Pengalaman melawat Wad Psikiatri, Hospital Tunku Ampuan Rahimah  (HTAR), Klang, Selangor lima tahun lalu masih segar dalam ingatan.
Suasana keliling begitu menyentuh perasaan. Penulis hanya dapat  melihat wajah-wajah sayu yang bagaikan kehilangan sesuatu. Mereka ialah  pesakit yang sedang menjalani rawatan psikiatri.
Melihat keadaan keliling, kesedihan dalam hati makin terasa terutama  kala memikirkan bahawa mereka ini tidak minta dijadikan begini. Seperti  orang lain mereka juga berhak menikmati kehidupan sempurna sama seperti  insan lain.
Ketika orang lain dapat hidup sempurna dan selesa, mereka tersisih  daripada keluarga dan terpaksa tinggal di wad ini untuk diberi perhatian  dan pemulihan.
Pada masa itu, ramai yang tidak menyedari wujudnya masalah kesihatan mental dan bilangan pesakit mental tidak ramai.
Apa pun sebagai manusia, penulis yakin dan pasti kebanyakan pesakit  di situ memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat untuk kembali pulih.
Seorang doktor  memberitahu,  hanya kira-kira satu perlima orang  boleh mendapat gangguan mental tetapi orang lain boleh membantu dalam  pelbagai aspek.
Menjaga kesihatan mental dan mengelakkan gangguan mental menjadi urusan kita semua.
Selain itu, ia dapat membina keluarga bahagia di samping menjaga kepentingan masyarakat sejagat.
Mungkin ada pihak yang tidak mengetahui bahawa terdapat rawatan dalam  komuniti di mana rawatan susulan diberi di rumah pesakit bagi penyakit  mental yang berpanjangan dan serius seperti yang dilakukan oleh pihak  hospital ini.
Banyak rahsia yang kita tidak tahu  di sebalik isu kesihatan mental ini.
Sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) menjalankan pelbagai kempen untuk memastikan masyarakat  mengambil berat tentang isu ini.
Baru-baru ini, KKM memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah  menengah untuk menangani masalah stres yang semakin meningkat dengan  sebanyak 400,227 pesakit mental menjalani rawatan di hospital kerajaan  sepanjang tahun lalu.
Modul ini antaranya bertujuan memberi pendedahan kepada guru untuk  mengenal pasti pelajar yang berdepan stres dan kemurungan, ini  memastikan pelajar berkenaan menerima rawatan dan bimbingan seawal  mungkin.
Menurut  Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM)  dan pakar motivasi, Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, masalah  penyakit mental semakin serius dan ia boleh melanda sesiapa saja.
Dalam pada itu, beliau berpendapat, langkah KKM itu sebagai tindakan  yang tepat memandangkan peningkatan kes penyakit mental di kalangan  remaja seperti stres kian meningkat.
“Salah satu punca mengapa golongan ini  mengalami masalah mental  seperti stres ialah tiada sokongan sosial seperti rakan dan ibu  bapa.  Ramai ibu bapa suka  menyalahkan anak mereka jika berlaku sesuatu dan  ini menyebabkan anak mereka tidak berani berkongsi masalah.
“Kedua, kita lihat punca stres banyak berlaku disebabkan kawasan  persekitaran. Misalnya, rakan-rakan tidak mahu mendengar masalahnya.  Statistik cubaan bunuh diri juga semakin meningkat. Dengan pendedahan  awal cara mengatasi masalah mental di sekolah, pelajar dapat mengetahui  cara menyalurkan masalah mereka dengan betul,” ujarnya.
Peranan kaunselor
Tambah Dr. Mohammad Shatar, pelajar perlu mencari orang yang boleh  mendengar masalah mereka. Ramai yang tidak tahu, hanya dengan mendengar  masalah orang lain, kita dapat membantu mereka menyelesaikan masalah  sebanyak 95 peratus.
Namun, kesedaran kesihatan mental perlu diperluas kepada ibu bapa.
“Senario remaja sekarang tidak sama dengan era 30 tahun dahulu.  Seperti pesanan Rasulullah, ibu bapa perlu menjadikan anak-anak mereka  yang berusia belasan tahun sebagai kawan. Selain itu, pelajar dan  masyarakat perlu sedar wujudnya institusi kaunseling yang boleh membantu  mereka mendengar masalah. Bagi pelajar, luahkan masalah kepada  kaunselor adalah penyelesaian terbaik apabila berhadapan dengan stres.  Selain itu, pelajar perlu memilih rakan-rakan yang sentiasa memberi  sokongan moral,” katanya.
Mengulas keperluan kempen anti stigma supaya tidak berlaku  diskriminasi ke atas pesakit mental, Dr. Mohammad Shatar memberitahu,  masyarakat perlu memberi sokongan kepada pesakit khususnya golongan  remaja.
Baginya, zaman sekarang moden dan semua bergerak pantas serta singkat yang menjadi faktor utama berlakunya stres.
Justeru itu, kerjasama, sokongan moral dan tidak mudah menghukum  perlu dipupuk dalam masyarakat khususnya kepada orang sekeliling yang  mungkin berhadapan dengan masalah mental.
Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment