Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, October 05, 2009

Jagalah Tulang Anda

Fikirkan tentang tulang anda hari ini dan elakkan osteoporosis! Anda patut memikirkan tentang tulang anda hari ini kerana anda perlukan tulang yang sihat dan kuat untuk melakukan aktiviti kegemaran anda setiap hari.

Sekarang, cuba bayangkan jika tulang anda retak atau patah. Anda tidak akan dapat melakukan aktiviti kegemaran anda, bukan? Bayangkan jika ia berlaku apabila anda berusia 60-an atau 70-an. Sanggupkah anda menghadapi kesakitan dan kesengsaraan pada usia itu?

Ramai yang tidak ambil peduli tentang tulang mereka sehinggalah ia patah atau setelah dimaklumkan bahawa mereka menghidapi osteoporosis. Namun apabila ini berlaku, pastinya sudah terlambat untuk menyesal. Oleh itu, jagalah tulang anda sekarang untuk mengelakkan masalah seperti osteoporosis di kemudian hari.

"Osteoporosis adalah penyakit di mana seseorang kehilangan jisim tulang yang meningkatkan risiko keretakan, biasanya di pinggul, tulang belakang atau lengan atas," jelas Dr. Lee Joon Kiong, Presiden Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL).

"Pencegahan osteoporosis harus bermula dari zaman kanak-kanak lagi. Inilah matlamat OASKL, menggalakkan kesihatan tulang bagi semua peringkat umur melalui program Tulang Sihat Sepanjang Hayat (HBFL) kami yang akan berlangsung serentak dengan Karnival Hari Osteoporosis Sedunia Malaysia yang pertama dari 23 hingga 25 Oktober 2009."

Tulang Yang Mengagumkan

Jadi fikirlah dan ambil berat tentang tulang anda sekarang. Tetapi sebelum itu, anda perlu mengetahui dan memahami tentang tulang anda. Kita dilahirkan dengan lebih kurang 300 tulang yang kebanyakannya terdiri daripada tulang rawan. Semakin kita membesar, tulang-tulang rawan ini turut membesar dan digantikan dengan tulang keras yang bersambung untuk membentuk 206 tulang yang dimiliki orang dewasa.

Tulang adalah struktur yang amat penting untuk badan kita. Ia membolehkan kita bergerak dan menyediakan sokongan struktur untuk badan kita. Tanpa tulang, badan kita hanya akan tinggal kulit dan organ dalaman sahaja.

Tulang kita juga menyediakan perlindungan untuk organ dalaman di samping menjadi tempat untuk penghasilan sel darah serta penyimpanan mineral seperti kalsium dan protein.

Walaupun kelihatan padat dari luar, bahagian dalaman tulang kita sebenarnya terdiri daripada struktur seperti sarang lebah. Malah, jika anda belah tulang anda, anda akan dapat melihat bahagian dalamannya yang berongga dan dilindungi lapisan luar yang keras.

Lapisan luar tulang digelar tulang kortikal yang terdiri daripada tisu tulang yang padat manakala struktur dalaman tulang digelar tulang trabekular iaitu jaringan sel yang berongga. Namun begitu, tulang trabekular sangat kuat dan mampu menahan tekanan yang disebabkan oleh aktiviti berat yang kita lakukan.

Tulang diperbuat daripada komponen organik yang dipanggil kolagen, dengan protein di dalam dan di sekitar fiber kolagen, beserta komponen bukan organik dalam bentuk kristal di mana mineral seperti kalsium dan fosfat disimpan. Kombinasi kolagen dan kristal inilah yang menjadikan tulang kita kuat.

Walaupun begitu, kekuatan tulang boleh terjejas dengan peningkatan umur. Ini boleh dielakkan dengan mencapai jisim tulang yang paling dekat dengan jisim maksimum tulang kita. Jisim tulang maksimum biasanya dicapai sebelum usia 30 tahun. Jadi, jika anda dalam usia 20-an, anda patut mula membina tulang anda sekarang. Pastikan anda mencapai jumlah pengambilan kalsium yang dicadangkan dan lakukan senaman menahan berat untuk memaksimakan jisim tulang anda!

Patah Akibat Osteoporosis

Dianggarkan satu daripada empat wanita dan satu daripada lapan lelaki berumur lebih daripada 50 tahun menghidapi osteoporosis. Lebih teruk lagi, satu daripada tiga wanita dan satu daripada lima lelaki berumur lebih daripada 50 tahun akan mengalami keretakan yang berpunca daripada osteoporosis dalam hayat mereka. Di Malaysia sahaja, lebih daripada satu juta penduduk dianggarkan terdedah kepada risiko osteoporosis.

Wanita harus lebih berwaspada terhadap penyakit yang menyerang dalam diam ini. Hormon estrogen boleh melindungi tulang daripada keretakan tetapi penghasilan hormon ini akan berkurangan selepas wanita mengalami menopaus. Kesannya, tulang wanita akan kehilangan jisim dengan lebih pantas dan mengakibatkan risiko osteoporosis mereka berlipat ganda.

Tidak seperti penyakit lain, osteoporosis hanya boleh dikesan sehingga berlakunya keretakan atau patah tulang. 10 hingga 20 peratus daripada mereka yang berumur dan mengalami keretakan pinggul meninggal dunia dalam masa setahun manakala dua pertiga yang terselamat terpaksa menghabiskan hayat mereka sebagai orang kurang upaya.

Keretakan yang berpunca daripada osteoporosis, terutama keretakan pinggul mempunyai kadar morbiditi dan kematian yang tinggi. Keupayaan untuk pulih daripada keretakan bagi mereka yang berumur dan menghidapi osteoporosis adalah tidak sebaik anak muda yang mengalami masalah yang sama.

Tujuan rawatan osteoporosis sebenarnya adalah untuk mengurangkan risiko keretakan lanjut di samping memperbaiki kepadatan jisim mineral dan kualiti tulang. Rawatannya merangkumi pengambilan suplemen kalsium dan vitamin D serta pelbagai agen farmakologi.

Walaubagaimanapun, anda perlu mengubah cara pemakanan dan gaya hidup anda supaya tidak terlalu bergantung kepada ubat-ubatan. Pastikan anda mendapat kalsium dan vitamin D yang cukup untuk memenuhi keperluan diet harian anda serta banyakkan pergerakan badan untuk menggalakkan pembentukan tulang.

Senaman menahan berat adalah paling efektif untuk membina tulang. Ia termasuklah berjalan, menaiki tangga dan melakukan tai chi. Tetapi, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan program senaman anda. Doktor anda akan mengesyorkan jenis senaman yang tidak akan membahayakan anda.

Anda juga perlu mengurangkan pengambilan kafein serta tabiat merokok. Kedua-duanya boleh mempercepatkan kehilangan jisim tulang dan meningkatkan risiko keretakan tulang. Jika itu berlaku, segala rawatan dan pemakanan sihat yang anda amalkan adalah sia-sia sahaja.

* Siri artikel sempena program Tulang Sihat Sepanjang Hayat (HBFL)


Sumbangan oleh:
Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment