Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, January 13, 2012

Lelaki Tua Walau Subur

Laporan yang disiarkan baru-baru ini menyatakan sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun atau 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau tidak berkahwin dengan 60.4 peratus daripadanya adalah lelaki.
Purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000 manakala bagi wanita meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun.

Dalam pada itu, sebanyak 44.7 peratus lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan. Kos perkahwinan yang meningkat mendadak antara sebab lelaki menangguhkan perkahwinan sehingga usia meningkat tahun demi tahun.
Akhirnya apabila usia meningkat, mereka tidak menganggap lagi perkahwinan sebagai sesuatu yang penting. Lebih mudah lagi mereka menganggap sudah tiada jodoh.

Jika ada jodoh pun dalam usia tua, lelaki tidak mempunyai masalah daripada segi kesuburan kerana kalau mereka berkahwin, tahap kesuburan mereka tetap sama. Isteri mereka masih boleh melahirkan zuriat.

Berbeza dengan wanita yang semakin meningkat usia, kesuburan mereka semakin berkurangan dan jika telah menopaus pada usia 40-an ke atas, mereka sudah tidak boleh hamil.

Pendaftar Perbidanan dan Ginekologi Hospital Pusrawi, Dr. Mohd Daud Yahya berkata, jika seseorang lelaki itu sihat dan tidak menghidapi sebarang penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS atau seorang penagih dadah, kesuburannya tidak terjejas langsung.

Jika dia berkahwin dan pasangannya juga subur, peluang untuk mendapat anak adalah besar.

Katanya, di Afrika, terdapat seorang lelaki yang telah berumur 92 tahun masih produktif dan isterinya masih boleh melahirkan anak.

''Lelaki subur sepanjang masa dan umur. Umur tidak menjejaskan kesuburan mereka kecuali jika mereka penagih dadah atau menghidap penyakit kronik seperti HIV/AIDS.

''Jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat, mereka tidak perlu risau tidak akan mempunyai anak walaupun lewat berkahwin,'' kata Dr. Daud yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau menambah, lelaki yang sihat mempunyai sebanyak 100 hingga 200 juta per ml sperma.

Hanya satu yang sihat diperlukan untuk bersatu dengan telur isteri bagi terhasil benih.

Jelas beliau lagi, tidak dinafikan terdapat lelaki yang tidak mempunyai benih atau mempunyai benih tetapi tidak boleh keluar.

Kemungkinan kerana masalah jangkitan kuman atau tempat kerja yang panas seperti bakeri dan boleh menyebabkan sperma berkurangan.

''Masalah ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan moden atau herba. Tempoh rawatan biasanya mengambil masa selama tiga bulan dan Insya-Allah akan sembuh.

"Begitu juga dengan lelaki lembut yang pada pendapat kita dia tidak boleh mempunyai anak kalau berkahwin. Lelaki lembut juga mempunyai sperma dan boleh memiliki anak jika berkahwin,'' kata Dr. Daud lagi.

Ditanya mengenai ramai lelaki sekarang yang tidak mahu berkahwin dan lebih suka hidup membujang, Dr. Daud berpendapat, salah satu sebabnya ialah lelaki berasa mereka mudah mendapat teman wanita dan boleh bertukar-tukar teman wanita.

Justeru mereka menganggap perkahwinan tidak penting kerana walaupun tidak berkahwin, mereka tetap mempunyai teman wanita dan tidak perlu memberikan komitmen.

''Pendidikan agama adalah penting. Kebanyakan generasi muda sekarang mengenepikan agama. Jika kita berbalik kepada agama, sudah tentu masalah lelaki yang tidak mahu berkahwin ini boleh dikurangkan.

"Atau jika sukar hendak mencari wanita yang sesuai, serahkan kepada ibu atau keluarga untuk mencari,'' jelas beliau.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. terjumpa info ni, pasal lelaki tidak subur… sharing is caring :) - Lelaki Punca Tidak Subur

    ReplyDelete