Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, June 03, 2012

Ejakulasi Ke Belakang

Saya menerima e-mel daripada beberapa pembaca mengenai kegagalan mengeluarkan air mani walaupun mencapai kepuasan dalam hubungan seks. Mereka terasa hendak membuang air kecil selepas melakukan hubungan seks dan ketika itu, air mani serta kencingnya keluar sekali.

Masalah ini dikenali sebagai ‘retrograde ejaculation’ atau ejakulasi ke belakang iaitu ejakulasi ke dalam pundi kencing.

Ia sering berlaku kepada lelaki yang menghidap kencing manis kerana kerosakan urat saraf yang terbabit dengan sistem kawalan ejakulasi.

Bagi lelaki yang mengalami masalah ini, apabila pintu yang membuka ruang salur kencing dari kawasan pundi prostat tidak terbuka ketika ejakulasi, air mani terus masuk ke dalam pundi kencing, yang mana ketika itu pintu pembukaan pundi kencing terbuka!

Ada juga lelaki mengalami masalah sama akibat kesan sampingan ubat tekanan darah tinggi jenis ‘alpha-blockers’. Kini ubat itu jarang digunakan doktor. Ada lelaki yang pernah menjalani pembedahan prostat mengalami masalah serupa.

Pembedahan prostat atau apa-apa prosedur untuk melonggarkan salur kencing boleh menyebabkan pintu dalam corong salur kencing antara kawasan prostat tertutup.

Air mani yang termasuk ke dalam pundi kencing akan terdedah kepada air kencing yang berasid dan berkuman, menyebabkan sperma itu lemah dan mati.

Bagi lelaki yang mengalami masalah ini, cara berkesan untuk membuat isteri hamil ialah melalui kaedah menapis sperma aktif daripada air kencing dan membersihkannya sebelum disalurkan ke dalam rahim isteri ketika isteri subur.

Kaedah ini hanya boleh dilakukan oleh pusat perubatan yang menyediakan khidmat itu. Anda boleh rujuk kepada pusat perubatan terdekat untuk mengetahui sama ada mereka menyediakan kaedah itu.

Anda juga boleh melakukan hubungan seks dengan pundi kencing separa penuh (berasa seperti mahu buang air kecil tetapi boleh tahan).

Dalam keadaan itu, jika berlaku klimaks, ejakulasi boleh berlaku dan ada sedikit kemungkinan air kencing tercicir sedikit! Kadangkala ubat yang merangsangkan saraf seperti ubat ‘simpato mimitic’ boleh membantu. Semua rawatan ini hanya diberi di klinik atau hospital.

Selain itu, air kencing boleh diperiksa selepas melakukan hubungan seks dan klimaks untuk memastikan sama ada sperma wujud di dalamnya.

Doktor juga boleh memberi ubat untuk melegakan injap supaya ejakulasi boleh berlaku ke depan.


Ditulis oleh: Dr Ismail Tambi
Dipetik dari: http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment