badan.

Bagi rawatan ini, Gadafi menjelaskan tiada pantang tetapi pesakit digalakkan minum air kosong.
Dalam pada itu, Darul Irsyad turut mengadakan latihan atau kursus urutan saraf mengikut titik penyakit dalam badan.

“Ramai yang menyalahgunakan urutan untuk menawarkan urutan batin. Justeru kursus yang kami sediakan dapat membantu orang ramai belajar tentang keistimewaan urutan saraf. Selain itu kami menawarkan kos rawatan RM 50 hingga RM 100 setiap sesi dan sesi rawatan bergantung kepada jenis penyakit,” jelas Gadafi yang boleh dihubungi di talian 013-3595036 atau layari melayari http://darulirsyadblog.spot.com.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, October 03, 2011

Kesesakan Cetus Serang Jantung?

Kesesakan lalu lintas sememangnya tidak dapat dielakkan apatah lagi dengan pertambahan bilangan kenderaan di atas jalan raya.

Berhadapan dengan keadaan ini boleh membuatkan tahap tekanan atau stres anda melonjak.

Selain degupan jantung yang cepat dan badan banyak berpeluh, lain-lain tanda amaran stres termasuklah loya, bernafas kencang, cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil, sejuk kaki dan tangan, berubah selera makan (tidak lalu makan atau makin bertambah), keinginan seks menurun, sakit-sakit badan yang tidak diketahui puncanya, tidak dapat menumpukan perhatian dan gangguan tidur.

Cuba bayangkan setiap hari kita berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, tanpa disedari anda mula stres dan simptom-simptom tersebut muncul.

Anda juga bakal berhadapan dengan pembunuh senyap atau kematian mengejut akibat serangan jantung.
Risiko

Kesesakan lalu lintas mengakibatkan kepekatan karbon monoksida meningkat di udara dan ini menyebabkan otot jantung kekurangan oksigen. Stres atau tekanan perasaan juga menyebabkan kadar denyutan jantung meningkat. Pemandu pula hilang kawalan emosi hingga tercetusnya perasaan marah dan ‘mengamuk’.
Satu kajian baru-baru ini menunjukkan kesesakan lalu lintas mempunyai kaitan dengan risiko serangan jantung.

Penyelidikan yang melibatkan 1,500 kes serangan jantung itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut kajian itu, mereka yang berdepan dengan kesesakan trafik tidak kira sama ada pemandu, penumpang, penunggang motosikal atau pengguna pengangkutan awam akan mengalami risiko serangan jantung tiga kali ganda lebih daripada keadaan biasa.

Kebanyakan kes yang diteliti menunjukkan tempoh satu jam pertama kesesakan trafik sudah cukup untuk meningkatkan risiko itu.

Kajian oleh Institut Epidemologi Helmholtz dan Sekolah Kesihatan Awam Universiti Havard itu juga mendapati suku daripada kes yang dipantau melibatkan wanita berusia sekitar 60-an.

Pemandu kereta yang terperangkap dalam kesesakan merupakan kelompok utama yang terdedah kepada serangan jantung.

Merangsang

Dalam konteks ini, keadaan stres sama ada akut atau kronik meningkatkan risiko penyakit jantung. Pada seseorang yang menghidapi penyakit jantung, stres akut boleh mencetuskan serangan jantung (infarksi miokardium).

Stres yang berlarutan atau kronik akan meningkatkan risiko penyakit jantung. Ia merangsang penyakit tekanan darah, dinding saluran darah menebal, merangsang mendapan lemak dan sel darah beku pada dinding saluran darah.

Selain itu, hormon adrenalin yang meningkat menyebabkan kadar degupan jantung turut bertambah, dinding jantung menebal serta merangsang peningkatan insulin yang boleh menebalkan dinding saluran darah.
Tidak ketinggalan peningkatan hormon CRP dan homosistein semasa stres turut menyumbang kepada risiko sakit jantung koronari dan serangan jantung.

“Apabila seseorang stres, ia boleh memberi kesan kepada saluran darah dan meningkatkan aras gula dalam badan. Keadaan ini merupakan risiko kepada serangan jantung hingga boleh menyebabkan kematian mengejut dan kemalangan jalan raya.

Secara amnya, kita melihat ramai yang stres akibat kesesakan lalu lintas. Pendek kata, kita harungi kehidupan moden ini bersama stres, kebimbangan dan kekecewaan yang mana adunannya cukup menekan, menjadi sebahagian daripada rutin seharian.
Bagaimanapun, tekanan luar biasa yang berpanjangan mempunyai kesan-kesan psikologi negatif dan menjejaskan fungsi jantung , sistem penghadaman dan rangka otot.

Justeru itu, setiap orang perlu bijak mengawal perasaan setiap kali berhadapan dengan keadaan yang boleh menyebabkan stres. ‘‘Ia bukan sahaja berpunca daripada keadaan jalan raya, malah masalah kewangan, tempat kerja, keluarga dan sebagainya boleh menyumbang stres,” jelas Pakar Kardiologi Pusat Pakar Perubatan KPJ Tawakkal, Dr. Zul Hilmi Yaakob.

Rokok punca utama

Bercerita lanjut, Dr. Zul Hilmi memberitahu, serangan jantung bukanlah punca utama kemalangan di jalan raya. Secara kebetulan, banyak kes serangan jantung ketika memandu menyebabkan kematian dan kemalangan.

“85 peratus kemalangan jalan raya disebabkan alkohol, pemanduan individu itu sendiri dan menggunakan telefon atau khidmat pesanan ringkas (sms) ketika memandu. Namun, orang ramai perlu bersedia dan berhati-hati sekiranya serangan jantung berlaku sama ada ketika kesesakan lalu lintas atau jalan raya tenang kerana ia bukan sahaja membahayakan diri pemandu tetapi turut membahayakan penumpang lain,” ujarnya.
Kebiasaannya, seseorang yang mendapat serangan jantung tidak akan dibenarkan memandu selama empat minggu.

Berbeza pula kes mereka yang merokok ketika memandu terutamanya untuk bagi perjalanan jarak jauh.
“Keadaan ini banyak berlaku. Ramai pemandu merokok untuk hilangkan mengantuk ketika memandu balik kampung pada musim perayaan atau berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Tidak kurang pula yang merokok kerana stres apabila jalan raya mulai sesak.

‘‘Dalam diam, rokok sebenarnya meningkatkan kolestrol dan serangan jantung mengejut. Justeru itu, amalan ini sebenarnya perlu diubah kerana ia membahayakan pemandu dan penumpangnya,” katanya.

Panduan

Jika berasa sakit dada ketika memandu, Dr. Zul Hilmi menyarankan berhenti memandu dan segera meminta bantuan penumpang yang lain untuk membawa anda ke hospital. Sebaliknya, sekiranya anda memandu sendiri, segera berhenti daripada memandu kereta.

Di Malaysia, 15 hingga 20 peratus pesakit meninggal dunia selepas mendapat serangan jantung. Berbeza dengan negara maju, kematian hanya lima hingga sembilan peratus.

“Statistik ini disebabkan ramai pesakit lewat datang ke hospital, lewat didiagnosis dan lambat mendapatkan rawatan selepas mendapat serangan jantung secara tiba-tiba.

‘‘Justeru itu, orang ramai yang mendapat sakit dada ketika memandu tidak kira dalam apa jua keadaan lalu lintas, perlu bertindak segera iaitu berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menyentuh tentang pemandu kenderaan komersial seperti bas, Dr. Zul Hilmi menyaran agar individu yang ingin mendapatkan lesen tersebut perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Setakat ini katanya, belum ada undang-undang dikuatkuasa untuk memastikan pemandu bas perlu bebas daripada penyakit jantung.

Dalam pada itu, Pusat Pakar Perubatan KPJ Tawakkal yang terletak di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur mengadakan program khusus sempena Hari Jantung Sedunia 2011 yang berlangsung semalam. Antara aktiviti yang dilakukan adalah ceramah kesihatan berkaitan jantung dan pemeriksaan asas kesihatan secara percuma.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Saturday, October 01, 2011

Pengawalan Kolesterol

SOALAN:
Saya membuat pemeriksaan kolesterol lebih kurang dua bulan yang lalu dan bacaan kolesterol total saya adalah 6.35 mmol/L dan dikatakan berada pada tahap tinggi.
Sebolehnya, saya ingin mencuba vitamin atau suplemen terlebih dahulu sebelum memulakan pengambilan ubat. Apakah yang sesuai untuk memandangkan saya juga sedang mengambil glukosamin untuk osteoartritis pada lutut?

JAWAPAN:
Makanan seimbang yang disertai dengan aktiviti fizikal merupakan aspek yang harus diutamakan dalam usaha menangani kebanyakan penyakit masyarakat masa kini. Mungkin sesetengah dari kita sudah jemu mendengar cadangan ini, namun percayalah ia masih relevan dan terbukti berkesan hingga kini.

Kebanyakan daripada kita boleh melihat perubahan yang positif selepas sebulan berpuasa, terutamanya penurunan berat badan atau perut yang lebih kempis. Namun, ramai juga yang akan mengeluh apabila keadaan akan kembali kepada asal selepas sebulan hari raya. Begitu juga dengan masalah kesihatan lain seperti diabetes dan kolesterol.

Makan secara berlebihan dan tidak terkawal terutamanya dalam sebulan selepas hari raya dengan undangan rumah terbuka yang kebanyakannya menyajikan hidangan lazat yang sukar untuk ditolak. Makanan seperti kek, pelbagai biskut, kuih-muih yang seringkali menjadi hidangan wajib banyak mengandungi lemak trans akan meningkatkan pengambilan lemak yang tidak sihat. Tidak terkecuali hidangan lain seperti rendang ayam, daging, sate yang rata-ratanya mengandungi kolesterol dan lemak tepu yang sukar ditentukan kandungannya. Oleh yang demikian, hadkan pengambilannya dan makanlah secara sederhana.

Sementara mengawal pengambilan makanan adalah penting, mengambil suplemen untuk mengawal kolesterol mungkin berbaloi untuk dipertimbangkan. Red Yeast Rice yang mengandungi sejenis statin semula jadi hasil dari penapaian beras dan yis merah merupakan antara hasil penyelidikan yang bermanfaat dan seringkali disyorkan untuk pengawalan kolesterol.

Red yeast rice yang mengandungi monacolins merencatkan penghasilan kolesterol yang menyamai ubat statin dan dengan itu membantu mengurangkan paras kolesterol tubuh. Ia merupakan cara alternatif untuk menangani peningkatan paras kolesterol bagi mereka yang tidak mengambil ubat anti kolesterol.

Kita dinasihatkan agar menjauhi pengambilan lemak berbahaya, sebaliknya pengambilan lemak baik seperti asid lemak omega-3 akan memberi manfaat kesihatan. Asid lemak omega-3 tergolong dalam kumpulan asid lemak perlu yang tidak boleh dihasilkan tubuh, maka memperolehinya daripada makanan adalah perlu. Bagi masalah kolesterol, pengambilan asid lemak omega-3 seharusnya diambil sebagai suplemen harian kerana ia didapati memberi kesan tambahan dalam usaha mengawal peningkatan kolesterol. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengambilan kombinasi Red yeast rice dan asid lemak omega-3 dengan dos yang sesuai boleh bantu mengawal peningkatan kolesterol setara dengan pengambilan ubat anti kolesterol.

Asid lemak omega-3 daripada ikan atau suplemen minyak ikan boleh membantu mencegah masalah jantung di kalangan individu yang sihat dan juga bermanfaat kepada mereka yang sudah ada penyakit jantung. Asid Eikosapentaenoik (EPA) dan Asid Dokosaheksaenoik (DHA) yang terkandung dalam minyak ikan dari kumpulan omega-3 dibuktikan bermanfaat kepada jantung dengan menstabilkan plak pada arteri dan tekanan darah.

