Peminat Setia Doktor Pakar

Friday, July 30, 2010

Implan Stent Untuk Pesakit Jantung

Di kebanyakan negara, penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu baik di kalangan lelaki mahupun wanita.

Bagaimanapun, dewasa ini terdapat rawatan berkesan untuk serangan penyakit jantung di mana ia dilihat seiring dengan kemajuan teknologi dalam bidang perubatan.

Penerokaan teknologi, teknik dan cara baru untuk mencari penawar kepada pembunuh nombor satu penduduk dunia ini, sentiasa menarik perhatian ramai terutama para saintis.

Pembedahan pintasan jantung adalah antara penemuan paling cemerlang bidang perubatan kepada penyakit jantung koronari (CAD).

Pembedahan ini yang juga dipanggil pembedahan pintasan turut mengalami beberapa perkembangan seperti kejayaan pintasan berganda dan pintasan tiga kali ganda.

Tidak ketinggalan kejayaan baru terhadap pembedahan itu termasuklah seperti pembedahan pintasan jantung ketika jantung masih berdegup.

Bagaimanapun, penemuan teknologi belon angioplasti koronori yang pertama kali dilakukan ke atas manusia pada tahun 1977 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) dikatakan pesaing kepada kaedah pintasan jantung.

Pada tahun 1987 dan 2001, kaedah belon angioplasti menerima penambahbaikan apabila sejenis implan stent atau dawai kasa yang membawa sejenis ubat turut disertakan.

Seterusnya pada Mei 2002, stent bebaskan ubat (DES) telah diperkenalkan dan ia mula digunakan secara komersial di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menurut Ketua Jabatan Kardiologi, Institut Jantung Negara, Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali, DES yang merupakan generasi baru, Xience Prime dihasilkan daripada versi stent ubat yang lebih canggih.

Xience Prime menggunakan ubat yang dikaji selidik dengan teliti dengan polimer yang terbukti bersesuaian secara biologi.

"Stent membebaskan ubat merupakan segulung wayar halus yang diselaputi ubat yang dimasukkan ke dalam salur darah pesakit supaya saluran darah terbuka luas bagi membolehkan darah membawa nutrien dan oksigen ke bahagian jantung.

"Stent membebaskan ubat ini juga terbukti berkesan menurunkan kadar restenosis (pengecilan kembali arteri) dan keperluan untuk rawatan lanjut, di mana ubat yang digunakan itu adalah ubat yang berkesan supaya ia menahan sel ketumbuhan yang tidak meluru yang boleh menyebabkan kesempitan terjadi semula.

"Kita juga dapati daripada segi analisis, stent generasi baru ini nyata selamat dan risikonya jauh lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan stent sebelum ini,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia yang ditemani Presiden Persatuan Jantung Malaysia, Prof. Dr. Sim Kui-Hian, menjelaskan stent tersebut yang dimasukkan ke dalam saluran darah akan kekal di dalamnya cuma apabila ada kewajaran baru belon akan dicabut keluar.

Tambah Dr. Rosli, stent tersebut juga akan dilitupi dengan kulit dan penutupannya diharap tidak tebal supaya ia tidak menyebabkan kesempitan berlaku kembali.

Ditanya bagaimanakah stent tersebut dimasukkan ke dalam saluran darah, menurut Dr. Rosli, prosedurnya ringkas dan ia tidak memerlukan sebarang ubat bius untuk melalikan pesakit.

Ini kerana ia bukanlah satu pembedahan malah ia cuma dipanggil prosedur di mana pesakit akan sedar.

Dalam prosedur tersebut, wayar halus dimasukkan melalui pangkal paha atau pergelangan tangan.


Ditulis oleh:Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Thursday, July 29, 2010

Sedawa Tanda Banyak Angin

Setiap tahun, Fauzi menjalani pemeriksaan keseluruhan badan di hospital. Tidak terkecuali juga pada tahun ini. Namun, sejak akhir-akhir badannya sering berasa letih.

Terlalu stres memikirkan masalah tersebut, Fauzi berjumpa doktor untuk mengetahui punca sebenar. Dia mengambil cuti sakit kerana sakit kepala, hilang selera makan dan demam.

Adakah Fauzi mengalami demam biasa? Apakah punca masalah yang sebenar? Doktor menjelaskan, dia sebenarnya mempunyai masalah angin di dalam badan.

Semua orang mempunyai angin di dalam badan dan sebaiknya mengakulah kepada doktor anda kerana angin selalunya berkait rapat dengan pemakanan. Masalah tersebut boleh dirawat menerusi pengubahsuaian makanan selain produk-produk yang banyak dijual di farmasi.

Ada beberapa punca lain yang boleh mencetuskan masalah angin dan bukannya terhad kepada pemakanan seperti kekacang.

Ramai pula yang mengaitkan masalah itu menjadi punca demam, stres dan hilang tumpuan kerja.

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, angin di dalam badan berpunca daripada gas di dalam sistem penghadaman atau sistem gastro usus. Sistem tersebut mengandungi gas yang tidak berbau iaitu 99 peratus gas buangan dari usus manakala gas yang tidak menyenangkan pula mungkin disebabkan oleh gas yang mengandungi sulfur.

“Ia dilepaskan oleh bakteria di dalam usus besar. Angin disebabkan oleh gas atau angin di dalam sistem penghadaman badan datang daripada dua sumber iaitu udara yang disedut dan bakteria di dalam usus besar.

‘‘Bakteria ini terjadi akibat gangguan daripada makanan yang tidak dapat dihadamkan dengan baik,” katanya.

Secara umumnya, penyakit atau masalah angin adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang.

Walaupun tiada statistik sebenar, anggaran 30 hingga 40 peratus masyarakat mengalami masalah angin iaitu minimum sekali dalam hidup mereka.

Realitinya, masalah angin tidak menyebabkan kemudaratan teruk. Ia hanya perasaan tidak selesa dan kurang menyenangkan serta mengganggu kerja harian.

Rawatan

Seperti kebanyakan penyakit lain, angin di dalam badan sering dikaitkan dengan pemakanan.

Justeru ia boleh diatasi dengan melebihkan makanan berzat serat (fiber), sayur-sayuran, buah-buahan dan senaman harian.

“Jikalau kesemua di atas tidak mendatangkan manfaat, kita boleh memberikan ubat-ubatan tertentu,” ujarnya.

Selain itu, berurut, sauna, bersenam dan gaya hidup sihat dapat membantu mengatasi masalah stres.

Terdapat kepercayaan amalan mandi waktu malam menjadi punca masalah tersebut.

Menurut Dr. Malik, tiada bukti saintifik mandi waktu malam boleh menyebabkan angin di dalam badan.

Seseorang boleh mengesan dia mengalami masalah angin di dalam badan jika sentiasa sendawa dan mengalami kembung perut.

Keadaan itu menyebabkan rasa kurang selesa, sakit dan seterusnya mengurangkan selera makan juga sakit kepala.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala tersebut mendapat rawatan doktor di samping menjaga pemakanan serta bersenam.


Ditulis oleh:Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Wednesday, July 28, 2010

Khasiat Untuk Mata

Lutein dan zeaxanthin adalah dua pigmen berwarna kuning dalam kumpulan karotenoid. Karotenoid terdiri daripada sekumpulan pigmen merah, kuning dan jingga yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna jingga kekuningan, sayuran berdaun hijau dan jagung.

Fungsi lutein dan zeaxanthin bukan sekadar memberi warna yang cantik kepada tumbuh-tumbuhan. Di dalam mata, lutein dan zeaxanthin membentuk pigmen makula dan terdapat dengan banyaknya pada kanta dan retina mata. Selain itu, kedua-duanya juga merupakan anti oksida yang berpotensi melindungi mata daripada kecederaan akibat cahaya biru dengan menapis cahaya tersebut daripada mengenai lapisan sel-sel dalam mata.

Banyak kajian telah melaporkan lutein dan zeaxanthin mengurangkan risiko mendapat penyakit mata yang kronik, termasuk katarak dan kemerosotan fungsi makula akibat peningkatan usia (age-related macular degeneration-AMD). Di seluruh dunia, lebih 25 juta orang didapati terlibat dengan AMD dan katarak. Di dunia barat, AMD adalah penyebab kebutaan utama di kalangan mereka yang berusia 55 tahun ke atas dan dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda menjelang 2025.

Membeli suplemen

Agak sukar mendapatkan lutein dan zeaxanthin terutamanya daripada makanan kerana memerlukan jumlah hidangan sayuran dan buahan yang banyak. [Nota: secara purata, dalam makanan, zeaxanthin adalah 10 ke 20 kali lebih sedikit daripada lutein].

Cara lain adalah dengan mengambil suplemen yang mengandungi ekstrak bunga Marigold yang dipiawaikan, yang kaya dengan lutein dan zeaxanthin.

Dua perkara yang perlu diberi perhatian ketika membeli suplemen lutein dan zeaxanthin:

i) Suplemen itu menggunakan ekstrak bunga Marigold (Tagetes erecta) yang dipiawaikan agar mengandungi sekurang-kurangnya 15 peratus ester lutein dan 40 peratus zeaxanthin, supaya jumlah dalam setiap kapsul adalah jelas, seperti tertera pada label.

Tidak seperti produk herba lain yang menggunakan ekstrak tidak dipiawaikan, ekstrak bunga Marigold yang dipiawaikan menjamin kemujaraban untuk kesan yang lebih baik.

ii) Suplemen itu mengandungi jumlah lutein dan zeaxanthin yang tinggi

Pastikan suplemen itu mengandungi sekurang-kurangnya 6mg lutein yang dipiawaikan, namun 10mg adalah lebih baik. Kebanyakan suplemen lutein dan zeaxanthin mengandungi zeaxanthin dalam jumlah yang terlalu sedikit - mikrogram (mcg) sedangkan kajian mendapati zeaxanthin hanya bermanfaat jika jumlahnya lebih tinggi iaitu sekurang-kurangnya 5mg setiap hari.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Tuesday, July 27, 2010

Kegagalan Hati

Penyakit kuning ypada bayi yang baru lahir biasanya dialami dalam jangka masa pendek dan tidak berbahaya. Tetapi di kalangan orang dewasa menunjukkan mereka mengalami masalah kesihatan yang serius dan perlu dirawat segera oleh doktor.

Penyakit kuning adalah tanda bagi banyak penyakit. Ia boleh dikesan apabila kulit dan sklera (bahagian putih mata) berubah menjadi kuning, Ini berlaku kerana lebihan bilirubin. Keadaan kulit kuning disertai kencing bewarna gelap dan najis berwarna pucat (berlaku apabila salur hempedu tersekat). Selain itu, pesakit mengalami kegatalan pada kulit, muntah dan hilang nafsu makan.

Gejala

Secara umum, penyakit kuning boleh dikategorikan kepada dua jenis: obstructive jaundice (sakit kuning disebabkan sekatan pada salur hempedu) dan hepatocellular jaundice (sakit kuning disebabkan masalah hati).

Obstructive Jaundice

Obstructive jaundice, atau cholesistik jaundice disebabkan sumbatan pada salur pundi hempedu akibat batu hempedu, kanser pankreas atau kanser salur hempedu. (kolangiokarsinoma).

Pesakit akan mengalami kencing berwarna gelap dan najis yang pucat disebabkan oleh kurangnya pengeluaran cecair hempedu dan bilirubin ke dalam usus. Sakit dan demam adalah gejala sekiranya salur hempedu tersumbat oleh batu hempedu. Disebabkan gejala yang dihidapi adalah sakit pada bahagian atas abdomen, pesakit selalunya disalah tafsirkan sebagai sakit gastrik.Bagaimanapun kesakitan boleh merebak ke bahagian belakang badan.

Hepatocellular Jaundice

Ia disebabkan oleh kecederaan atau radang sel hati. Ubatan moden atau herba tradisional tertentu boleh mengganggu fungsi hati. Keadaan ini boleh menghalang bilirubin yang dihapuskan dari darah atau dikeluarkan dari hempedu, yang boleh menyebabkan sakit kuning. Hepatitis alkohol juga adalah penyebab utama hepatoselluler jaundice.

Virus Hepatitis

Hepatitis adalah keadaan di mana hati menjadi terangsang dan keupayaan hati untuk memproses dan merembeskan bilirubin terhalang. Penyakit virus hepatitis termasuk virus hepatitis A, B dan C. Virus hepatitis A biasanya dijangkiti melalui dari makanan bercengkerang, manakala virus hepatitis B dan C dijangkiti melalui darah atau cairan badan.

Penyakit hati kronik akan menyebabkan hati tidak boleh berfungsi seperti hati sihat. Jika terdapat lebih parut pada tisu hati menggantikan tisu normal, fungsi hati akan mengurang (misalnya tidak boleh membersihkan darah, mencernakan makanan dan menyimpan tenaga). Akhirnya sakit kuning akan berlaku. Selalunya apabila pesakit sedar mengalami sakit kuning, keadaan mungkin telah menjadi tahap serius dan pesakit mungkin mengalami kegagalan hati dan komplikasi dari serosis hati (hati menjadi keras).

Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia yang disokong oleh Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku mengenai kesihatan sistem penghadaman secara percuma, sila hubungi 03-5621 1408.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Monday, July 26, 2010

Atasi Masalah Mandul

Kesukaran untuk hamil bukan semestinya disebabkan oleh faktor kaum wanita sahaja tetapi juga kaum lelaki. Hampir 30-40 peratus infertiliti disebabkan oleh faktor lelaki. Walaupun lelaki dapat terus menjadi "produktif" pada usia yang lebih lanjut tidak bermakna mereka lebih subur. Ramai lelaki mengalami masalah disfungsi seksual seperti ejakulasi pra-matang, kegagalan ereksi dan sebagainya.

Terdapat juga kaum lelaki yang mempunyai kualiti atau kuantiti sperma yang rendah akibat faktor genetik, merokok, meminum minuman keras dan mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Jangkitan pada kelenjar testis dan saluran yang membawa sperma boleh menyebabkan infertiliti. Seperti juga wanita, kaum lelaki juga boleh mengalami infertiliti jika menerima ubat-ubat kemoterapi ataupun radioterapi.

Hampir 25 peratus kes kegagalan menimang cahaya mata adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak dapat dikesan oleh kaedah moden. Ini mungkin disebabkan kita belum mempunyai cukup teknologi untuk mengesan punca-puncanya. Dijangkakan peratusan itu akan menurun dari masa ke semasa apabila teknik pengesanan dan teknologi perubatan kita bertambah baik.

Hampir 80 peratus infertiliti boleh dirawat jika pasangan i berjumpa doktor yang bertauliah dan mendapatkan rawatan lengkap. Peluang untuk sembuh akan menjadi lebih sukar jika tempoh infertiliti dibiarkan bertahun-tahun ataupun jika usia pasangan wanita melebihi 35 tahun.

Bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas, mereka digalakkan mendapatkan rawatan setelah enam bulan berkahwin. Samada setahun atau enam bulan perkahwinan, apa yang penting mereka sudah mencuba dengan melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Ini disebabkan kaum wanita diketahui hanya subur sekali pada setiap bulan dan jika hubungan seks tidak dilakukan secara kerap , maka kemungkinan untuk hamil juga akan menjadi lebih rendah. Ramai di kalangan pasangan gagal menangani masalah infertiliti hanya kerana jarang melakukan hubungan seks samada akibat dari tinggal berjauhan, kesibukan ataupun kurang kefahaman mengenai proses reproduksi.

Apabila membuat keputusan untuk bertemu dengan doktor , sila pastikan doktor tersebut adalah doktor sakit puan ataupun doktor ginekologi. Pasangan perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan ujian-ujian lanjut.

Di antara kaedah-kaedah bantuan reproduktif yang terdapat di Malaysia adalah Pemanian beradas ( Intrauterine insemination), Invitro-Fertilization (IVF) dan ICSI ( Intracytoplasmic Sperm Injection). Tidak semua pasangan sesuai menjalani kaedah rawatan bantuan reproduktif. Mereka perlu menjalani ujian serta pemeriksaan rapi oleh pakar perubatan reproduktif sebelum dibenarkan menjalani rawatan yang sangat kompleks.

Pasangan juga mesti mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk menjaga kebersihan diri. Langkah-langkah pencegahan jangkitan penyakit dan menjauhkan diri daripada terdedah kepada toksin-toksin sama ada di dalam makanan, minuman dan juga alam sekitar akan dapat memperbaiki kesuburan. Mengamalkan senaman secara tetap dan menjauhkan diri daripada merokok dan meminum minuman keras juga merupakan amalan yang sangat dituntut bagi meningkatkan kesuburan diri.

Sehubungan itu, dalam usaha mendedahkan masyarakat kepada masalah infertiliti dan rawatan, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (UP&D) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Kesihatan: Reproduksi Manusia & Rawatan Infertiliti pada 5 Ogos 2010 di Hotel Grand Season, Jalan Pahang. Seminar ini turut mendapat kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Bagi yang berminat boleh hubungi Nurul Wahida atau Rozaini di talian 03-9285 6577 untuk keterangan lanjut.


Ditulis oleh:Dr Mohd Rushdan bin Md Noor
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Saturday, July 24, 2010

Tua Tapi Bertenaga

Lebih 25 juta lelaki di Amerika Syarikat (AS) sedang melalui fasa ‘menopaus’ manakala 52 peratus lelaki berusia antara 40 dan 70 tahun mengalami masalah mati pucuk.

Lelaki seperti juga wanita mengalami rentak hormon yang agak kompleks sehingga memberi kesan kepada mood, fizikal dan seksualiti. Simptom lain termasuk rasa bimbang tanpa sebab, tertekan, letih, pelupa dan tidur yang terganggu.

Manakala dari sudut seksual, lelaki yang melalui fasa itu sering risau tidak mampu beraksi di ranjang sehingga ke satu peringkat mencari pasangan lebih muda semata-mata untuk membuktikan mereka boleh melakukannya.

Menopaus bagi kaum lelaki (andropaus) boleh saja disimpulkan seperti melalui pusingan kedua akil baligh di mana mereka berhadapan dengan isu-isu identiti, seksualiti, kebergantungan dan kebebasan.

Pakar psikiatri mengakui simptom-simptom fasa andropaus sememangnya wujud sebagaimana golongan wanita berhadapan dengan gejala menopaus. Bagaimanapun ramai lelaki enggan mengakui bahawa mereka turut melalui pengalaman tersebut.

Malah di AS menyaksikan ada kalangan lelaki yang tidak dapat menerima perubahan yang berlaku pada badan, fikiran dan gaya hidup sehingga sanggup merosakkan diri mereka sendiri serta rumahtangga yang telah dibina.

Dr. Rushmini Maris Ismail ketika ditanya perihal tersebut menarik perhatian mengenai peningkatan jangka hayat manusia dari 45 tahun pada tahun 1950-an kini mencecah 80 dan dijangka menjangkau 90 tahun. Katanya, kepesatan teknologi perubatan bukan sahaja meningkatkan kualiti kesihatan malah turut memanjangkan jangka hayat manusia.

