Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, October 07, 2011

Mengapa Kemaruk Makan?

"Saya memang kuat makanlah doktor, saya sukar menghilangkan tabiat kuat makan ini. Saya pasti inilah sebabkan maka saya gagal untuk kurus. ‘‘Entah mengapa apabila saya melihat makanan manis seperti kek, kuih dan pasteri hati saya tidak dapat tahan, saya pasti mencubanya,’’ kata Puan Rozi.

Wanita itu menyambung keluhannya bahawa dia sudah puas mengekang nafsu makan namun apabila terjumpa saja makanan kegemaran maka dia akan tewas. Pada musim durian yang lalu, setiap hari dia membeli durian padahal dia tahu durian tinggi gula dan karbohidrat.

‘‘Namun selera saya bagaikan tidak dapat ditahan-tahan. Saya tidak kisah tak makan nasi seminggu namun kalau tak dapat makan roti, kek dan kuih hati saya rasa meronta-ronta,’’ katanya.

Perasaan ingin makan yang memuncak merupakan satu fenomena yang hadir dalam tubuh manusia. Oleh itu ia menjadi satu masalah kepada mereka yang mahu menurunkan berat badan. Dalam bahasa Inggeris ia disebut food cravings. Dalam bahasa Melayu pula dipanggil kemaruk makan manakala bahasa perubatan mengenalinya sebagai pica. Bagi ibu yang hamil fenomena bahasa yang sering dipakai adalah mengidam. Mengidam, pica, kemaruk atau cravings merupakan keinginan naluri yang kuat sehinggakan dalam sejarah Melayu turut menerangkan bahawa ibu yang hamil keinginan makannya harus dipenuhi. Ia dikaitkan pula dengan keinginan bayi dalam kandungan seperti di dalam legenda Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Mengapa fenomena ini terjadi?

Menurut kajian sains hal ini disebabkan oleh keperluan nutrisi tubuh yang tidak mencukupi. Sekiranya kurang zat besi, seseorang itu inginkan makanan yang kaya dengan zat besi. Sekiranya kurang kalsium seseorang itu inginkan makanan yang kaya dengan kalsium pula. Dengan kata lain makanan yang memenuhi keperluan tubuh seseorang itu akan terasa lebih enak ditekaknya.

Namun adakah seseorang yang obes yang amat menyukai makanan manis berkarbohidrat tinggi bermakna tubuhnya tidak cukup karbohidrat? Mengapakah seseorang yang obes mengadu sering pening dan mempunyai paras gula rendah meski pun dia makan banyak karbohidrat .

Apakah yang terjadi sebenarnya?

Pakar anti penuaan mengkaji fenomena ini dan mengakui ia disebabkan kegagalan fungsi hormon atau kerosakan signal hormon tubuh.

Terdapat dua jenis hormon yang mengawal paras gula dalam darah iaitu hormon insulin dan glucagon. Kedua-dua hormon ini saling berinteraksi antara sama satu lain untuk memastikan paras gula stabil. Hormon insulin akan keluar dengan banyak apabila paras gula tinggi selepas makan. Kegunaan hormon ini bertujuan membolehkan gula digunakan oleh sel-sel dalam badan kita sebagai tenaga.

Insulin bolehlah dianggap sebagai pintu masuk gula ke dalam sel. Tanpa insulin gula hanya kekal di dalam darah dan tidak dapat masuk ke dalam sel. Gula yang ada di dalam darah tiada gunanya. Ia langsung tidak dapat digunakan oleh sel-sel bagi diproses kepada tenaga. Seseorang itu akan mengidap diabetes atau kencing manis apabila hal ini berlaku.

Hormon insulin yang keluar dikenal pasti oleh sel tubuh dan sel-sel ini akan membuka pintunya bagi membolehkan glukosa diambil ke dalam sel. Apabila hormon insulin rosak, sel menjadi tidak sensitif kepadanya. Dengan kata lain sel-sel kita tidak akan membuka pintunya. Hal ini akan menyebabkan lebih banyak insulin keluar dan akhirnya mencetuskan fenomena gula terlalu rendah di dalam darah. Apabila gula sering naik dan turun secara mendadak, seseorang akan berasa tidak selesa dan sering sakit kepala. Badan pula akan berasa letih dan lesu manakala keinginan untuk makan makanan manis akan memuncak. Inilah penyebab utama kemaruk makan.

Fenomena ini harus ditangani segera untuk mengelakkan kerosakan sistem insulin yang boleh membawa kepada kencing manis dan obesiti tegar.

Untuk mengatasi masalah ini disarankan seseorang minum air yang banyak selepas mengambil makanan manis. Air kosong akan melarutkan kepekatan gula dan mendorong kepada kurangnya rembesan insulin.

Pengambilan protein berkualiti boleh mengurangkan masalah ini. Protein yang berkualiti meningkatkan paras glukargon dalam darah dan membolehkan glukargon menukarkan lemak kepada gula semula yang kemudiannya digunakan sebagai tenaga. Proses ini membolehkan seseorang langsing.

Di zaman serba mewah ini masalah kerosakan insulin semakin menjadi-jadi sehinggakan dikhuatiri kadar obesiti akan terus meningkat di kalangan kanak kanak dan juga dewasa. Langkah yang wajar ialah membaiki faktor pemakanan secara perlahan-lahan.

Kempen gaya hidup sihat, pemeriksaan paras darah dan insulin perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran kepada kita. Pembacaan mengenai hormon dan tanda kerosakan hormon perlu pasti bagi menangani obesiti yang resistant.

Penulis boleh dihubungi di 03-87234808 dan 0132448484.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment