Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, April 28, 2010

Sindrom Gangguan Usus

Sindrom gangguan usus (IBS) adalah masalah yang melibatkan usus besar. Ia boleh mengganggu fungsi normal kolon (usus besar). IBS tidak merbahaya tetapi ia boleh menjejaskan gaya dan kualiti hidup anda. Anda mungkin akan rasa tidak selesa dan tertekan. Sesetengah pesakit yang mengalami IBS tidak boleh bekerja, menghadiri majlis sosial, atau melakukan perjalanan walaupun tempat yang dituju berdekatan.

IBS adalah masalah utama di negara Barat. Malah IBS adalah salah satu daripada masalah yang paling kerap didiagnos oleh pakar gastroenterologi. Masalah tersebut semakin menular di rantau Asia Pasifik dan menyebabkan semakin ramai orang menghidapnya. Secara umumnya, wanita dan golongan muda berisiko dua kali ganda menghidap IBS berbanding kaum lelaki. Wanita muda cenderung untuk mendapat IBS semasa kedatangan haid dan apabila mereka berada dalam keadaan tertekan.

Penyebab IBS

Penyebab utama IBS masih tidak diketahui. Umumnya pesakit IBS selalunya mempunyai kolon yang sensitif terhadap makanan tertentu. Ketidakseimbangan pergerakan usus iaitu pergerakan usus yang terlalu cepat mungkin menyebabkan cirit-birit dan pergerakan usus yang terlalu perlahan pula boleh menyebabkan sembelit. Penyebab lain IBS adalah masalah gangguan stimulasi pada sistem saraf otak ke perut. Aktiviti pergerakan usus kecil yang tidak normal juga memainkan peranan atau penyebab IBS. Pesakit yang pernah mendapat jangkitan usus cenderung mendapat IBS. Kajian menunjukkan pesakit IBS mempunyai usus yang lebih sensitif berbanding mereka yang tidak menghidap IBS.

Faktor persekitaran dan genetik saling mempengaruhi. Besar kemungkinan mereka yang mempunyai masalah IBS mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit ini.

Faktor gaya hidup seperti pengambilan terlalu banyak makanan berlemak dan kurang bersenam mungkin juga menyumbang kepada masalah IBS. Pengambilan diet berserat tinggi disarankan untuk menghindari IBS.

Merawat IBS

IBS mungkin sukar untuk dirawat. Tetapi ia boleh dikawal biarpun tidak boleh disembuhkan sepenuhnya. Rawatan IBS bergantung kepada jenis gejala yang dialami penghidap dan sejauh mana ia menjejaskan hidup anda setiap hari. Tiada ubat tertentu untuk merawat IBS. Rawatannya bertujuan mengurangkan kekerapan dan keseriusan gejala IBS. Ubat anti-spasma (ubat untuk meredakan kekejangan pada otot usus dan dinding abdomen), anti-keresahan trisiklik, ubat untuk merawat fungsi kolon, julap atau laksatif (untuk merawat sembelit) dan ubat anti cirit-birit adalah asas rawatan untuk IBS. Pengambilan lebih banyak serat atau makanan kesihatan tambahan mungkin boleh membantu sesetengah pesakit yang mengalami sembelit, namun ia akan menyebabkan kembung kepada sesetengah pesakit yang lain. Probiotik adalah juga didapati berkesan membantu mengurangkan gejala IBS.

Untuk peringatan, tiada satu jenis rawatan yang sangat berkesan untuk semua orang. Anda perlu bekerjasama dengan doktor anda untuk menentukan rawatan yang terbaik. Anda juga mungkin perlu menukar gaya hidup, khususnya berkenan pemakanan sihat dan amalan senaman.

Hidup Dengan IBS

IBS menjejaskan kualiti hidup anda jika anda tidak mengambil langkah-langkah mencegah atau merawat gejalanya.

Langkah mengurangkan risiko IBS:-

# Amalkan gaya hidup sihat. Selalu bersenam, tidur secukupnya dan berhenti merokok.

# Amalkan tabiat makan yang sihat - Pastikan anda mengamalkan keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian dalam pemakanan

Anda juga dinasihatkan mengelak:-

# Makan terlalu banyak

# Makanan tertentu yang mungkin sensitif kepada anda

# Rasa tertekan - Tekanan boleh merangsang pengecutan otot menyebabkan otot usus dan abdomen mengejang. IBS bukan penyakit yang boleh diambil mudah atau remeh. Ia menjejaskan kualiti hidup pesakit.

Ditulis oleh: Dr Tan Huck Joo
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

2 comments:

  1. Dr.
    Perut saya selalu meragam biasanya selepas makan,ianya amat sensitif jadi saya terpaksa memilih setiap makanan.jikalau tersilap makan dalam masa lebih kurang 10-20 minit saja saya terpaksa ke tandas.pada sebelah pagi bila bangun Dari Tidur saya Akan ke tandas untuk Buang air besar lepas tu saya makan sarapan pagi. Kebiasaannya saya hanya makan biskut Dan minuman milo sahaja.dalam masa lebih kurang 1jam saya terpaksa ke tandas untuk Buang air besar lagi.kadang-kadang saya terpaksa Buang air besar sampai 3 Kali pada sebelah pagi. Adakah ianya normal??

    ReplyDelete
  2. Assalam cik ... boleh kurangkan gangguan usus dengan pengambilan aloevera @ lidah buaya .. aloevera mempunyai elemen sejuk dan menenangkan radang dalam perut dan usus. Cik patut cuba .. Alhamdulillah sgt mmbantu :) boleh contc zaty 0196079101 tq

    ReplyDelete