Namun mencecah usia 40-an baik wanita mahu pun lelaki mula didatangi pelbagai penyakit berkaitan jantung, paru paru, kolestrol, hati dan kencing manis. Begitu juga kanser dan masalah prostatik bagi lelaki selain dementia (pelupa atau nyanyuk) dan atherosklerosis (penebalan arteri). Kualiti kehidupan turut merosot manakala tubuh semakin mengecut dan lemah serta tulang menjadi rapuh. Menurut Dr. Rushmini, menjadi tua memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan namun untuk menikmati usia tua dalam keadaan sihat dan produktif sepatutnya menjadi sasaran utama. Tidak ada gunanya jika jangka hayat seseorang bertambah tetapi menjadi beban kepada orang lain.

Maksud sebenar penuaan

Apakah sebenarnya erti penuaan? Mengapa sel menjadi tua dan lemah? Apakah yang sebenarnya berlaku kepada tubuh badan kita sehingga berlaku perubahan seumpama itu?

Teknologi anti penuaan berjaya mengupas isu sebenar di sebalik penuaan. Pelbagai kajian saintifik mendapati manusia menjadi tua kerana kekurangan hormon di dalam tubuh badannya.

Dr. Rushmini berkongsi pengalaman seorang pesakit bernama Adam berusia 56 tahun. Semasa mudanya, lelaki itu dikategorikan sebagai gagah dan tampan. Bagaimanapun sejak beberapa tahun lalu dia mula berasa otot-otot pada tubuhnya tidak sekuat dulu meskipun Adam rajin mengamalkan senaman. Baru baru ini dia mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing dan terpaksa berulang alik ke klinik bagi mendapatkan antibiotik. Dia hairan melihat perutnya makin lembik dan berlemak. Masalah yang sama berlaku pada bahagian dadanya. Adam seorang lelaki yang riang dan cergas berubah menjadi tertekan gara-gara masalah tersebut. Dia mula kurang bergaul dan tidak lagi aktif bersenam kerana tiada tenaga. Paling merisaukan Adam apabila mendapati kemampuan seksualnya juga semakin hilang. Isterinya yang 10 tahun lebih muda turut mengesahkan perkara itu.

Semasa bertemu Dr. Rushmini, hampir semua tanda andropaus dapat dilihat pada diri lelaki itu. Selepas rawatan dengan hormon bio identikal ternyata Adam berubah sama sekali. Dalam erti kata lain dia menjadi ‘muda’ semula kerana hormon yang diambil membantu meningkatkan kualiti hidupnya. Jika jawapan kepada 20 soalan yang disertakan dalam ruangan ini jawapannya `Ya’, maka tidak salah bagi kaum lelaki mencuba hormon bioidentikal.


Ditulis oleh:Noraini ABdul Razak
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Friday, July 23, 2010

Alternatif Rawat Penuaan

Hormon dalam tubuh lelaki dikeluarkan oleh kelenjar gonadal. Apabila kelenjar gonadal bekerja dengan baik, seseorang kanak-kanak akan mula memiliki bentuk tubuh yang tegap dan sasa. Namun apabila kelenjar ini menjadi `tua’ dan tidak mampu bekerja dengan baik maka tubuh akan menjadi tua dan mengecut.

Sekiranya hormon ditambah maka tubuh yang tua akan kembali menjadi muda. Dr. Shaharom Sulaiman berkata, proses melambatkan atau mengubah situasi penuaan boleh dilakukan dengan penambahan hormon yang berkualiti. Cara yang ideal bagi mengesan perubahan paras hormon dalam darah adalah dengan menyukatnya.

Apabila usia meningkat makan paras hormon turut merosot. Hormon yang penting bagi lelaki adalah testosteron, dehydroepiandrosterone (DHEA) dan juga growth hormone (GH). Selain itu hormon tiroid (T3 dan T4 ) juga penting kerana ia melancarkan aktiviti metabolisma. Tanpanya seseorang akan menjadi gemuk dan sukar kurus meskipun mengamalkan diet yang ketat.

Rawatan Hormon Bioidentikal

Bioidentikal bermaksud menggunakan hormon yang bentuk molekulnya adalah sama seperti bentuk molekul hormon semulajadi dalam darah kita. Cara menggunakannya sangat mudah iaitu dengan menyapu hormon tersebut kepada kulit. Bahagian yang sesuai adalah bahagian kulit yang tipis dan mempunyai kadar penyerapan yang cepat seperti pergelangan tangan dan juga dahi. Doktor akan menentukan dos atau sukatan yang sesuai bagi setiap individu. Anda boleh berbincang dengan doktor kesan yang anda rasa dan kekerapan yang diperlukan. Hormon yang disapu akan meresap dengan amat cepat ke dalam tubuh, menjadikan tubuh lebih segar. Kelenjar-kelenjar hormon dalam badan dapat berfungsi secara lebih berkesan. Kelenjar yang tua atau kurang aktif tetapi sentiasa bekerja akan kepenatan sehingga akhirnya rosak. Lama kelamaan kelenjar itu terus terhenti dan kesan penuaan menjadi teruk. Dengan adanya hormon bioidentikal, kelenjar mendapat bantuan bagi meneruskan jangka hayatnya.

Hormon bioidentikal berbeza dengan terapi gantian hormon (HRT) yang menggunakan hormon sintetik dan pengambilannya memberi kesan jangka panjang pada tubuh seseorang. Ini kerana hormon sintetik mempunyai molekul yang berbeza dan akhirnya mencetuskan masalah jantung dan gangguan dalam darah. Contohnya conjugated estrogen yang mempunyai unsur-unsur sintetik boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Dr. Shaharom menyarankan alternatif hormon bioidentikal yang lebih selamat dan semulajadi. Ia diperbuat dari sayur sayuran seperti kacang soya.

Rawatan mesti dilakukan oleh doktor yang bertauliah dalam penggunaan hormon bioidentikal. Biasanya pesakit akan diberi soalan untuk memastikan simptom klinikal yang dihadapi dan melakukan ujian darah sebelum memulakan rawatan. Rawatan susulan setiap bulan akan memastikan matlamat menjadi lebih muda dan segar diperoleh.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Thursday, July 22, 2010

Kuku Yang Sihat dan Berseri

Wajah, rambut dan kulit sering menjadi perhatian individu tatkala bercakap soal kecantikan. Namun, bagaimana pula dengan kuku?

Ramai mengaku yang mereka tidak mengambil berat terhadap bahagian ini kerana menganggap ia tidak penting. Sebenarnya, kuku juga memainkan peranan penting dalam soal penampilan. Jangan lupa setiap kali berbicara, tangan kita turut bergerak dan pastinya kuku antara anggota yang mudah dilihat.