Amalan pengambilan minyak ikan juga diketahui mengurangkan risiko aterosklerosis; iaitu pembekuan arteri akibat pemendapan lemak, serangan jantung dan kegagalan jantung. Sumber omega-3 yang baik termasuklah salmon, sardin, trout, herring dan beberapa lagi. Bagaimanapun, ramai yang mempertimbangkan pengambilan suplemen minyak ikan untuk memperolehi jumlah yang mencukupi untuk perlindungan jantung yang optimum.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, September 29, 2011

Pembendungan Air Punca Obes?

Kalau waktu haid saya rasa badan seolah olah mengembang saja. Baju menjadi ketat dan kaki seakan akan membengkak. Bila saya timbang berat naik meski pun saya mengamalkan diet yang ketat.

‘‘Benarkah air boleh bertakung dalam badan kita? Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan masalah ini,’’ tanya Shima.

Pembendungan air di dalam badan merupakan masalah yang dipengaruhi oleh hormon kita. Maka tidak hairanlah kaum wanita lebih terdedah kepada gejala ini berbanding lelaki. Ini kerana wanita mempunyai hormon yang lebih banyak dan lebih sensitif kepada kandungan air. Ia juga mudah menyerang mereka yang mengalami obesiti. Ini kerana mereka yang obes sememangnya mempunyai kadar hormon tidak seimbang dan obesiti akan merosakkan hormon di dalam tubuh.

Dari manakah air ini muncul dan bagaimanakah terjadi begini?

Water retention atau pembendungan air di dalam badan merujuk kepada masalah pengumpulan cecair yang terlampau di dalam saluran darah dan di dalam tisu pada tubuh.

Sebanyak 90 peratus air dalam tubuh berada di dalam salur darah manakala 10 peratus lagi di dalam tisu tubuh. Air membentuk darah kita menjadi medium di mana oksigen dan zat makanan larut di dalamnya. Oksigen dan zat makanan kemudiannya dibawa ke seluruh tubuh dan diambil oleh kelenjar, tulang dan otot kita.

Air diregulasikan oleh hormon bernama prostaglandin yang kehadirannya banyak pengaruh kepada buah pinggang. Air diserap semula jika tubuh kekurangan air dan jika berlebihan pula air dibuang menjadi air kencing.

Hormon yang mempengaruhi kehadiran air dalam sel ialah progesteron, tiroid, kortisol dan insulin. Jika di perhatikan hormon ini juga banyak terlibat dan dikatakan penyebab masalah obesiti.

Di dalam tubuh mereka yang obes adakalanya mekanisme kawalan air menjadi rosak dan mereka mudah menjadi sembap.

Bengkak

Kelebihan progesterone biasanya menyebabkan air berkumpul pada sel sel perut dan buah dada. Payu dara terasa bengkak dan sakit. Selain itu air juga boleh berkumpul pada perut dan lama kelamaan perut membesar menjadi buncit seperti wanita hamil. Ini kerana hormon tersebut terlibat secara langsung dalam kehamilan.
Masalah kekurangan hormon tiroid menyebabkan pegangan air pada muka leher dan belakang tubuh. Sel-sel akan dipenuhi oleh cecair melekit yang menyerupai hyaluronik asid. Selain itu pengidap juga akan mudah keletihan dan cepat dilanda stres. Oleh kerana kekurangan tiroid boleh merosakkan fungsi jantung, maka biasanya pengidap akan berasa kurang senang dengan jantung yang berdebar-debar. Keadaan ini dinamakan myexedema.

Kelebihan kortisol juga menyebabkan air berkumpul di dalam sel menjadikan sel lemak terutamanya akan bengkak. Belakang leher akan membonjol dan ini dinamakan sebagai buffalo hump. Muka juga kelihatan bengkak dan bulat dan ini dinamakan moon face dalam bahasa perubatan. Kortisol seterusnya akan menurunkan paras insulin menjadikan seseorang mempunyai paras gula yang tinggi.

Insulin merupakan hormon yang paling banyak dikaitkan dengan obesiti. Kajian terkini menunjukkan adalah benar insulin yang tinggi membuatkan kita semakin gemuk kerana insulin menggalakkan pengumpulan lemak terutamanya pada perut dan merosakkan hormon yang lain secara tidak langsung mencetuskan pembendungan air.

Bagi mereka yang mempunyai masalah jantung pembendungan air dalam tubuh membuatkan kaki menjadi bengkak dan nafas menjadi semput sekiranya air mula berkumpul di paru paru. Keadaan ini memerlukan rawatan spesifik dan ubat-ubatan perlu sentiasa diambil.

Satu lagi organ tubuh yang memantau air di dalam tubuh ialah buah pinggang. Kerosakannya turut menjadikan air berkumpul terlalu banyak dalam tubuh. Keadaan ini berbahaya kerana kekotoran tidak dapat dikeluarkan dari darah menyebabkan sisa toksik berkumpul dalam badan.

Tekanan

Sebab lain menimbulkan masalah pembendungan air sebegini ialah apabila seseorang mengalami kekurangan protein darah yang serius. Kekurangan seperti ini menyebabkan tekanan osmosis kurang dan air mula bergerak ke sel-sel menghasilkan keadaan tubuh yang sembab. Kerosakan hati boleh menimbulkan keadaan sebegini kerana hati merupakan organ yang mensistesiskan protein kita. Kerosakan hati membuatkan protein darah menjadi kurang.

Satu sebab menarik yang membuatkan perut menjadi buncit ialah kehadiran histamine. Histamine merupakan bahan yang terhasil apabila berlakunya radang pada perut. Makanan yang tidak sesuai, kehadiran parasit mungkin mengundang penghasilan histamine. Apabila histamine keluar sel-sel menjadi kembang dan perut menjadi buncit.

Rawatan yang terbaik adalah dengan mengenal pasti punca berlakunya pembendungan air dalam tubuh anda dan merawat punca tersebut.

Bersenam, mengamalkan diet yang betul dan meningkatkan meningkatkan metabolik akan membantu mengatasi masalah ini dan menjurus ke arah kehidupan yang lebih sihat dan gembira.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, September 27, 2011

Sakit Perut Bukan Remeh

Pada satu hari selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, penulis yang kebetulan berada di sebuah penempatan Felda dekat Triang diminta menemani dua anak saudara untuk mendapatkan rawatan di klinik kerana masalah sakit perut.

Sampai sahaja di sebuah klinik swasta di pekan Triang, kelihatan ramai sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, yang kebanyakannya mengadu sakit perut. Apa yang boleh menyebabkan sakit perut? Itulah pertanyaan penulis kepada doktor di klinik berkenaan yang mahu dikenali sebagai Dr. Vijay.

“Ada beberapa sebab. Kalau perut anda sakit, mungkin disebabkan oleh apa yang anda makan atau minum.
“Mungkin kerana keracunan makanan atau anda telah makan dan minum terlampau banyak. Makan dan minum terlampau banyak boleh menyebabkan anda mengalami sakit perut,” kata beliau.

Kata Vijay, pada musim perayaan sebegini, ramai orang datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan sakit perut.

Cirit-birit

“Mengambil makanan jenis berminyak, pedas atau berlemak kadangkala boleh menyebabkan sakit perut atau tidak hadam.

“Ini biasanya masalah kecil yang akan hilang dengan sendiri. Tetapi ia juga mungkin tanda bagi gejala kesihatan yang lain seperti refluks gastroesophagus (pedih ulu hati), intoleran laktosa, ulser, sindrom iritasi usus, jangkitan di usus dan kanser,” terang Vijay.

