Selepas disahkan menghidap penyakit saraf multiple sclerosis (MS) tujuh tahun lalu, kehidupan Asiah Abdul Wahab, 29, mula berubah.
Ketika berumur 18 tahun, dia mula mendapat tanda awal tentang MS. Dia merasakan perubahan mata sebelah kiri yang tiba-tiba kabur. Namun seminggu selepas itu simptom tersebut hilang. Namun, Asiah tidak menghiraukan keadaan matanya kerana ingin menumpukan pada kerjayanya.
Lima tahun kemudian, mata sebelah kanannya mula kabur.
Pada awalnya, Asiah mendapatkan rawatan tradisional tetapi kesihatan matanya tidak mengalami perubahan.
Dengan perasaan penuh debar, dia pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Ketika disahkan MS, Asiah tidak menyangka pada usia muda dia diserang penyakit saraf. Lebih membimbangkan, dia baru sahaja mendirikan rumah tangga dan mengandung. Walaupun telah dinasihatkan doktor supaya tidak mengandung, Asiah tidak dapat menolak takdir tersebut.
Berkat kesabaran, Asiah selamat melahirkan anaknya.
Sesuatu yang tidak dapat dilupakan ketika pantang apabila sebelah badannya seperti ditarik.
Situasi dirinya ketika itu amat rumit kerana dia tidak boleh berasa sejuk atau panas. Jika dia sudah duduk, dia tidak boleh bergerak.
Kemudian, Asiah mendapatkan rawatan tradisional tetapi keadaan kesihatannya semakin teruk.
Asiah yang menjadi tunjang ekonomi keluarganya terpaksa berhenti kerja.
Dalam keadaan yang terdesak, keluarganya tiada pilihan selain menghantar Asiah mendapatkan rawatan di hospital. Berasa sedikit pulih, Asiah mengandung lagi buat kali kedua. Keadaannya semakin teruk apabila melahirkan anak kedua kerana banyak aktiviti hariannya tidak dapat dilakukan seperti dulu. Tanpa pekerjaan, dia terpaksa menanggung dua anak dan suami yang masih menganggur. Asiah seolah-olah kehilangan kehidupan sosial.
Lebih malang lagi, keluarga dan suami tidak memahami keadaannya. Selepas beberapa tahun menanggung penderitaan MS, beliau akhirnya diceraikan oleh suami. Apa yang membuatkan Asiah sedih, dia tidak dibenarkan berjumpa dengan anak-anaknya. Berdepan dengan keperitan dan cabaran hidup, Asiah pasrah kerana hidup perlu diteruskan. Kini, dia menetap bersama keluarga di kediaman ibu dan kakaknya yang terletak di Bangi, Selangor.
Dengan menggunakan tongkat, Asiah berulang-alik ke HKL menggunakan komputer tanpa bantuan sesiapa. Akur dengan kekurangan yang ada, Asiah meneruskan rawatan MS sejak tahun lalu. Selain rawatan daripada aspek ubat-ubatan, Asiah turut mendapat khidmat nasihat dan motivasi yang membaik pulih kesihatan emosinya. Dengan sokongan rakan senasib sepertinya, dia lebih yakin dan kuat.
Selain itu, Asiah aktif dalam persatuan MS dan membantu pesakit lain dengan berkongsi pengalamannya.
"Saya harap orang ramai mendapat kesedaran MS pada peringkat awal. Jika penyakit ini dapat dikesan awal, masalah yang lebih serius dapat dikawal," ujarnya.
Dalam pada itu, ahli neurologi HKL, Dr. Shanti Viswanathan berkata, MS sebenar penyakit yang sukar dipastikan puncanya secara tepat.
Virus
"Satu ketika dulu, MS dianggap penyakit dunia Barat kerana dialami oleh mereka yang berasal dari utara Eropah, selatan Australia dan utara Amerika. Tidak ada penjelasan khusus tentang itu mungkin ia berkaitan dengan bakteria atau virus yang menyebabkan kemusnahan saraf pada manusia. Walaupun pelbagai virus boleh menyebabkan MS, tidak ada bukti kukuh berkaitan satu virus dengan MS," katanya.
Simptom MS bertindih dengan penyakit lain adalah senario yang selalu terjadi. Pesakit yang mengalami simptom MS akan merujuk kepada doktor biasa di klinik-klinik. Kefahaman tentang MS yang kurang menyebabkan wujud kemungkinan doktor biasa mengaitkan simptom ini dengan tekanan kehidupan semasa atau sakit-sakit 'mudah' yang lain.
"Tetapi umumnya, jika seseorang doktor mengesan kelainan pada pesakit mungkin simptom yang berulang, dia akan tahu secara automatik untuk merujuk keadaan itu pada pakar neurologi. Begitupun, penting untuk setiap pesakit atau mereka yang berasa berhadapan dengan MS mengetahui dan faham tentang MS bagi mendapat pengesahan diagnosis awal.
''Selain peluang penyembuhan yang terbuka luas melalui ubat-ubatan dan terapi pesakit juga harus tahu kos untuk diagnosis MS sangat mahal kerana ia dibuat dengan teliti dan banyak pemeriksaan neurologi termasuk imbasan MRI (magnetic resonance imaging)," jelasnya.
Justeru itu, Bayer Schering Pharma (BSP) menyediakan bantuan kepada pesakit-pesakit MS yang ingin menjalani rawatan. Pengarah Perubatan BSP, Dr. Shunitra Devi yakin bantuan ini dapat membantu pesakit MS yang layak untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan berdikari. Pesakit-pesakit MS boleh memohon bantuan ini menerusi jabatan kebajikan hospital-hospital kerajaan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MS, orang ramai boleh melayari www.ms-gateway.com.
Ditulis oleh:Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/
slm.cmane nk tlbt dgan pstuan ms?mhon pcerahan. sy pghdap ms,sy 25 tahun.sy plukan kata semangat dari org lain.
ReplyDeleteEmail saya di mirosiko@gmail.com untuk maklumat berkenaan persatuan ms
ReplyDelete