Menjaga kuku sebenarnya tidak sukar. Hanya potong dan bersihkan, itu sudah mencukupi. Ingat! Andai ia berpenyakit pasti sukar merawatnya. Penyakit cagu, kuku merekah, mudah patah, kusam, berwarna kuning atau hitam pasti menjejaskan penampilan.

Rutin penjagaan kuku

1. Pastikan kuku dibersihkan selalu terutama bagi mereka yang sering melakukan kerja rumah seperti memasak. Jangan potong kuku terlalu pendek.

2. Rendam dalam air suam dapat melembutkan dan memudahkan kuku dipotong.

3. Gunakan alat khas untuk melicinkan permukaan kuku yang dipotong. Gosok kuku dengan kain untuk menanggalkan habuk yang tertinggal.

4. Pemakaian pelembap tangan dan kuku mengandungi vitamin C membantu mencantikkan kuku.

5. Minum banyak air dapat membantu mendapatkan kuku yang sihat, kuat dan cantik.

Tip tradisional

Kuku kaki sering berubah warna menjadi kehitaman atau kekuningan menyebabkan ia kelihatan tidak menarik. Cuba tuangkan cuka di atas kuku tadi dan gosok dengan kain lembut. Kemudian bilas dengan air suam. Pasti warnanya akan kembali berseri. Boleh juga mencuba dengan menggunakan bawang putih yang dibelah dua. Gosok pada kuku kaki hingga warnanya kembali berseri dan berkilat. Kemudian bersihkan.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Wednesday, July 21, 2010

Inkontinens Bukan Tanda Penyakit Tua

Lee, 41, tidak pernah mengerti kenapa dia begitu 'terasa' perlu membuang air kecil dengan begitu kerap.

Sama ada ketika memandu ke tempat kerja atau ketika bersama keluarga semasa membeli-belah dan bersenam di gimnasium, wanita ini tetap dihantui perasaan perlunya 'melegakan' pundi kencingnya.

"Kadang-kadang rasanya lebih banyak masa digunakan untuk ke tandas dari masa yang diguna untuk bersenam," kata beliau.

Ibu kepada seorang anak, Rohaiza, 29, pula menceritakan pengalaman beliau mengenai masalah yang sama.

"Bila berada di kompleks membeli-belah, datang stres bila terasa nak buang air kecil dan terpaksa menunggu giliran di belakang beberapa orang yang lain (untuk masuk tandas)."

Rohaiza mula perasan perubahan pada dirinya selepas satu tahun melahirkan anak bila beliau mengalami 'rasa ingin buang air kecil' setiap kali bersin atau batuk. Rohaiza mendapati beliau tidak boleh 'tahan' (kencingnya) seperti masa-masa yang lampau. Ada beberapa kali beliau tidak sempat sampai ke tandas dan berlakulah 'insiden' yang tidak diingini.

"Masalah yang saya alami telah menggugat keyakinan diri saya. Dulu saya gemar bersosial tetapi kini nak keluar makan malam dengan rakan-rakan pun saya khuatir. Apakah akan terjadi bila saya tidak sempat sampai ke tandas dan terbuang air kecil di khalayak ramai?"

Lee dan Rohaiza adalah mereka yang mengalami tanda-tanda pundi kencing terlampau aktif (OAB) atau dikenali juga sebagai inkontinens urinari.

Masalah ini dikatakan mengganggu setiap satu daripada enam orang dewasa. Masalah ini juga kerap diberi diagnosa yang tidak tepat.Ramai yang mengalami OAB, terutamanya wanita, tidak mahu mendapatkan rawatan walaupun masalah ini mengganggu kehidupan harian mereka.

Ini kerana ada yang menganggap bahawa inkontinens adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlu rawatan.

OAB Boleh Dirawat

"OAB atau inkontinens urinari bukanlah satu penyakit tua. Ia adalah satu masalah perubatan dan boleh dirawat", kata Presiden Persatuan Urologi Malaysia Datuk Dr. Rohan Malek.

Menurut beliau, ramai wanita yang mengalami masalah ini enggan menjalani pemeriksaan dan tidak mengetahui adanya kaedah yang boleh merawat masalah tersebut.

"Faktor utama yang membuatkan mereka enggan datang untuk pemeriksaan adalah mungkin kerana malu menceritakan tentang masalah itu kepada doktor.

"Ramai juga yang berpendapat ia adalah sebahagian proses penuaan atau mungkin kesan sampingan selepas melahirkan anak. Mereka rasa tidak perlu berbuat apa-apa dan rasa tidak boleh berbuat apa-apa (bagi merawatnya)," kata Dr. Rohan yang merupakan Pakar Urologi Hospital Selayang.

Statistik dari kajian terhadap wanita yang dijalankan di 11 buah negara menunjukkan prevalens OAB adalah 53.1 peratus. Majoritinya adalah mereka yang berumur 29-59 tahun.

Di Malaysia, OAB dialami 11-22 peratus daripada jumlah penduduk. Melahirkan anak adalah risiko utama tetapi OAB juga boleh disebabkan oleh faktor lain.

Menurut Dr. Rohan terdapat beberapa kaedah bagi merawat OAB termasuk fisioterapi dan perubatan. Hanya beberapa kes sahaja yang memerlukan pembedahan.

"Rawatan OAB mampu dijalankan dan jarang sekali kita perlu melakukan pembedahan terhadap pesakit OAB," kata Dr. Rohan.

Jenis Inkontinens

Jenis inkontinens yang prevalen adalah dari jenis 'terdesak' dan stres.

Dr. Rohan berkata, inkontinens stres disebabkan lemah otot pelvik yang disebabkan kelahiran anak dan obesiti.

"Inkontinens stres boleh menyebabkan kebocoran kencing ketika bersin atau batuk. Kadangkala ada juga kes inkontinens terdesak bila mereka tidak boleh tahan kencing sebelum tiba ke tandas," kata beliau. Rawatan meliputi fisioterapi dan mengenalpasti masalah bersangkutan. Senaman otot pelvik juga boleh membantu.

Pesakit yang gemuk juga boleh mengurangkan berat badan manakala mereka yang menghidapi asma serta batuk perlulah mendapatkan rawatan terlebih dahulu.

Sementara itu, mereka yang mengalami inkontinens terdesak terpaksa berkejar ke tandas beberapa kali dalam satu hari.

"Tanda-tanda OAB adalah buang air kecil lebih dari lapan kali satu hari dan tidak boleh tahan bila tiba masanya," kata Dr. Rohan.

Pesakit juga akan mengalami 'nocturia', iaitu kerap bangun kencing waktu malam. Ini boleh mengganggu tidur pesakit dan mereka akan rasa amat keletihan pada keesokan hari.

Ada juga pesakit terpaksa pakai lampin dan terpaksa meninggalkan aktiviti fizikal seperti bersukan.

Walaupun ada kes yang boleh dirawat dengan antibiotik, pesakit perlulah berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah lain yang tersembunyi.

"Ada kalanya tanda-tanda yang sama seperti masalah OAB dicetuskan penyakit lain antaranya diabetis, angin ahmar, kanser pundi kencing atau batu karang. Ini boleh dikenal pasti melalui ujian air kencing," katanya.


Ditulis oleh:Sakina Mohamed
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Tuesday, July 20, 2010

Risiko Kanser Usus Bagi Lelaki

Sebut sahaja kanser, pasti ramai yang kecut perut. Malah mungkin ada yang terus longlai sekiranya membincangkan penyakit yang dianggap ‘pembunuh’ manusia itu.

Begitu juga dengan kanser atau barah usus. Tetapi ramai yang tidak mengambil serius akan risikonya.

Ia sebenarnya merupakan penyakit barah yang utama bagi lelaki dan ketiga paling banyak menyerang kaum wanita di negara ini.

Ketumbuhan kanser ini biasanya bermula dari dalam lapisan usus besar. Ia boleh membesar lama di situ sebelum merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Menurut Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Wahid, kanser usus jika tidak dirawat pada peringkat awal akan berisiko menjadi lebih berbahaya.

"Rawatan untuk kanser adalah sesuatu yang kompleks dan mencabar.

"Jika kanser usus disedari pada peringkat yang masih awal dan belum merebak, ia boleh dirawat.

"Namun jika disedari pada peringkat yang kritikal, peluang untuk baik sangat kurang dan rawatan lain diperlukan,” katanya.

Katanya, pembedahan merupakan pilihan utama bagi mengurangkan beban pesakit. Bagaimanapun kemoterapi atau radioterapi mungkin dicadangkan kepada pesakit.

"Ia semuanya bergantung kepada keadaan pesakit dan faktor perubatan lain," tegasnya.

Katanya, kanser itu boleh terjadi pada semua peringkat umur, tetapi risikonya lebih tinggi kepada lelaki yang berusia 50 tahun ke atas.

"Keadaan ini semakin berisiko sekiranya mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit tersebut,” katanya.

Seperti mana terdapat pelbagai jenis penyakit kanser begitu jugalah ada banyak jenis rawatan untuk kanser.

Bagi sesetengah orang, mereka mungkin terdengar tentang satu atau dua kaedah rawatan kanser tetapi doktor mungkin menggabungkan beberapa jenis terapi bukan sahaja untuk ‘membuang’ kanser tersebut, juga untuk memastikan ia tidak akan kembali.

Katanya, ujian saringan untuk kanser usus biasanya mampu mengurangkan risiko kanser usus.

"Saringan menggunakan kaedah faecal occult blood test (FOBT) atau ujian darah okulta tinja disarankan kepada individu sihat yang berumur 50 tahun ke atas.

"Ia merupakan satu ujian ringkas untuk mengenal pasti tanda-tanda awal kanser usus. Ujian ini melibatkan pengambilan beberapa sampel najis dengan menggunakan kit ujian. Sampel akan diambil di rumah dan kemudiannya dihantar ke makmal untuk dianalisis," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, ujian FOBT akan menentukan sekiranya terdapat darah dalam tinja. Sekiranya ada, ujian lanjut perlu dijalankan untuk mengenal pasti punca pendarahan.

Keadaan tersebut tegasnya, mempunyai peluang yang tinggi iaitu sebanyak 90 peratus untuk disembuhkan sekiranya dikesan pada peringkat awal.

Ditanya mengenai punca berlakunya kanser tersebut, beliau menjelaskan gaya hidup tidak sihat dan pengambilan makanan yang tidak seimbang merupakan punca utama terjadinya penyakit ini.


Ditulis oleh:Zuhayati Yazid
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Monday, July 19, 2010

Kembalikan Nikmat Melihat

Masalah penglihatannya bermula sejak dua tahun lalu melibatkan hanya sebelah mata dan diikuti sebelah mata lagi tidak lama selepas itu. Mata kanannya tidak dapat melihat langsung manakala mata kirinya mula samar-samar.

Kehidupannya yang sebelum itu banyak dihabiskan di surau dan membaca al-Quran, ternyata berubah.

Apa yang mampu dilakukan hanya berdoa agar penglihatannya pulih dan dia dapat beribadat dengan sempurna.

Mujurlah isteri, Jalilah Yunus dan anak-anak setia berada di sisi.

Segala pergerakannya, banyak mendapat bantuan mereka kerana dia boleh saja dikatakan dalam keadaan buta.

Kuasa Tuhan, Abdullah dipertemukan dengan seorang pakar mata menerusi laman web sosial, facebook. Sebelum itu, Abdullah hanya mendengar motivasi pakar tersebut menerusi televisyen. Dengan rendah diri, Abdullah menceritakan masalah katarak yang dihadapinya. Dia mahu pulih seperti sedia kala kerana empat daripada anak-anaknya masih bersekolah. Tambahan pula, dia mahu mengerjakan amal ibadat dengan lebih sempurna.

Walaupun tahu, kos pembedahan mungkin tinggi, Abdullah reda dan tetap mencuba.

Akhirnya berkat kesabaran, pesara guru itu berjaya menjalani pembedahan menerusi dana Sayangi Matamu Pusat Perubatan Prince Court (PCMC).

Usia melebihi setengah abad memungkinkan dia menjalani pembedahan katarak. Kebetulan masalah penglihatannya kronik kerana dia buta sebelah mata.

Namun, berkat keimanan serta amalan yang ada, Abdullah berjaya menjalani pembedahan hanya 15 minit. Seperti tidak percaya pembedahan katarak yang menggantikan selaput matanya tidak memberikan kesan sakit.

Ketika ditemubual sehari selepas pembedahan Abdullah boleh melihat cahaya terang dan penglihatannya semakin jelas. Mungkin jiwanya yang celik kerana percaya pada keimanan, Abdullah sekeluarga berjaya mengharungi proses pembedahan dengan tenang.

Perkara itu turut diakui Pengerusi Persatuan Oftalmologi MMA dan Pengarah Pusat Mata dan LASIK, Pusat Perubatan Prince Court, Profesor Dr. Muhaya Mohamad yang berhasil melakukan pembedahan katarak tanpa berdepan sebarang komplikasi.