Ada yang berpandangan ia satu masalah yang remeh bila melibatkan orang dewasa tetapi bagi bayi serta anak kecil, sakit perut boleh menjadi satu masalah yang serius, kata beliau.

“Jadi usah teragak-agak untuk dapatkan perhatian dan bantuan perubatan,” kata Vijay lagi.

Setelah pulang ke ibu kota beberapa hari selepas hari raya, penulis bertemu pegawai perubatan kanan di sebuah pusat perubatan awam bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai sakit perut.
Menurut Dr. Robert Lim, sakit perut sedemikian dikenali juga sebagai gastroenteriritis.

Ia boleh disebabkan jangkitan pada usus, disebabkan virus, bakteria atau kuman yang lain.

“Anda mungkin kena episod yang kecil dengan cirit-birit. Kalau ia lebih serius ia boleh disertai dengan demam, muntah dan sakit perut yang boleh berlanjutan sehingga beberapa hari.

“Anda mungkin terkena jangkitan bakteria seperti E.coli atau campylobacter kerana mengambil makanan dan minuman yang dah tercemar. Adalah penting bagi mereka yang terkena jangkitan ini agar minum air dengan banyak atau mengambil cecair rehidrasi sebagai mengganti cecair badan yang banyak hilang kerana muntah dan cirit-birit,” kata beliau.

Menurut Lim, gastroenteritis adalah jangkitan di usus dan ini menyebabkan berlakunya cirit-birit atau diarhea.
“Ada juga muntah-muntah, sakit di bahagian perut tetapi dalam kebanyakan kes masalah akan hilang dalam masa beberapa hari. Ada juga kes yang berlanjutan dan mengambil masa untuk baik,” kata Lim.

Ujar Lim, risiko utama dalam kes gastroenteritis adalah dehidrasi di mana pesakit telah kehilangan cecair badan dengan banyak.

“Rawatan utama agar minum banyak air dan cuba hindari dehidrasi.

“Anda perlu berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan jika rasa mengalami dehidrasi atau wujudnya simptom yang merunsingkan,” kata Lim.

Katanya, simptom dehidrasi kepada orang dewasa adalah keletihan, pening, sakit kepala, kejang otot, mata yang tenggelam, mengeluarkan kencing yang sedikit, mulut dan lidah rasa kering, lemah badan serta mudah menjadi resah.

“Dehidrasi boleh jadi serius. Bila seseorang itu mengalami dehidrasi yang teruk, beliau akan mengalami lemah seluruh badan, hilang punca, degup jantung yang cepat dan selanjutnya koma.

Kunyah

“Dehidrasi yang teruk adalah kes kecemasan perubatan dan perlu rawatan dengan segera,” katanya.
Menurut Lim, selain daripada makan benda-benda yang berminyak, pedas dan berlemak, gastroenteritis boleh disebabkan oleh stres emosi atau masalah dalam sistem penghadaman seperti penyakit refluks gastroesophagus (GERD), batu dalam hempedu, keradangan pankreas, ulser atau kanser usus. "Kadangkala, tiada sebab yang boleh diperoleh,” kata beliau.

Lim juga menasihati perubahan gaya hidup dalam menangani masalah sakit perut yang kerap.
“Ambil makanan secara sedikit dan kunyah makanan

dengan baik. Hindari tabiat merokok, ambil alkohol dan kafein serta minuman yang bergas,” katanya.
Beliau juga menasihati agar mendapatkan rehat yang secukupnya selain mengurangkan tekanan dalam hidup.
Bagaimana dengan merawat sendiri?

“Walaupun ada kes sakit perut atau gastroenteritis boleh dirawat di rumah, anda perlu jumpa doktor jika berlaku kekerapan muntah, muntah darah atau ada darah dalam najis serta kesukaran dalam menelan makanan.

“Anda perlu dapatkan rawatan jika ada kesakitan antara bahagian dada dan pusat. Jumpalah doktor jika sakitnya berlanjutan selama beberapa hari,” tambah beliau.

Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/