Kata beliau, kepakaran bukan satu-satunya kunci kejayaan pembedahan tersebut sebaliknya amalan pesakit juga penting .

"Jika diikut, usia Abdullah lebih 40 tahun, menghidap diabetes mungkin menyukarkan pembedahan, namun saya percaya pesakit ini sangat tenang dan kuat imannya,'' kata pakar perubatan itu.

Tambah beliau, pembedahan katarak moden kini lebih selamat, efektif dan selesa serta dilakukan sebagai prosedur pesakit luar. Justeru itu, orang ramai tidak perlu takut dengan pembedahan kerana ia tidak menyakitkan mata.

PENYAKIT katarak atau selaput mata merupakan masalah penglihatan yang paling kerap dihadapi oleh warga emas di seluruh dunia . Proses peningkatan usia dikenal pasti punca penyakit tersebut.

Kanta mata asal yang jernih bertukar secara perlahan-lahan menjadi keruh menyebabkan pandangan menjadi kabur.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit 'usia emas' itu menyumbang kepada 48 peratus atau 18 juta penduduk dunia.

Senario yang sama juga turut berlaku di negara ini. Ramaiwarga emas mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau swasta kerana masalah katarak.

Rata-rata pesakit katarak berusia melebihi 60 tahun. Penyakit itu berlaku secara perlahan-lahan dan biasanya melibatkan kedua-dua belah mata. tanpa mengira jantina lelaki atau wanita.

Antara faktor yang menyebabkan penyakit itu adalah kencing manis, pendedahan kepada sinaran cahaya ultraviolet, merokok dan pengambilan alkohol.

Komplikasi katarak matang

Katarak matang boleh menyebabkan berlakunya glaukoma sekunder. Pesakit biasanya mengalami sakit yang kuat pada bola mata secara tiba-tiba. Bola mata juga menjadi merah dan pesakit mungkin mengalami gejala seperti loya, muntah dan sakit kepala.

Keadaan itu berlaku disebabkan gangguan kepada aliran cecair akuas di dalam mata disebabkan oleh katarak yang matang.

Tekanan di dalam bola mata menjadi tinggi dan pesakit perlu menjalani pembedahan kecemasan katarak sekiranya keadaan itu berlaku.

Pesakit dinasihatkan supaya tidak bersikap 'tunggu dulu' sehingga keadaan glaukoma sekunder berlaku.

Potensi untuk melihat semula selepas pembedahan adalah jauh lebih baik sekiranya pembedahan katarak dilakukan secara elektif dan terancang berbanding mereka yang berbuat demikian selepas mengalami glaukoma sekunder.

Kaedah Rawatan

Warga emas yang mengalami tanda-tanda katarak dinasihatkan berjumpa doktor pakar mata, sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pakar mata akan menjalankan pemeriksaan mata yang menyeluruh bagi memastikan diagnosis yang tepat ke atas pesakit.

Pesakit yang mengalami penyakit katarak peringkat awal, biasanya disaran supaya menggunakan cermin mata bagi membantu penglihatan pesakit.

Mereka memerlukan pemeriksaan mata secara berkala bergantung kepada keadaan mata dan tahap penyakit katarak yang dialami.

Warga emas yang penglihatannya terjejas teruk akibat penyakit katarak, biasanya disaran oleh pakar mata supaya menjalani pembedahan.

Prosedur itu perlu dilakukan segera bagi mengelak penyakit katarak mencapai tahap matang yang akan memburukkan lagi keadaan.

Pembedahan Katarak Secara Moden

Hospital kerajaan dan swasta yang menawarkan kepakaran oftalmologi di seluruh Malaysia kini menyediakan pembedahan penyakit katarak yang lebih moden.

Kepakaran di negara kita setanding dengan negara-negara lain. Pembedahan katarak boleh dilakukan secara bius setempat atau bius am, bergantung kepada keperluan pesakit.

Berbeza dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya pembedahan katarak berisiko tinggi dan memberi kesan sakit, kaedah moden yang ditawarkan hanya mengambil masa kurang daripada 30 minit.

Prosedurnya juga mudah. Pakar hanya menggunakan penurisan mikroskopik dan peralatan ultrabunyi bagi memecahkan lapisan katarak kepada serpihan halus sebelum dikeluarkan dengan alat penyedut tanpa menjejaskan belakang lensa mata. Selepas itu, lensa buatan atau lensa intra-okular (IOL) 'ditanam' di dalam mata untuk memperbaharui fokus.

Pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, asma, kegagalan buah pinggang dan jantung perlu menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan sebelum menjalani pembedahan katarak.

Semasa pembedahan, kanta mata yang keruh dikeluarkan manakapa kanta mata tiruan akan dimasukkan ke dalam bola mata pesakit bagi menggantikan fungsi asal. Proses itu membantu memulihkan keupayaan penglihatan setiap pesakit.

Pembedahan katarak secara phacoemulsification boleh dilakukan ke atas pesakit yang belum mencapai tahap katarak matang. Luka pada bola mata pesakit yang menjalani pembedahan kaedah ini sangat kecil dan mungkin tidak memerlukan sebarang jahitan.

Keadaan ini membolehkan luka tersebut sembuh dengan kadar yang cepat dan kemungkinan berlakunya astigmatism (lekuk kornea) selepas pembedahan adalah sangat rendah. Pesakit boleh menjalani aktiviti harian senam minggu hingga dua bulan selepas pembedahan.

Mereka yang mengalami katarak pada peringkat matang biasanya perlu menjalani teknik pembedahan yang sedikit berbeza.

Terdapat juga beberapa salah tanggapan mengenai rawatan katarak di kalangan warga emas ;

>> Pesakit boleh menjadi buta akibat menjalani pembedahan katarak.

>> Pembedahan katarak tidak memerlukan penggunaan kanta tiruan

>> Pembedahan katarak hanya boleh dilakukan setelah katarak mencapai tahap matang .

>> Masalah mata boleh diubati dengan urutan ataupun ubat titisan mata.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Friday, July 16, 2010

Tip Tidur Lena

Kebiasaannya apabila tidak boleh tidur, pelbagai petua diberi. Disuruh mengira angka atau membilang biri-biri sehingga terlena. Tetapi apa pula caranya jika masalah sukar tidur disebabkan cuaca panas.

Dr. Ian Smith daripada Papworth Hospital di Cambridge menurunkan panduan untuk mendapatkan tidur yang nyenyak dalam keadaan cuaca panas

Pertama, fahami punca kita tidak dapat tidur ketika cuaca panas. Mekanisme semulajadi untuk mendapatkan tidur yang puas melibatkan penurunan suhu badan. Cuaca malam yang panas menyebabkan proses penurunan suhu badan menjadi perlahan.

Beliau mencadangkan supaya langsir bilik dibiarkan menutupi pintu dan tingkap pada waktu siang dan malam. Cara itu akan mengurangkan kepanasan di dalam bilik. Pasang kipas dan biarkan tingkap terdedah untuk melancarkan peredaran udara di dalam bilik. Jika tidak, kepanasan motor kipas akan menambah suhu panas pada bilik sehingga mengganggu tidur.

Selain itu, pastikan anda keluar menikmati cahaya matahari di awal pagi. Ini membantu menyelaraskan sistem badan seterusnya membolehkan anda tidur nyenyak pada waktu malam. Jam biologi akan terganggu jika aktiviti harian tidak dijalankan mengikut waktu yang sepatutnya sehingga boleh mengganggu tidur anda.

Jauhi daripada cahaya terang terutamanya pada waktu malam. Ini kerana cahaya terang boleh mengganggu pengeluaran hormon melatonin. Pastikan bilik tidur dimasuki cahaya yang amat minimum terutamanya di bilik anak-anak anda. Kebanyakan kanak-kanak tidur di bawah cahaya lampu dan keadaan itu menyebabkan mereka sukar tidur kerana lampu menambah suhu bilik menjadi semakin panas.

Oleh itu pastikan bilik sejuk dan elak dimasuki terlalu banyak cahaya.

Seperkara lagi yang perlu diingat, elak berpeluh sebelum tidur. Jika cuaca panas, jangan bersenam selepas pukul 6 petang kerana ia boleh menaikkan suhu badan. Pergi ke pusat kecergasan awal pagi.

Paling mudah untuk menurunkan suhu badan ketika cuaca panas adalah dengan mandi air sejuk sebelum tidur.

Dr. Smith turut menasihatkan supaya mengelak daripada melayari facebook sebelum tidur, Cahaya biru daripada skrin komputer atau telefon bimbit boleh menurunkan paras melatonin menyebabkan anda semakin sukar untuk tidur.

Nasihat beliau lagi, kurangkan pengambilan kafein malah elak sama sekali selepas waktu tengahari.

Ingat kafein bukan saja terdapat di dalam kopi atau teh, malah coklat serta minuman ringan turut mengandungi bahan tersebut.


Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Simpan Sel Stem Untuk Masa Depan

Teknologi dalam bidang perubatan sentiasa berkembang. Para saintis dan doktor terus memikirkan cara yang terbaik dan selamat untuk membantu pesakit.

Menerusi mekanisme perubatan dan teknologi terkini, dibantu pula penggunaan peralatan dan mesin ia membolehkan pelbagai kaedah baru ditemui untuk rawatan pelbagai penyakit.

Kaedah penyimpanan stem sel misalnya banyak membantu pesakit. Kini individu boleh menyimpan 'darah' yang mengandungi sel-sel mereka sendiri untuk kegunaan pada masa depan menerusi sistem 'perbankan' yang ditawarkan.

Pastinya ramai di kalangan kita pernah mendengar mengenai kejayaan perubatan dan faedah yang didapati menerusi penyimpanan sel stem menerusi bank darah tali pusat yang diambil ketika bayi dilahirkan.

Darah daripada tali pusat itu akan disimpan untuk jangka masa panjang bagi kegunaan bayi tersebut pada masa depan sekiranya diperlukan.

Sekarang, bagi mereka yang telah terlepas peluang untuk menyimpan sel stem sendiri (yang hanya boleh dilakukan ketika proses kelahiran dahulu) kini boleh melakukannya menerusi proses yang serupa.

Ketua Pegawai Perubatan StemLife Berhad, Profesor Aw Tar Choon berkata, StemLife kini menawarkan bank untuk simpanan sel stem bagi mereka yang dewasa.

Sel stem itu boleh digunakan semula sekiranya keadaan memerlukan pada masa depan.

Peripheral Blood Stem Cells (PBSC) atau sel stem darah periferal yang diambil merupakan darah sel stem dewasa.

''PBSC diperoleh daripada periferal darah anda dan telah menunjukkan potensi berkesan membantu keadaan darah anda yang rosak, kecederaan akibat bersukan, kecederaan trauma dan luka kronik.

''Proses pengumpulan sel stem dilakukan ke atas pesakit dengan memastikan tiada sebarang kerosakan sel berlaku ketika proses simpanan darah itu dilakukan bagi kegunaan jangka panjang,'' katanya.

Prosedur itu juga tambahnya, akan memastikan pengumpulan sel stem dalam jumlah yang banyak sekali proses itu dilakukan.

Suntikan G-CSF (faktor untuk merangsang sel stem) akan dilakukan untuk merangsang sel dalam tulang sum-sum anda bagi mereplikakan dan menambahkan jumlah sel.

Sel stem itu akan memasuki pembuluh darah anda di mana ia akan mudah dikumpulkan.

''Ketika prosedur pengambilan darah sel stem dilakukan, anda akan diminta duduk dengan selesa dan sel stem anda akan dikumpulkan dalam tempoh empat hingga lima jam.

''Darah ini akan dikeluarkan dari lengan anda, berputar dalam mesin apheresis (untuk sel stem diekstrakkan). Darah yang tinggal akan dikembalikan semula ke dalam tubuh pesakit di bahagian lengan yang sebelah lagi.

''Ia merupakan satu proses yang mudah dan tidak menyakitkan,'' jelasnya.

Sel stem itu kemudiannya akan dipindahkan ke makmal untuk proses selanjutnya termasuk pengiraan jumlah sel.

Ia kemudiannya akan disediakan sama ada untuk kegunaan individu itu secara serta-merta atau disimpan untuk kegunaan bagi tempoh yang telah ditetapkan.

''Sel stem anda akan disimpan dalam tangki simpanan cryogenic dengan suhu di paras negatif 196 darjah celcius,'' katanya.

Tambahnya, StemLife Berhad sendiri telah mempunyai peralatan terkini dalam penyimpanan sel stem anda.

Jelasnya, ia juga merupakan yang pertama menawarkan bank simpanan untuk sel stem bagi mereka yang dewasa dan perkhidmatan rawatan terapeutik di seluruh Asia Tenggara.

''Kaedah penyejukbekuan ini memastikan sel stem anda kekal dengan kualiti dan kuantiti yang sama ketika ia diekstrakkan. Jika ia diperlukan, sel ini akan dikeluarkan untuk kegunaan anda pada saat ia diperlukan,'' katanya.


Ditulis oleh:Rosmah Dain
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/